Abai prinsip Rukun Negara boleh jejas keharmonian masyarakat
Rukun Negara merangkumi lima prinsip, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlem-bagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan. Prinsip ini akan menjamin perpaduan masyarakat, kemakmuran negara serta melahirkan masyarakat progresif.
Rentetan beberapa peristiwa kebelakangan ini memberikan gambaran bahawa prinsip Rukun Negara seolah-olah sudah dilupakan serta tidak lagi relevan dalam konteks kehidupan hari ini. Tindakan seperti mempertikaikan kuasa Raja-Raja Melayu; kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi; kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta protes dan demonstrasi jalanan memberi gambaran jelas bahawa prinsip seperti Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang sudah tidak lagi diambil kira apabila pihak yang terbabit membuat percaturan.
Tidak ada pihak yang mampu menafikan bahawa Malaysia adalah antara negara yang paling aman, makmur lagi sejahtera di dunia. Berdekad lamanya rakyat dari satu generasi ke satu generasi, dari kaum yang berbilang bangsa, hidup bersama tanpa timbul masalah besar.
Janganlah kita menggadai keamanan yang dikecapi hanya kerana perasaan iri hati dan ketidakpuasan yang tidak dikongsi majoriti rakyat. Jangan kita lupa bahawa iklim kemakmuran dan keamanan negara yang selama ini dikecapi hanyalah mainan mimpi bagi sesetengah rakyat negara asing.
Negara kita juga tidak sunyi dengan isu disiplin pelajar sekolah atau remaja yang semakin merosot, sanjungan yang semakin longgar terhadap guru dan warga emas serta pengabaian terhadap kanak-kanak. Suasana ini memberi isyarat bahawa tahap kesopanan dan kesusilaan segelintir masyarakat semakin rapuh.
Masyarakat diseru untuk kembali menghayati dan hidup dalam acuan Rukun Negara. Yakinlah bahawa prinsip yang selama ini bertindak sebagai mekanisme yang membolehkan suasana keamanan dan kemakmuran negara kita terus terpelihara.
Kita meminta agar keterbukaan yang menjadi amalan kerajaan pada hari ini tidak dijadikan alasan atau membuka peluang kepada pihak tertentu menggugat keamanan, memperlekeh kedudukan Raja-Raja Melayu, melunturkan hak istimewa orang Melayu dan mempertikaikan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Sudah sampai masanya kerajaan mengadakan program jelajah ke seluruh negara untuk mengingatkan rakyat bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah perlembagaan yang digubal berasaskan kesepakatan semua kaum di negara ini.
Ia satu kontrak sosial rakyat berbilang kaum yang tidak boleh dipersoalkan mana-mana pihak. Tidak ada kompromi atau toleransi terhadap sebarang usaha untuk mempertikaikan kandungan Perlembagaan Negara. Rakyat perlu kembali kepada semangat prinsip Rukun Negara.
