PAS rayu Elizabeth tidak letak jawatan

Pas merayu Exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong supaya tidak meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan kerana jika pilihan raya kecil diadakan di kawasan tersebut, ia akan menyusahkan rakyat

Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau menghormati keputusan Elizabeth untuk meletakkan jawatan sebagai Exco tetapi tidak bersetuju sekiranya Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu meletakkan jawatan sebagai ADUN.

Beliau berkata, sekiranya diadakan pilihan raya kecil ia juga melibatkan kos yang tinggi dan menyebabkan pembaziran berlaku.

"Saya hormat jika dia (Elizabeth) hendak berundur sebagai Exco tetapi saya tidak suka dia meletakkan jawatan sebagai ADUN kerana ini menyusahkan rakyat dan melibatkan kos yang tinggi, sekali pilihan raya diadakan berbelas juta habis, jadi ini bukan kerja senang.

"Oleh itu, saya minta tolong jangan letak jawatan 'Yang Berhormat', kalau hendak berundur sebagai Exco dia punya pasal, bagi saya itu tidak apa sebab ini bukan salah dia, salah yang orang menceroboh rumah dia, orang lain salah kita hukum orang lain, ini tidak betul," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas keputusan Elizabeth yang tetap bertegas mahu meletakkan jawatan sebagai Exco kerajaan negeri dan ADUN Bukit Lanjan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor itu berharap pucuk pimpinan PKR memahami pendiriannya itu.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, tindakan Elizabeth berbogel dalam rumahnya tidak salah kerana Islam membenarkan manusia membuka aurat ketika seorang diri.

"Dia tidak salah, yang salah orang lain, dia hendak tidur telanjang di rumah dia, itu dia punya pasal,

Islam beri kepada manusia buka aurat bila seorang diri di rumah, masa kita tidak tidur pun boleh telanjang di rumah kita seorang diri, cuma malu pada malaikat saja," katanya.

Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menggantung Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exconya daripada menghadiri sidang DUN berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, kekalutan yang berlaku di Perak akan hanya dapat diselesaikan sekiranya DUN negeri tersebut dibubarkan dan diadakan pilihan raya.

"Speaker adalah raja Dewan, kalau Menteri Besar cakap dalam Dewan suruh Menteri Besar duduk maka beliau kena duduk, begitu juga di Parlimen, kalau speaker suruh Perdana Menteri berhenti bercakap dan suruh duduk maka beliau kena patuhi," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url