Senario The Movie Episod 2

Kebanyakan pelawak di negara ini tidak mampu menafikan kehidupan sebagai pelawak bukan sesuatu yang mudah.

Berusaha mencuit hati penonton dengan pelbagai aksi spontan dan lucu, kadangkala diakui 'menjadi' tetapi kalau tidak kena gaya, pasti mengundang suara-suara nakal yang pantas melabelkan lawak mereka sebagai lawak bodoh.

Nama-nama besar seperti Datuk Aziz Satar, S. Shamsudin, M. Zain, Ahmad Nisfu, A.R Tompel dan Ibrahim Din adalah antara pelawak veteran yang begitu sinonim dengan filem-filem komedi arahan Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee.

Menjadikan barisan pelawak trio filem-filem P. Ramlee sebagai idola, anggota kumpulan Senario, Azlee Jaafar dan rakan-rakannya meluahkan hasrat untuk menuruti jejak langkah idola mereka sebagai bintang legenda pada masa akan datang.

Optimis dengan kerjaya yang dilalui, Azlee bersama dua rakannya,Wahid dan Lan Pet Pet ketika ini selesa bergandingan sementelah penglibatan mereka kini sudah pun menjangkau usia 13 tahun.

Diam tak diam, kata Azlee, menginjak ketahun yang ke-13 menjadikan kumpulan tersebut sebagai kumpulan lawak yang berjaya mempertahankan populariti untuk satu tempoh yang lama.

"Saya percaya Senario akan jadi legenda pada masa akan datang. Dalam banyak kumpulan lawak, setakat ini Senario adalah kumpulan yang paling lama bertahan.

"Jika kami dapat pertahankan persahabatan dan mutu lakonan sampai bila-bila, saya yakin Senario boleh mencapai hasrat itu," kata Azlee mewakili rakan-rakannya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan doa selamat filem Senario The Movie Episod 2 di Lemon Restaurant, The Mines, Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Wahid yang turut serta dalam perbualan itu sependapat dengan Azlee.

"Pada saya, Senario sudah pun legenda. Daripada karakter lawak kanak-kanak, separa lawak dan juga yang tak lawak langsung.., semuanya kami dah buat.

"Malah ada pelawak baru yang menganggap kami sebagai mentor. Sebagai contoh, dahulu ramai yang ingin menyertai rancangan Sinaran sebab nak jadi seperti Senario," kata Wahid.

Bukan sahaja sebagai kumpulan pelawak tetapi mereka turut dikenali sebagai kumpulan penyanyi.

Sebelum lahirnya Senario, bakat anggotanya dicungkil menerusi program Sinaran Pasport Kegemilangan sekitar tahun 1995.

Disatukan sebagai sebuah kumpulan pada tahun 1996, anggota asalnya terdiri daripada Azlee, Wahid, Ilya, Hamdan dan Mazlan Pet Pet.

Biarpun menempuh pelbagai cabaran terutamanya kemunculan bakat-bakat pelawak pelapis tanah air, kumpulan itu masih lagi bertahan biarpun anggotanya kini hanya tinggal trio Azlee, Wahid dan Lan Pet Pet sahaja.

Pencapaian rating yang memberangsangkan menerusi sitkom Senario di TV3, menurut Azlee, jika tiada aral, tidak lama lagi nama Senario bakal tercatat dalam Malaysia Book Of Record kerana penghasilan siri komedi mereka adalah yang tertinggi berbanding siri komedi lain di Malaysia.

Bercerita tentang kerjaya sebagai pelawak, kata Azlee: "Bukan senang nak buat lawak dan buat orang ketawa. Pada saya, dalam banyak-banyak kerjaya, kerja sebagai pelawak adalah yang paling susah.

"Kadang-kadang risau juga jika kita buat lawak tetapi tak ada orang yang nak gelak. Bagaimanapun kami bersyukur pada Allah kerana sehingga kini kami masih berikan idea untuk terus berlawak dan kami rasa puas jika dapat membuat orang ketawa," katanya.

Sebelum ini, Senario pernah lahir dengan tiga buah album nyanyian yang memuatkan lagu-lagu hit seperti Sebelum dan Sesudah, Joget Toleh Menoleh, Zapin Usik Mengusik dan Dikir Barat Siang Malam.

Tidak ketinggalan ialah filem-filem yang mengangkat Senario sebagai pendukung utama antaranya Senario The Movie, Senario Lagi dan Lagi-lagi Senario.

Terbaru, kumpulan tersebut bakal muncul dalam filem Senario The Movie Episod 2: Beach Boys arahan pengarah yang tidak asing lagi, Ahmad Idham.

Kejayaan filem terbitan Metrowealth (MIG), Senario The Movie Episod 1 yang pertama kalinya mendapat sentuhan sutradara Ahmad Idham ternyata membuahkan hasil apabila berjaya mengaut kutipan sebanyak RM4.5 juta.

Menurut Idham, episod kedua filem arahannya yang berkonsepkan pengembaraan cinta itu bakal mengetengahkan elemen laut dan pantai.

"Setiap kali saya buat filem, yang selalu saya pastikan ialah kelainan dan saya kena percaya bahawa saya boleh buat filem yang lebih baik berbanding episod pertama.

"Seperti Senario episod pertama yang telah mendapat tempat di hati peminat, sudah tentu penonton mengharapkan sesuatu yang lebih besar sumbangannya dalam filem kali ini.

"Saya percaya bahawa ada sesuatu yang saya boleh tonjolkan untuk watak Datuk Jamali Shadat di mana saya rasa ia agak menarik," kata Idham tentang filem arahannya itu.

Selain itu, watak tiga gadis yang bakal menjadi pasangan kepada Wahid, Azlee dan Lan Pet Pet turut diwujudkan. Mereka ialah Nik Sayyidah (Mek), Maria Farida dan Marsha.

Memulakan pengambaran di sekitar Pulau Pangkor, Perak pada 9 Februari lalu, filem tersebut sekali lagi menggunakan khidmat Raja Mukhriz Raja Kamaruddin sebagai pengarah sinematografi sementara skripnya ditulis oleh Zulkeflee M. Said.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url