Anak Raja Bahrin, Raja Shahirah Aishah selamat diijab kabul


Anak perempuan Datuk Raja Kamarul Bahrin Ahmad Shah, Raja Shahirah Aishah, 24, selamat diijabkabulkan dengan Syarul Reza Abdul Aziz, 29, dengan tiga kali lafaz di Masjid Tengku Tengah Zaharah di sini, jam 9.35 malam tadi.

Raja Shahirah yang anggun dalam persalinan sedondon berwarna putih dengan pasangannya yang juga penyanyi kumpulan Love Me Butch dinikahkan sendiri oleh bapanya, Raja Kamarul Baharin dengan mas kahwin sebanyak RM100.

Pengantin perempuan menerima wang hantaran RM7,785, mengambil sempena tarikh lahir Shahirah serta berbalas cincin yang disarungkan sebagai simbolik upacara membatalkan air sembahyang.

Turut hadir ayahanda dan bonda Raja Kamarul Baharin, Raja Ahmad Shah Raja Abdul Rashid dan Tengku Zaleha Putri Ismail Nasaruddin Shah serta ayahanda saudaranya, Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasaruddin Shah.

Pasangan mempelai yang berkenalan sejak lima tahun lalu itu diraikan pada majlis persandingan dihadiri keluarga dan rakan di Aryani Resort, Setiu bermula jam 11 pagi ini.


Shahirah yang ditemui sebaik majlis akad nikah selesai berkata, beliau bersyukur dipertemukan jodoh dengan suaminya yang disifatkan sangat istimewa.

Shahirah dan abangnya, Raja Mohamad Baharuddin (Iddin), 26, menarik perhatian rakyat negara ini pada 1992 apabila kisah bapanya meredah laut menaiki bot dari Australia untuk melarikan mereka daripada bekas isterinya, Jacqueline Pascarl-Gillespie selepas mereka berpisah pada 1985.

Perebutan hak penjagaan kedua beradik yang masing-masing berusia tujuh dan sembilan tahun ketika itu mendapat liputan meluas media Malaysia dan Australia apabila Raja Bahrin mengambil tindakan nekad melarikan anaknya bagi menyelamatkan akidah Shahirah dan Iddin berikutan tindakan Gillespie yang dikatakan cuba menukar agama dua beradik itu.

Gillespie menuduh Raja Kamarul Bahrin menculik anak mereka dan isu itu mencetuskan ketegangan diplomatik antara Australia dengan Malaysia selepas permintaan Canberra supaya kerabat diraja Terengganu itu diekstradisi ditolak Kuala Lumpur.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url