Isu aparteid: Nik Aziz selar kenyataan Cheng Hau

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Dr. Boo Cheng Hau menyamakan amalan 'bumiputeraisme' dengan dasar aparteid.

Tegasnya, negara ini memberikan hak yang sama kepada semua kaum malah setiap rakyat mempunyai hak masing-masing untuk mengundi.

Sehubungan itu, katanya, aparteid tidak sesuai dibandingkan dengan bumiputera di negara ini kerana ia berada pada satu tahap yang berlainan.

"Aparteid ini tinggi sangat. Bumiputera yang kita ada tak sampai situ.

"Kita duduk sebuah negara yang ada kad pengenalan dan boleh mengundi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Cheng Hau mengeluarkan kenyataan itu pada ucapan penangguhan Mesyuarat ke-5, Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-12, Khamis lepas.

Dalam ucapan itu katanya, 'bumiputeraisme' atau pemikiran membantu golongan bumiputera yang diamalkan di negeri ini menyamai ideologi aparteid.

Jelasnya, amalan tersebut dianggap bersifat aparteid kerana berasaskan politik perkauman iaitu golongan yang dominan diberikan keutamaan dalam mendapatkan bantuan.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz yang tidak setuju dengan perbandingan itu bagaimanapun menyatakan perasaan kurang senangnya dengan perkataan hak istimewa bumiputera.

Katanya, semua kaum di negara ini mempunyai hak yang sama dan tidak perlu dibezakan.

"Kalau kita pergi negara China, mereka tidak akan cakap bumiputera Cina.

"Orang bukan bumiputera pun ada alasan terhadap kemajuan yang dicapai negara ini bukannya kaum bumiputera sahaja," katanya.

Sehubungan itu, katanya, biarlah hak istimewa yang dimiliki oleh kaum bumiputera sekarang diberikan kepada golongan miskin tanpa mengira bangsa dan agama.

Tambahnya, dengan cara ini barulah semua rakyat di negara ini dapat dibela.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url