161,144 syarikat diarah batal daftar

Sejumlah 161,144 pemilik syarikat tidak aktif yang masih berdaftar menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) diarah membatalkan syarikat masing-masing bagi mengelakkan pembaziran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata pemilik syarikat terbabit akan menikmati diskaun terhadap kompaun yang dikenakan sekiranya mereka membatalkan syarikat dalam tempoh enam bulan mulai 1 April ini.

"Kita menggalakkan mereka mengambil tindakan melalui kaedah moratorium iaitu kelonggaran bagi meringankan beban pemilik syarikat kerana walaupun tidak menjalankan apa-apa perniagaan, mereka masih perlu membayar yuran perniagaan, gaji setiausaha dan juruaudit.

"Kita jangkakan tindakan ini akan mengurangkan hasil SSM kira-kira RM20 juta," katanya pada sidang media pengumuman Indeks Harga Pengguna (IHP) di sini, semalam.

Shahrir berkata, kebanyakan daripada syarikat tidak aktif itu ialah syarikat subsidiari yang ditubuhkan bagi tujuan tertentu, tetapi tidak aktif selepas tiga tahun ditubuhkan.

"Buat masa ini, sebanyak 839,853 syarikat didaftarkan menerusi SSM sejak 2005. Daripada jumlah itu, 284,824 syarikat dikenal pasti sebagai tidak aktif, manakala 123,680 lagi sudah dibubarkan," katanya.

Sementara itu, Shahrir berkata, SSM akan melaksanakan pemberian diskaun antara 10 hingga 15 peratus bagi beberapa pembayaran yuran urus niaga yang dijalankan syarikat sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan kemelesetan ekonomi.

"Pemberian diskaun 10 peratus diberi kepada syarikat bermodalkan RM100,000 ke bawah," katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url