Top Ad 728x90

Ekonomi dibimbangi meleset - OSK

Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) semalam, merupakan petunjuk penting yang menggambarkan bahawa kegawatan ekonomi global semakin meruncing.

Penganalisis OSK Research, Loke Siew Ting berkata, kegawatan itu kini mulai memberikan kesan serius kepada perkembangan ekonomi negara.

Menurut beliau, petunjuk termasuk Indeks Pengeluaran Industri merosot 15.5 peratus pada Disember lalu, melebihi paras kejatuhan pada 1998.

Sementara itu, eksport kasar juga menyaksikan kejatuhan terbesar sejak Februari 2002 sebanyak 14.9 peratus pada tempoh yang sama.

Sentimen pengguna dan perniagaan, masing-masing merosot kepada 71.4 dan 53.8 pada suku keempat 2008.

''Kesemua faktor berkenaan telah menyebabkan peningkatan risiko dalam penurunan pertumbuhan ekonomi pada 2009, yang dijangka memaksa kerajaan untuk mengambil langkah agresif dan menurunkan kadar faedah sebagai pelindung kepada kemelesetan ekonomi pada tahun ini,'' katanya dalam nota penyelidikannya di sini.

Sementara itu, penganalisis Chris Eng berkata, perkembangan yang membawa kepada pengurangan kadar faedah secara agresif oleh BNM dan dasaran makroekonomi semakin membimbangkan, OSK Research berpendapat Malaysia akan mengalami kemelesetan pada tahun ini.

''Penurunan kadar faedah akan menyebabkan berlaku aliran keluaran pelaburan asing ke negara lain yang memberi pulangan lebih tinggi seperti China yang menawarkan kadar faedah sebanyak 5.3 peratus dan India enam peratus,'' katanya.

Unjuran pasaran buruh yang suram juga melembapkan sentimen pengguna dan permintaan pelanggan akan menyebabkan para pengeluar terus mengurangkan pelaburan dan pengeluaran, sekali gus menjejaskan pertumbuhan perbelanjaan swasta, tambah beliau.

Malah, kemelesetan ekonomi yang berlanjutan di negara-negara membangunkan juga akan memberi kesan kepada kegiatan eksport yang diterajui oleh industri elektrik dan elektronik.

''OSK Research akan menunggu pengumuman prestasi suku keempat 2008 pada Jumaat ini dan pengumuman bajet mini pada 10 Mac untuk butiran lanjut mengenai pertumbuhan bagi sektor pembinaan, perkhidmatan dan segmen perbelanjaan pengguna.

Berikutan itu, firma itu telah menyemak semula unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2008 kepada lima peratus.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90