'Drama Sebabak' Aznil & Din Beramboi


Sepanjang dua minggu, bermula 2 hingga 13 Mac, radio ERA melalui segmen Aznil Riuhkan Pagi ERA Bersama Din Beramboi menganjurkan pertandingan Drama Sebabak Edisi Khas.

Menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM50,000, pertandingan dengan kerjasama Pati Ayam Brand's itu bertujuan untuk menceriakan lagi suasana pagi di kalangan pendengar ERA.

Menariknya, juara bukan sahaja akan membawa pulang wang tunai malah berpeluang muncul dalam filem terbitan KRU Films yang bakal memulakan penggambaran pada pertengahan tahun ini.

Dengan cara menghubungi talian 03-9543 3355 apabila mendengar isyarat penyertaan keudara, pemanggil terpilih kemudiannya dikehendaki berlakon bersama Din Beramboi dalam sketsa ala sebuah drama radio.

Bagi pendengar yang ingin mengambil bahagian tetapi tidak berjaya membuat panggilan ke konti, mereka masih boleh menelefon talian tersebut dari pukul 10 pagi hingga 8 malam untuk uji bakat.

Jika bertuah, Aznil Nawawi dan Din Beramboi akan menghubungi semula mereka pada pagi berikutnya untuk menjadi peserta.

Peserta yang layak untuk menjadi pemenang harian akan ditentukan oleh pendengar ERA lain menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS).

Seramai 10 orang pemenang harian pula akan ke peringkat akhir Drama Sebabak Edisi Khas ERA yang bakal diadakan di Maju Junction, Kuala Lumpur pada 14 Mac ini.

Mereka dikehendaki membuat persembahan drama sebabak secara langsung di hadapan juri profesional yang terdiri daripada Norman KRU dan Saiful Apek.

Menurut Aznil, Drama Sebabak Edisi Khas ERA dilihat mendapat sambutan menggalakkan dan banyak komen-komen positif diterima daripada pendengar yang menyukai program terbabit.

Jelasnya, meski sekadar lakonan ringkas, ia juga sebagai platform kepada pendengar ERA menceburi dunia lakonan selepas dijanjikan muncul dalam filem terbitan KRU Films nanti.

"Mana tahu, jika ada rezeki pemenang Drama Sebabak Edisi Khas ERA akan muncul sebagai pelakon popular satu hari nanti,'' katanya ketika melawat pejabat Utusan Malaysia dan Kosmo bersama Din Beramboi dan Skuad ERA Avanza baru-baru ini.

Ujarnya, sebagai kenang-kenangan, Drama Sebabak Edisi Khas ERA telah pun diterbitkan dalam bentuk cakera padat dengan syarikat rakaman Warner Music bertindak sebagai pengedar.

Kata Aznil, ia memuatkan 10 buah lagu serta himpunan sketsa terpilih dan akan dipasarkan pada 10 Mac ini dengan harga RM25.90. "Idea menerbitkan himpunan sketsa ini muncul daripada Pengurus Rancangan ERA, Nazri Noran,'' jelasnya.

Mesej di sebalik Drama Sebabak

Menjawab soalan mengenai mesej yang hendak disampaikan melalui penganjuran Drama Sebabak Edisi Khas ERA, Aznil memberitahu, ia tidaklah mempunyai mesej yang penting.

Sebaliknya, ia diperkenalkan untuk membangkitkan mood ceria di kalangan pendengar pada waktu pagi.

"Hanya tiga minit sahaja program itu dibawa kepada pendengar. Itulah waktu untuk kita ceria dan lupakan segala masalah dengan ketawa.

"Kalau hendak bawa isu berat pada waktu pagi, itu kami boleh lakukan namun biarlah pendengar dapat sentuhan lain daripada yang lain melalui Drama Sebabak itu,'' ujarnya.

Jelasnya, selain Drama Sebabak Edisi Khas ERA, segmen pagi lain turut mendapat sambutan baik daripada pendengar seperti Pakaian, Warung Pagi dan Jom Debat.

Ditanya mengenai kemunculannya bersama Din Beramboi dilihat sebagai penyelamat kepada radio ERA daripada segi rating, Aznil berkata : "Syukur kerana rating kami masih tertinggi dan segmen pagi pun mencatat rating teratas.

"Kalau hendak kata kami sebagai penyelamat, bagi saya, ia boleh dipertikaikan. Kami bukanlah penyelamat."

Tambah Aznil, kemunculan mereka hanyalah untuk memeriah dan menceriakan waktu pagi kepada pendengar ERA.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url