SMK Victoria dikenali semula Victoria Institution
"Dunia telah pun mengenali nama sekolah ini sebagai Victoria Institution, maka dengan sukacitanya saya ingin mengumumkan bahawa nama sekolah ini, mulai hari ini, akan dikekalkan sebagai Victoria Institution," kata Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Berucap pada majlis pengisytiharan sekolah itu sebagai Warisan Kebangsaan di sini hari ini, Shafie berkata, sekolah itu diangkat sebagai Warisan Kebangsaan kerana ia memenuhi kriteria berdasarkan Akta Warisan 2005.
Shafie, yang merupakan bekas penuntut sekolah itu berkata, Victoria Institution memainkan peranan dalam sejarah tanah air apabila digunakan oleh askar Jepun pada Perang Dunia Kedua.
Sekolah itu juga, katanya, merupakan sekolah menengah Inggeris yang pertama di Tanah Melayu, berprestij dan telah melahirkan karyawan serta tokoh penting tanah air daripada Sultan, pembesar, menteri, ahli korporat, tokoh politik hinggalah kepada tokoh sukan dan ahli profesional.
Sekolah itu juga adalah yang pertama di Asia Tenggara menubuhkan pasukan kadet dan pancaragam, katanya.
Shafie meminta agar warisan sekolah itu dipelihara kerana setiap ciri sama ada dinding, jendela, balkoni, bumbung, menara atau padangnya mempunyai cerita tersendiri.
Diasaskan oleh Sultan Abdul Samad, William Hood Treacher, Loke Yew, Thamboosamy Pillai dan Yap Kwan Seng pada 14 Ogos 1893, VI berjaya mengekalkan kecemerlangannya dalam melahirkan ramai tokoh termasuk Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah serta menteri-menteri Kabinet terdahulu dan sekarang seperti Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan bekas hakim Datuk Mahadev Shankar.
Yang lain termasuk tokoh-tokoh korporat Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir, Tan Sri T. Ananda Krishnan dan Tan Sri Francis Yeoh serta tokoh sukan termasuk Datuk Dr. M. Jegathesan, Allahyarham Mokthar Dahari, Datuk Misbun Sidek, Foo Kok Keong, Datuk P.S. Nathan dan Ishtiaq Mubarak.
Shafie berkata, setakat hari ini, sebanyak 172 butiran warisan telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan.
Shafie juga berkata, setakat ini ada empat tapak di negara ini telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia dan beberapa manuskrip pula telah diiktiraf dalam daftar 'Memory Of The World'.
"Pengiktirafan ini sudah pasti menjadi nilai tambah kepada warisan yang kita miliki dan rakyat Malaysia pastinya berasa megah kerana warisan kita dikongsi bersama oleh masyarakat dunia," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) VI, Raja Amir Shah Raja Abdul Aziz berkata, dengan sekolah itu kini menerima pengiktirafan warisan kebangsaan dan namanya yang cukup terkenal digunakan semula, satu perancangan strategik perlu diwujudkan untuk merangka hala tuju masa depan sekolah itu.
"Selepas pengiktirafan tapak warisan dan mendapat semula nama VI, kami semua PIBG, bekas pelajar dan masyarakat, sepatutnya menjadikan VI yang terbaik dalam segala-galanya.
"Kita boleh menjadikan Raffles Institution di Singapura sebagai penanda aras," katanya.
- BERNAMA
ape nih...