Suara Blog - 23 Feb 2009

Kalangan penulis blog kini menyebarkan dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) sedang menggerakkan usaha untuk menumbangkan negeri-negeri lain di bawah pembangkang seperti di Perak.

Penulis Zubli Zainordin dalam blognya satublogtotal.blogspot.com bertarikh 21 Februari menulis, BN sedang membentuk satu gerakan menumbangkan negeri-negeri pakatan pembangkang.

Tulisnya, gerakan oleh individu yang disatukan dalam pasukan itu bertujuan mengembalikan kuasa di Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan kepada BN.

“Individu yang menjadi anggota The BN Grand Design itu sebahagiannya mudah dilihat melalui peranannya. Sebahagian lagi masih tersembunyi.

“Dijangkakan anggota kumpulan itu akan diketahui satu persatu. Ada cara setiap mereka dikenal pasti. Satu daripadanya ialah individu yang strategik kedudukannya dalam sebuah organisasi,” dakwanya.

Sementara Zulkifli Nordin dalam zul4kulim.blogspot.com bertarikh 20 Februari juga melemparkan serangan serupa apabila mendakwa usaha-usaha sedang dilakukan oleh BN untuk ”menyerang” Selangor.

Tulis beliau, Menteri Besar Selangor akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dalam masa terdekat ini atas tuduhan menyalahgunakan kuasa dan kedudukan berkaitan pembelian lembu dan penyelenggaraan kereta.

Dakwanya, seorang lagi exco kanan kerajaan Selangor yang disebut-sebut akan dikenakan tindakan ialah Ronnie Liu atas dakwaan berkaitan dengan isu pengurusan dan pentadbiran majlis-majlis perbandaran di bawah portfolio beliau sebagai exco hal ehwal kerajaan tempatan.

“Apakah ini semua gambaran politik negara apabila peralihan kuasa dalam UMNO berlaku penghujung Mac ?” tulis beliau.

Bagaimanapun dakwaan tersebut disanggah oleh beberapa penulis blog lain antaranya penulis Mat Sirat (siratansuratan.blogspot.com). Menurutnya, masih banyak tugas lain yang perlu dilakukan oleh BN daripada menjatuhkan kerajaan pembangkang.

Katanya, beliau merasa hairan kerana masih ada pihak tertentu yang menyalahkan UMNO atau BN dengan mendakwa bahawa segala yang berlaku ke atas Menteri Besar Selangor itu adalah mainan politik dalam usaha menjatuhkan kerajaan pakatan pembangkang.

“Kalau keadaan sudah jatuh, ia akan jatuh juga akhirnya tanpa dorongan sesiapapun. Benar macam self-dustruction,” tulis beliau.

Hambali Abd. Latiff (hambali1.blogspot.com) semalam menulis, Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini merasakan serangan dan terpaksa mempertahankan diri selepas sebelum ini begitu lantang melancarkan serangan bertali-arus terhadap kerajaan BN.

Dengan mengambil gambaran suasana majlis makan malam ulang tahun pertama kemenangan pakatan pembangkang beberapa hari lalu, beliau menulis majlis itu menjadi medan pemimpin mereka mempertahankan diri dan silat-menyilat.

“Seronok melihat air muka pemimpin PKR yang selama ini bersikap hidung tinggi dan melihat orang lain sahaja yang salah.

“Suasana ini menunjukkan kini pakatan pembangkang khususnya PKR mulai merasakan bahana ‘serangan’ dan terpaksa mempertahankan diri,” tulis beliau.

Katanya, jika selama ini PKR adalah juara membuat serangan terhadap UMNO dan BN, ia kini bagaikan sudah terhimpit ke dinding.

“Jelas apabila mula terkena batang hidung sendiri, pemimpin pakatan yang disanjung-sanjung iaitu Anwar jadi ‘hilang akal’ dan marah-marah,” tulisnya.

Blog UMNO Bahagian Cheras (umnobahagiancheras.blogspot.com) semalam turut membidas pemimpin PKR, Anwar Ibrahim dan menganggap pemimpin itu umpama daun dedalu.

Memetik ucapan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah daun dedalu yang suka menggunakan isu politik untuk kepentingan diri sendiri.

Katanya, ini jelas apabila beliau menyalahkan UMNO berhubung penyebaran gambar bogel Elizabeth Wong, isu 46 ekor lembu dan kenderaan mewah Lexus Menteri Besar Selangor dan penderhakaan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin terhadap Sultan Perak.

“Beliau umpama daun dedalu yang suka menenggek di mana-mana tempat yang boleh menyelamatkan diri setelah secara diam mencetuskan keadaan yang tidak tenteram kepada rakyat”, tulis blog itu.

Sementara itu Abdul Mubin Ismail (jaranganakmelayu.blogspot.com) dalam tulisannya bertarikh 20 Februari, mempersoalkan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) dan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang membuat laporan polis berhubung pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Tulisnya, beliau bukannya taksub untuk menyokong PPSMI dan tidak juga tidak menyokong Gapena dan GMP dalam perjuangan memansuhkan PPSMI ini.

“Tetapi pada pandangan peribadi saya, hari ini Gapena dan GMP jelas menggunakan PPSMI untuk mengisi agenda politik (bukan hanya politik kepartian) dan kepentingan sendiri,” katanya.

Katanya, atau mungkin juga kerana aliran pemikiran kini yang semakin ramai pengundi berhaluan kiri dan tidak menghiraukan BN, maka Gapena dan GMP tumpang semangkuk.

“Ia menjadikan saya tawar untuk bersubahat memperalatkan PPSMI untuk kepentingan mereka. Yang pasti, dalam mencari semuanya itu, saya hanya ternampak Gapena dan GMP baru terjaga dari tidur panjang selama 52 tahun (Semenanjung Tanah Melayu) dan 46 tahun (Malaysia) merdeka dan mereka baru sedar daripada mengigau selama lebih enam tahun setelah PPSMI dilaksanakan,” tulisnya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url