Jangan derhaka pada sultan

Semua pihak di Perak tidak mengira parti perlu bersabar dan tidak mengambil tindakan melulu sehingga menderhaka kepada Sultan, Sultan Azlan Shah.

Tokoh ilmuwan Islam, Datuk Ibrahim Azmi Hassan berkata, sekiranya kedua-dua pihak, Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang tidak bersabar ia akan menyebabkan keadaan menjadi lebih huru hara.

Beliau berkata, pada masa sama, kedua-dua pihak perlu kembali kepada ajaran Islam dan merujuk kepada al-Quran serta hadis dengan teliti tanpa membuat sebarang tafsiran sendiri.

“Dalam al-Quran menyuruh kita patuh kepada raja, jadi jangan keras sangat. Tuhan suruh taat, dalam hadis nabi pun disebut, sekiranya kamu melihat raja melakukan sesuatu yang kamu rasa benci atau tidak bersetuju maka hendaklah kamu bersabar.

“Apa yang berlaku di Perak, kedua-dua pihak kena sabar. Ada baik di kemudian hari, kalau sebelah sana tidak sabar dan di sini pun tidak sabar satu hari akan jadi rusuhan. Jika berlaku rusuhan siapa yang untung, orang Melayu yang akan rugi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum yang bertajuk Kesetiaan dan Kedaulatan Raja, Isu Perak: Dari Sudut Undang-undang dan Islam di sini semalam.

Forum tersebut turut dianjurkan oleh Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK).

Turut hadir Presiden MTRK, Datuk Ibrahim Ali. Beliau bersama peguam, Zainur Zakaria adalah ahli panel forum tersebut.

Ibrahim berkata, agama-agama lain juga menyeru umat mereka taat kepada raja.

“Dalam Kristian termaktub dalam Injil diperintah patuh kepada raja, dalam Taurat juga sama. Agama Buddha dan Hindu juga menyeru umatnya supaya taat kepada raja,” katanya.

Katanya, banyak contoh di negara-negara lain yang menunjukkan bahawa raja amat penting dan tanpanya, negara berkenaan akan menjadi huru hara.

“Sebuah negara yang rakyatnya taat kepada raja, kebiasaannya negara itu aman tetapi sebaliknya berlaku sekiranya rakyat mula menderhaka kepada raja,” katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url