Tuanku Mizan dianugerah Ijazah Doktor Kehormat Queen's University


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat daripada Queen's University Belfast, Ireland Utara atas sokongan baginda dalam pendidikan tinggi dan hubungan yang dikongsi Malaysia dengan universiti itu sejak 50 tahun lalu.

Seri Paduka menerima anugerah itu daripada Presiden dan Naib Canselor universiti itu Prof Peter Gregson pada satu majlis di Istana Melawati di Putrajaya.

Majlis penyampaian anugerah itu adalah kemuncak lawatan seminggu dari universiti itu ke Malaysia dan merupakan kali pertama sejak sejarah 160 tahun universiti itu memberikan anugerah itu kepada seorang raja yang memerintah.

Turut hadir pada majlis itu adalah bekas penuntut universiti itu termasuk bekas Anggota Parlimen Pasir Salak, Tan Sri Ramli Ngah Talib; Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas presiden Gerakan Tun Dr. Lim Keng Yaik.

Queen's University adalah anggota bagi Russel Group yang berprestij iaitu antara 20 universiti yang giat menjalankan penyelidikan di United Kingdom.

Universiti itu ditubuhkan pada 1845, dan mempunyai lebih daripada 17,000 penuntut dari lebih 80 negara dan mempunyai 3,500 kakitangan dan 100,000 graduan di seluruh dunia.

Pada masa ini, lebih daripada 120 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian di universiti itu.

Prof. Gregson berkata ia merupakan hari yang bermakna bagi universiti itu kerana ia dapat memperkukuh hubungan yang istimewa antara Malaysia dan Ireland Utara.

"Universiti ini menyambut baik sokongan baginda terhadap hubungan istimewa ini dan kami berminat untuk memperkukuh lagi hubungan ini bagi faedah bersama antara kedua buah negara," katanya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url