APMM mengawasi maritim negara
APMM menjalankan pemantauan 24 jam sehari di kawasan pantai negara untuk menguatkuasakan undang-undang dan pendakwaan terhadap mereka yang melanggarnya.
Anggota Maritim Malaysia menahan nelayan warga asing yang menceroboh perairan negara ketika demonstrasi.MARITIM Malaysia (APMM) menyambut ulang tahun keempatnya pada 15 Februari lalu. Meskipun sudah empat tahun beroperasi, kewujudan APMM atau lebih dikenali sebagai Pengawal Pantai Malaysia itu masih dianggap asing oleh sesetengah pihak.
Sehubungan itu, pelbagai usaha cuba dilakukan untuk memberi kesedaran tentang fungsi dan peranan agensi penguat kuasa di bawah Jabatan Perdana Menteri itu.
Ketua Penguat kuasa Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim Datuk Ismail Hamzah berkata, APMM adalah sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengawasi keselamatan setiap kawasan maritim di negara ini.
"Selain dari itu, tugasan penting kami juga adalah melaksanakan operasi mencari dan menyelamat mangsa di laut.
"Mengikuti langkah beberapa negara seperti India dan Amerika Syarikat (AS) yang telah menubuhkan agensi maritim, APMM menjalankan pemantauan 24 jam setiap hari," katanya pada Program Hari APMM Wilayah Timur Bersama Media di Kapal Maritim (KM) Langkawi di perairan Pulau Kapas, Kuala Terengganu 7 Februari lalu.
Berbeza dengan agensi yang serupa dari negara lain, APMM bukan sahaja menguatkuasakan undang-undang tetapi juga berkuasa melakukan pendakwaan terhadap mereka yang melanggar undang-undang maritim.
Bagi memudahkan kawalan dan pemantauan, kawasan maritim di Malaysia dibahagikan kepada lima wilayah dan setiap satu mengandungi tiga hingga lima daerah maritim.
Menurut Ismail, Program Hari APMM Bersama Media yang bertemakan Warga Cemerlang Maritim Malaysia Gemilang itu diadakan untuk memberi ruang dan pendedahan kepada media berhubung agensi tersebut dengan lebih dekat.
Kira-kira 50 orang wartawan dan jurugambar dari Pahang dan Terengganu yang menyertai program itu telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti di atas empat buah kapal.
Para wartawan, jurugambar, jemputan khas dan pegawai-pegawai kanan APMM Wilayah Timur dibawa belayar ke perairan Pulau Kapas menggunakan KM Langkawi, KM Amanah, KM Segantang dan KM Ligitan.
Selain itu, Bot Pelindung 1 dan Bot Kilat turut digunakan untuk menyaksikan proses pelupusan bot tahanan dan demonstrasi khas pemeriksaan dan penggeledahan bot nelayan asing.
Menurutnya, bot tahanan itu telah dilucutkan hak dan ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di Perairan Pulau Kapas.
Turut menyertai Program itu adalah Ketua Penguat kuasa Daerah Maritim Kuala Terengganu, Komander Maritim Syed Mohd. Fuzi Syed Hasan dan Pengarah Operasi Wilayah Timur, Kapten Maritim Adam Aziz.
Katanya, wartawan dan jurugambar boleh mengetahui mengenai dunia maritim dengan lebih dekat menerusi interaksi dengan pegawai-pegawai kanan dan pendedahan tentang tugas agensi itu.
Antara objektif program tersebut adalah untuk mewujud dan mengeratkan hubungan organisasi bagi meningkatkan kerjasama media dalam membuat liputan positif yang akan meningkatkan imej APMM.
Mengimbas kembali penubuhan APMM, Ismail berkata, agensi itu ditubuhkan hasil kajian beberapa tahun mengenai keperluan mewujudkan pasukan pengawal pantai nasional.
Penubuhannya diluluskan kabinet pada 21 Ogos 2002 dan pada 16 April 2003, satu jawatankuasa pemandu dan pasukan nukleus diwujudkan bagi membantu kelicinan pelancarannya.
Pada 15 Februari 2005 Akta APMM (Akta 633) mula berkuat kuasa dan APMM memulakan operasi pada 30 Oktober 2005 tetapi pelancaran rasmi hanya berlangsung pada 21 Mac 2006.
APMM yang diberikan tugas bagi memastikan undang-undang maritim di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dikuatkuasa dan memelihara keselamatan, perkara berkenaan alam sekitar dan operasi menyelamat memulakan operasi awal dengan tiga buah kapal.
Sebanyak 17 buah kapal lagi diterima daripada tentera laut, polis, perikanan dan kastam telah diperbaiki dan dibaik pulih.
Sementara itu, sayap udaranya dirancang untuk memperkuatkan pasukan itu.
APMM juga akan menubuhkan satu pasukan elit yang akan bergabung tenaga dengan unit elit ATM dan PDRM dalam meningkatkan keselamatan perairan negara yang dikenali sebagai STAR.
Ketika ini aset APMM telah berkembang mempunyai lebih 40 buah kapal dan tiga helikopter.
- KOSMO!