Sukarkah mencari suami baik?
Kata Zareena setiap kali ke mahkamah, pelbagai masalah berlaku menyebabkan perbicaraan tidak boleh dijalankan, peguam beri alasan anak guamnya sakit atau dia ada kes lain, atau minta tukar tarikh dan macam-macam.
''Bila kes berjalan peguam bekas suami akan kemukakan soalan menyakitkan hati. Tetapi dia tahu tak anak guamnya kaki perempuan? Dia tak pernah beritahu ke mana dia pergi? Dan kenapa tak tanya anak guamnya kahwin lagi kalau dia betul-betul tak mampu nak bagi nafkah? Kenapa dia boleh tanggung makan minum anak-anak tiri sedangkan tak mampu nak bagi nafkah anak?
Kata Zareena sudah sampai masanya pihak berkuasa buat keputusan setiap kali berlaku perceraian, suami mestilah dipotong gajinya untuk nafkah anak, tak perlu tunggu tuntutan. Sebab nak tuntut nafkah ia memakan masa bertahun-tahun.. Kepada pembaca yang ada masalah kes mahkamah syariah dan sudi berkongsi pengalaman sila hantarkan pengalaman anda kepada penulis. Namun minggu ini kita ikuti pengalaman pahit gadis bernama Maizarah.
Dalam e-melnya kepada penulis, Maizarah berkata, ''Walaupun agak terlewat, rasanya saya belum ketinggalan menyertai sambil memberikan pandangan selain menceritakan pengalaman mengenai kisah yang pernah dipaparkan di ruangan ini kira-kira sebulan lalu, iaitu kehidupan Ustaz Badli tentang isterinya yang langsung tidak menghargai apa lagi menghormatinya sebagai suami.
''Sebenarnya saya rasa pelik dengan karenah manusia kini, semakin maju, mereka menjadi bercelaru dan tidak menghargai kebahagiaan yang dilalui.
''Hairan, kerana ada pasangan suami isteri yang dipertemukan jodoh dengan pasangan hidup yang baik (bukan sempurna) tetapi masih berlaku curang terhadap pasangannya. Terdetik di hati saya, apa yang golongan seperti ini cari, sebenarnya ?
''Adakah mereka ingin mencari manusia sempurna? Pada pandangan saya, mereka kurang realistik kerana hakikatnya tiada manusia sempurna kecuali Rasulullah SAW.
''Apakah mereka tidak bersyukur dengan pasangan hidup yang baik Allah berikan? Saya berkata begini kerana saya merasa cukup sukar bertemu dengan lelaki yang mempunyai akhlak dan mengamalkan cara hidup berlandaskan Islam! Sangat sukar. Kalaulah saya di tempat mereka, sudah pasti saya akan menghargai pasangan hidup saya yang baik itu dan akan berusaha menjaga kerukunan rumah tangga saya.
''Saya sedar kerana kebimbangan juga semakin hari usia saya semakin bertambah. Dan lebih malang lagi dalam melangkah usia sedemikian saya semakin banyak menerima tekanan daripada kaum keluarga lantaran status yang saya sandang sekarang.
''Hati saya tergerak untuk melontarkan pandangan peribadi selepas membaca kisah hidup Ustaz Badli (14 Disember lalu). Tetapi terfikir di minda saya, masih adakah lelaki sebaik Badli di dunia ini? Atau mungkin juga penilaian manusia biasa seperti saya yang tersilap.
''Dalam pencarian saya selama enam tahun mencari lelaki yang sesuai, bermacam-macam jenis lelaki yang saya temui. Maaf, saya bukan playgirl ataupun perempuan 'murahan' kalaulah itu yang tergambar di fikiran anda. Saya cuma mencari.
''Namun saya berterima kasih kepada kawan-kawan sekerja yang turut membantu saya mencarikan pasangan ataupun teman untuk saya. Ada yang memperkenalkan saudara mereka sendiri, ada juga yang bermula daripada pihak lelaki sendiri, dan yang terakhir saya berusaha menyertai program mencari jodoh melalui internet (mengikut landasan syarak). Malangnya semua usaha saya hampa.
''Kalaulah disenaraikan lelaki yang pernah singgah dalam kamus hidup saya, saya rasa angkanya mencecah lebih 30 orang! Tetapi, jangka masa perkenalan kami hanya sekitar enam bulan sahaja, ada cuma tiga hari, seminggu, dan sebulan!
''Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada jurutera, guru, kerani, pegawai kerajaan, pekerja am, peniaga, pensyarah, petani, kontraktor dan tidak ketinggalan ada juga penganggur! Kebanyakan daripada mereka berusia muda dua hingga tiga tahun daripada saya. Ada juga duda, tetapi saya tidak pernah membuka peluang kepada suami orang.
''Rata-rata mereka menyatakan suka, cinta, dan ingin mengambil saya sebagai isteri. Tapi saya kurang pasti atas dasar apa mereka menyukai saya, mungkin taraf pendidikan, mungkin juga penampilan saya, atau mungkin aspek fizikal saya (namun saya tidak cantik, tetapi apa pandangan mata mereka, saya tidak pasti).
