Kes Elizabeth Wong bukan perangkap politik - Polis

Polis hari ini menyangkal dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa penyebaran gambar bogel Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, adalah satu perangkap politik.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, siasatan pihak polis percaya gambar tersebut diambil oleh individu yang dikenali oleh Exco Selangor itu sendiri.

"Berdasarkan kepada segala maklumat yang polis ada, ingin saya tegaskan ini bukan perangkap," katanya.

Pada 17 Februari lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa penyebaran gambar bogel Elizabeth satu konspirasi terbaru Barisan Nasional (BN) terhadap pembangkang.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada keesokannya menyangkal dakwaan itu dan mencabar Anwar mengemukakan bukti.

Tegasnya, BN tidak terlibat sama sekali dalam skandal tersebut malahan tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

Sementara itu, Sabtu menjelaskan dua individu yang dikatakan ditahan dan disiarkan beberapa media semalam, adalah wartawan sebuah akhbar.

Katanya, kedua-dua mereka hanya dipanggil oleh polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk diambil keterangan dan bukannya ditahan.

Beliau turut mengesahkan polis belum menahan sesiapa pun yang terlibat dalam kes berkenaan.

"Wartawan itu dipanggil di IPD Petaling Jaya kerana telah membuat temu janji sebelum ini," katanya.

Pada 15 Februari lalu, Elizabeth membuat laporan di Balai Polis Damansara berhubung penyebaran gambar bogelnya di Internet, dipercayai diambil menggunakan telefon bimbit sebelum Pilihan Raya Umum ke-12, Mac lalu.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url