Top Ad 728x90

Pemilihan segmen industri penting untuk latihan praktikal pelajar universiti

"Pemilihan segmen industri yang tepat adalah penting apabila mengikuti latihan praktikal," kata Fazilah Jaafar berhubung pilihannya ketika menjalani latihan praktikal pada semester terakhirnya di Management & Science University (MSU).

Fazilah, 23, adalah alumni MSU dan kini berkhidmat sebagai Eksekutif Sumber Manusia di Esprit De Corp (Malaysia) Sdn Bhd.

Pilihan kerjayanya banyak dibantu pensyarah di MSU yang membantunya sepanjang tempoh pengajian.

Nasihat serta rundingan berterusan menerusi program mentor dan mentee ini memberi peluang beliau memilih kerjaya sesuai dengan program yang diikuti.

Beliau mengikuti pengajian di MSU mulai Januari 2006 hingga Mac 2008 turut menekankan bahawa persekitaran pembelajaran di universiti itu banyak membantunya dalam aspek menangani tekanan sebagai seorang pelajar.

“Saya melalui tempoh pengajian di MSU dengan penuh keseronokan dan hampir tiada langsung tekanan walaupun terpaksa melalui pelbagai tugasan, projek semester dan peperiksaan” katanya yang juga penerima Anugerah Senarai Dekan atas pencapaian cemerlang dalam bidang akademik.

Sebagai nasihat kepada pelajar yang bakal menceburi alam pekerjaan kelak, beliau menasihatkan mereka supaya tidak memilih pekerjaan kerana apa yang penting ialah pengalaman.

Katanya, jadikan latihan amali sebagai titik permulaan dalam memilih kerjaya tepat, bagaimanapun pelajar perlu memastikan pekerjaan yang diceburi mengikut apa yang dipelajari.

Berdasarkan kajian pengesanan yang dijalankan setiap tahun, 95 peratus graduan MSU mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduat. Mereka diserapkan dalam pelbagai segmen industri seperti pembuatan, kesihatan, perbankan, hospitaliti dan perniagaan.

Naib Presiden Perhubungan Korporat MSU, Rosli Yusof, banyak faktor menyumbang kepada kejayaan pelajar MSU.

“Penerapan lima komponen utama merentasi kurikulumnya mendatangkan hasil. Lima komponen utama itu ialah keusahawanan, nilai moral dan etika, teknologi maklumat, bahasa serta kemahiran insaniah,” katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90