Arahan Speaker Perak tak sah
Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar, memanggil sidang tergempar DUN, esok adalah tidak sah kerana ia tidak mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong Sabri, berkata tindakan Sivakumar itu juga jelas bercanggah dengan Perintah Tetap (PT) DUN Perak dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak, yang juga undang-undang tertinggi negeri.
Katanya, walaupun Speaker boleh memanggil sidang tergempar DUN berdasarkan PT 8(1), ia perlu dibaca bersama Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak yang memerlukan perkenan Sultan.
Pada masa sama katanya, PT 10(1) juga memperuntukkan hak mutlak untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak dan ia tidak boleh dipertikaikan.
Katanya, Perkara XXXVI(1) memperuntukkan 'Duli Yang Maha Mulia hendaklah dari semasa ke semasa memanggil bersidang Dewan Negeri itu dan tidaklah boleh membiarkan tempoh enam bulan berlalu antara perjumpaan yang lepas dalam satu persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi perjumpaan yang pertama dalam persidangan yang di hadapan'.
"Peruntukan itu adalah Perlembagaan yang juga Undang-undang Tertinggi Negeri Perak dan jelas menunjukkan kuasa memanggil sidang DUN adalah pada Sultan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.
Abdullah berkata, kenyataan itu dibuat bagi menjelaskan kedudukan sebenar perkara berkenaan kerana beliau menerima banyak pertanyaan daripada pelbagai pihak termasuk orang ramai selepas cadangan mengadakan sidang DUN tergempar mendapat liputan media.
Beliau berkata, Sivakumar mengarahkannya mengeluarkan notis segera mengadakan sidang tergempar DUN pada Selasa ini melalui surat bertarikh 25 Februari 2009 yang turut disertakan notis usul daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang dan Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah.
Katanya, PT 8(1) menyatakan notis bertulis tidak kurang 14 hari harus diberikan beliau selaku Setiausaha DUN kepada setiap Adun sebelum mesyuarat penggal baru atau sebelum mesyuarat diadakan semula.
Beliau berkata, syarat notis 14 hari itu hanya boleh dikecualikan dalam keadaan tergempar dan notis berkenaan perlu dikeluarkan seberapa segera yang boleh.
Bagaimanapun, Abdullah berkata, dalam apa jua keadaan, beliau perlu menghantar notis bertulis itu berserta 'warta pemasyhuran memanggil dewan' kepada setiap Adun.
"Pemasyhuran memanggil dewan dibuat oleh Sultan berdasarkan PT1 yang mengatakan '...maka Setiausaha Dewan hendaklah membacakan Paduka Seri Sultan Perak memanggil mesyuarat...'
"Sementara PT 10(1) mengatakan 'Penggal Dewan hendaklah diadakan pada waktu dan tempat sebagai mana ditetapkan Paduka Seri Sultan Perak dari semasa ke semasa melalui pengisytiharan dalam warta," katanya.
Abdullah berkata, berdasarkan PT 10(1), Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak memanggil DUN dan Perkara XXXVI(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak memberi kuasa yang jelas kepada baginda untuk memanggil DUN bersidang.
Jumaat lalu, Sivakumar mendakwa beliau dimaklumkan Penasihat Undang-Undang negeri tidak membenarkan notis sidang tergempar DUN diedarkan walaupun ia sudah dihantar kepada Abdullah.
Pada sidang media di pejabatnya itu, Sivakumar menyifatkan tindakan Penasihat Undang-Undang negeri mencampuri bidang kuasa Speaker sebagai pencabulan dan pertindihan kuasa antara eksekutif dan perundangan.
Beliau juga mendakwa sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan dalam keadaan DUN bersidang biasa.
Speaker daripada Pakatan Rakyat itu memanggil sidang berkenaan bagi membincangkan dua usul berkaitan krisis perlembagaan negeri, tetapi Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir serta enam Ahli Exconya dan tiga wakil rakyat Bebas tidak dibenarkan hadir.
Dua usul berkenaan dicadangkan Chang dan Khalil Idham pada 24 Februari lalu. Khalil Idham mengemukakan usul menyokong Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah, sementara Chang mengusulkan supaya persidangan diadakan bagi membubarkan DUN.
Sivakumar berkata, sidang itu turut diadakan bagi menolak pelantikan Zambry yang juga Adun Pangkor, sebagai Menteri Besar dan beliau berpendapat Speaker mempunyai kuasa mengadakan persidangan tergempar mengikut PT8 dan 11.
- BERITA HARIAN