Halaljournal.com berwajah baru
Majalah dalam talian yang merupakan produk KasehDia Sdn. Bhd. itu kini dipermodenkan dan bekerjasama dengan Google bagi menampilkan ciri carian yang lebih baik, katanya sambil menambah ia juga dipautkan kepada laman-laman web yang lebih besar seperti BBC untuk mendapatkan liputan lebih luas.
"Malaysia berada di barisan hadapan sebagai peneraju konsep Islam progresif dan industri halal. Jadi kami mahu menjadi yang terbaik dalam penyampaian berita dan risikan kepada pasaran," katanya kepada pemberita pada pelancaran majalah dalam talian berwajah baru itu di sini.
Jumaatun, yang juga Pengarah Urusan KasehDia, berkata, firma itu kini memberikan lebih banyak tumpuan kepada kaedah dalam talian yang dianggap sebagai masa depan telekomunikasi dan alat penting untuk mencari pengaruh.
Halaljournal.com menerima kira-kira 600,000 kunjungan sebulan, dan ini merupakan peningkatan sebanyak 30 kali sejak ia mula-mula dilancarkan. Ia kini digunakan bagi memantau arah aliran dan masalah dalam industri halal.
Pada pelancaran itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin berkata, halangan utama dalam membangunkan industri halal ialah kesedaran.
"Kita sedang mengorak langkah ke bidang-bidang halal yang baru. Bukan hanya makanan, malah kosmetik, farmaseutikal, perkhidmatan seperti perbankan, dan juga logistik," kata Jamil.
"Orang mahu tahu apa yang Malaysia buat, terutamanya tentang piawaian halal, dan KasehDia telah meningkatkan kesedaran," katanya.
Kata beliau, pangkalan data dalam talian HDC sendiri, Pusat Sokongan Halal, bekerjasama rapat dengan Halaljournal.com dan berkongsi kandungan seperti fatwa, acara dan berita.
- BERNAMA