''Malangnya, saya tolak mereka setelah banyak peluang, ruang, dan alternatif serta kelonggaran yang diberikan, kerana pada saya, lelaki pantang diberi peluang. Mereka tidak ikhlas, tidak jujur, dan suka mengambil kesempatan. Apabila peluang dan ruang diberikan, mulalah mereka minta macam-macam.
''Paling saya benci apabila mereka mengajak saya keluar berdua sahaja! Tetapi apabila saya menyatakan ingin membawa kawan atau muhrim sebagai teman, mereka keberatan atas alasan 'tiada privacy'. Ada mendakwa sukar kenali saya dengan lebih mendalam jika ada orang lain ikut serta. Ada yang kata 'tidak pernah dibuat orang.'
''Kemudian saya beri alternatif lain, apa kata kalau datang bertamu di rumah ibu bapa saya, lebih mudah dan praktikal. Mereka kata saya macam 'katak bawah tempurung' kolot. Kata mereka nama sahaja terpelajar, graduan tetapi tidak open minded.
''Boleh dikatakan inilah punca kegagalan saya bertemu jodoh, macam-macam alasan mereka berikan kalau saya tidak ikut permintaan mereka, namun pada saya semua ini hakikatnya Allah belum mengizinkan saya mempunyai suami lagi.
''Memang kebanyakan punca kegagalan saya menemui jodoh yang sesuai adalah kerana soal prinsip dan pegangan hidup saya yang sangat berbeza. Pada saya (yang lemah dan daif ini), keluar berdua-duaan tetap haram, sekalipun perkara ini telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat di negara kita hari ini.
''Jadi, pada pandangan lelaki berkenaan pendapat saya itu tidak masuk akal, saya dikatakan kuno dan kolot, akhirnya mereka kata saya tidak berminat untuk mendekati mereka. Lebih teruk lagi mereka kata saya berfikiran konservatif. Akhirnya perselisihan faham tercetus. Saya berdegil, tegas dengan keputusan saya. Maka, tiadalah titik pertemuan antara kami, hanya semata-mata kerana saya enggan ikut kehendak mereka.
''Peristiwa itu memberi satu pengajaran paling berharga kepada saya, lelaki memang suka mengambil kesempatan atas peluang dan ruang yang diberikan. Dan, seperti yang saya katakan pada awal tadi, cukup sukar saya menemui calon suami yang betul-betul mengamalkan gaya hidup berlandaskan hukum Islam. Sangat-sangat sukar.
''Sehingga ke satu tahap, saya berasa sangat penat. Sangat letih. Letih dalam pencarian yang tidak berkesudahan. Malangnya dalam keletihan itu keluarga pula mendesak dan melabelkan saya sebagai seorang yang cerewet dan memilih, degil, tidak bertolak ansur, dan kolot. Dalam sesetengah situasi, mereka sendiri mendesak saya supaya pergi keluar dating dengan calon suami. Desperadokah mereka ini? Aduh!
''Bagi mereka, keluar bertemu dengan lelaki yang meminati seseorang gadis itu sudah jadi kemestian, bagi setiap pasangan kekasih jika mereka mahu segera dapat jodoh. Tetapi kedegilan saya kata mereka menyebabkan saya membujang sampai mati. Itulah anggapan dan pandangan keluarga saya sendiri.
''Jadi, apabila saya membaca kisah Badli, saya cukup hairan. Setelah dikurniakan suami yang berlatar belakangkan pendidikan agama yang tinggi (saya hormati golongan begini), tetapi malangnya masih ada isteri yang tidak bersyukur.
''Wahai kaum isteri dan suami di luar sana, andai ibu-ibu bapa-bapa dikurniakan oleh Allah dengan suami dan isteri yang baik dan bertanggungjawab, usahlah berpaling lagi hanya kerana inginkan kesempurnaan ataupun dengan alasan tiada perasaan cinta atau sayang terhadap pasangan masing-masing.
''Saya yang masih bujang ini merasai keperitan kerana masih membujang dalam usia sebegini lantaran gagal bertemu calon suami yang baik dan bertanggungjawab.
''Raihlah nikmat dan kurniaan yang sedang kalian peroleh, kerana pujangga ada bermadah katanya, jika kita lepaskan nikmat sedang dalam genggaman untuk mengejar nikmat lain (yang pada pandangan kita lebih bagus), belum tentu yang kita dapat lebih baik daripada yang kita lepaskan. Besar berkemungkinan kita dapat sesuatu yang lebih buruk daripada yang dilepaskan. Lain halnya kalau suami isteri bermasalah.
''Pandanglah kepada golongan seperti saya, yang masih tercari-cari dahan tempat berpaut, pohon tempat berlindung, dan insan yang dapat menyelamatkan dan membimbing saya daripada fitnah dunia, insan yang dapat memimpin saya untuk memasuki mana-mana pintu syurga.