Impian badminton di Seluruh England gagal lagi


Impian untuk membawa pulang gelaran Seluruh England ke bumi Malaysia, menemui kegagalan.

Semalam, pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei tewas 21-19, 21-12 kepada jaguh dari China, Lin Dan pada perlawanan akhir kejohanan itu yang berlangsung di National Indoor Arena, Birmingham.

Kekalahan Chong Wei itu dilihat menutup peluang Malaysia untuk kembali menjulang gelaran tersebut kerana selepas ini misi akan menjadi semakin sukar lebih-lebih lagi pemain kelahiran Pulau Pinang itu semakin dimamah usia.

Tahun ini merupakan peluang terbaik bagi Chong Wei melakukannya tetapi misinya gagal lagi.

Pada perlawanan semalam, Chong Wei nampak macam hilang rentak pada set pertama.

Dia tewas 21-19 dan ia dilihat menyukarkan tugasnya untuk meraih kemenangan pada set kedua.

Pada awal permainan, dia kelihatan begitu yakin malah telah mendahului musuh tradisinya sebelum dipintas ketika hanya memerlukan dua mata lagi untuk menamatkan permainan set pertama.

Namun, kesilapan yang tidak disengajakan sebaik Lin Dan berjaya menyamakan kedudukan kepada 19-19, Chong Wei kelihatan mula hilang konsentrasi.

Dua mata mudah diperoleh Lin Dan, sekali gus memenangi set pertama dengan kemenangan 21-19.

Suatu ketika, Chong Wei seperti sudah ada keyakinan untuk menguasai set pertama itu dengan hantaran kemas sehingga banyak memerangkap pergerakan lawannya itu.

Kawalan gelanggangnya kemas, pukulan smashnya juga sukar dibaca oleh Lin Dan.

Begitupun, rentak cemerlang itu mula goyah sebaik Lin Dan mengutip mata demi mata dan akibatnya, Chong Wei pula yang terperangkap.

Pada set kedua, rentak kedua-dua pemain seimbang.

Masing-masing melakukan kesilapan tetapi Lin Dan yang lebih banyak melakukan serangan.

Chong Wei pula tidak putus-putus melakukan kesilapan dan hantarannya ke garisan belakang juga sering terkeluar.

Pada satu ketika Chong Wei cuba mengajak Lin Dan bermain rali tetapi tidak cukup untuk menyekat kegarangan pemain dari China itu.

Semua yang dilakukan oleh Chong Wei sepanjang permainan set kedua itu mudah dijawab oleh Lin Dan.

Permainan di jaring juga gagal untuk mematikan rentak Lin Dan.

Seperti diduga, Chong Wei terus menerus melakukan kesilapan sehingga menjejaskan rentak cemerlangnya seperti yang dipamerkan ketika menjinakkan Taufik Hidayat dari Indonesia pada perlawanan separuh akhir kelmarin.

Begitupun, ini merupakan pencapaian terbaik Chong Wei pada Seluruh England selepas terkandas sebanyak tiga kali pada peringkat separuh akhir tahun 2005, 2006, 2008.

Pemain negara terakhir yang menjulang gelaran Seluruh England ialah Muhd. Hafiz Hashim pada tahun 2003.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) nampaknya perlu melakukan sesuatu selepas ini kerana selepas Chong masih belum lagi kelihatan pemain perseorangan yang mampu menyengat di persada antarabangsa.

Ketika ditemu bual selepas perlawanan tersebut, Chong Wei menjelaskan bahawa lawannya itu memang sudah bersedia sepenuhnya menghadapi perlawanan akhir.

"Ini adalah penampilan pertama Lin Dan musim ini dan dia memang bersedia sepenuhnya.

"Saya sudah melakukan yang terbaik dan semua serangan yang saya lakukan mudah dijawabnya.

"Saya boleh katakan bahawa kami tadi hanya menunggu salah seseorang untuk melakukan kesilapan bagi mendapatkan mata," kata Chong Wei yang merupakan satu-satunya wakil tunggal negara yang meneruskan cabaran pada kejohanan paling berprestij itu.

Bagi Lin Dan pula, ini merupakan gelaran keempatnya pada Kejohanan Seluruh England.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url