Bahaya lirik lagu lucah
Dalam satu kajian baru-baru ini yang bakal mencetuskan perdebatan, persoalan yang timbul adakah muzik-muzik remaja berisiko dalam mendorong seks bebas pada usia muda. Jika jawapannya 'ya', apa yang patut dilakukan mengenainya.
Satu satu kajian luar biasa yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di Universiti Pittsburgh telah menggredkan lirik yang mengandungi unsur seksual yang agresif mengikut lagu di carta Billboard Amerika Syarikat.
Lirik-lirik tersebut disusun mengikut lirik yang kurang berunsurkan seksual sehingga lirik yang paling berunsur negatif.
Mereka kemudiannya membuat tinjauan ke atas 711 pelajar berusia antara 16 hingga 18 tahun di tiga buah sekolah menengah mengenai muzik pilihan dan kelakuan seksual.
Keseluruhan 31 peratus pernah melakukan persetubuhan seksual.
Tetapi, hanya 20.6 peratus daripada jumlah itu terdedah pada lagu-lagu yang berada dalam gred paling rendah manakala 44.6 peratus daripada mereka terdedah pada lagu dalam gred paling tinggi.
Brian Primack yang mengetuai kajian tersebut memberitahu, muzik bukanlah pencetus utama kepada seks tetapi ia membantu perkembangan seksual seseorang.
"Lirik-lirik lagu lucah tentang aktiviti-aktiviti seksual lelaki terhadap wanita mendorong golongan remaja menggambarkan kata-kata tersebut dalam kehidupan sebenar," katanya.
Kajian itu juga mengambil kira faktor sosial, pelajaran dan juga etnik dalam membuat kesimpulan.
Lirik-lirik biasa menggambarkan seks dengan cara yang tidak langsung tetapi bagi lirik-lirik keras yang menjatuhkan maruah, ia menggambarkan aksi seks secara terperinci dan fizikal.
Kajian tersebut yang tidak menyatakan nama ataupun artis tetapi memberi contoh bait-bait lirik seperti Wait till you see my d*c* atau I'm gonna beat that p*s*y up.
Ia merupakan satu perdebatan yang tiada penyudahnya. Lirik-lirik lagu kerap menggambarkan seks seperti mana ia sepatutnya secara terang-terangan.
"Diskripsi sedemikian boleh mendorong remaja untuk mencuba aksi tersebut sama ada sebagai pasangan lelaki atau pun wanita.
"Adalah amat penting untuk ibu bapa memahami, meletakkan had dan mengkritik setiap muzik yang didengari anak-anak mereka," kata Steven Martino yang telah membuat kajian pencetus pada tahun 2000 yang juga merupakan seorang saintis untuk Rand Corporation.
Lebih daripada 750,000 remaja Amerika mengandung setiap tahun menjadikan Amerika Syarikat (AS) merupakan antara negara maju yang mempunyai kadar remaja mengandung paling tinggi di dunia.
Hampir suku daripada remaja wanita di AS mempunyai penyakit yang disebarkan melalui hubungan kelamin.
Hampir suku abad lalu, lirik daripada penyanyi Prince melalui albumnya Purple Rain telah mendorong isteri-isteri ahli politik di Washington menubuhkan Pusat Sumber Muzik untuk Ibu Bapa yang diketuai oleh Tipper Gore.
Mereka mendesak industri muzik mengadakan garis panduan dan sistem rating (klasifikasi) untuk lirik seperti mana yang dilakukan filem. Sistem itu dikritik ramai kerana dianggap tidak berkesan dan remaja menjadi lebih berani untuk mendapatkan lagu-lagu tersebut yang dianggap mereka sebagai satu cabaran.
"Kerajaan perlu membantu ibu bapa mengawal industri yang terlalu bebas dan terbuka" kata Presiden Kids First Parents Association, Helen Ward.
Katanya, teknologi masa kini menjadikan mustahil untuk ibu bapa mengawal dan memantau apa yang didengar atau dilihat oleh anak mereka melalui MP3.
Tetapi, Raymond MacDonald yang merupakan seorang pakar psikologi muzik di Universiti Glasgow Caledonian menggambarkan ia sebagai perdebatan ibu bapa terhadap artis seperti Elvis Presley. "Adakah kita perlu mencari penyelesaian kepada masalah ini?" soalnya.
MacDonald berkata, walaupun perkara ini diutarakan setiap generasi, namun ada perbezaannya pada zaman ini iaitu garis umur umpama sudah tidak wujud lagi kerana semua peringkat umur kini mendengar semua jenis muzik.
"Mungkin kita patut mengadakan kajian mengenai adakah muzik seperti itu memberi kesan kepada nenek atau datuk kita dahulu" katanya tersenyum.
- AFP