Isu Limbang belum selesai?

Menteri Luar Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, persoalan mengenai kedudukan Limbang boleh dianggap selesai apabila pertukaran surat-surat perjanjian antara Brunei Darussalam dan Malaysia berkaitan sempadan negara dimuktamadkan.

Katanya, bagi menyelesaikan isu tersebut, perbincangan susulan serta pengukuran semula bagi semua tuntutan sempadan perlu dilakukan.

“Limbang tidak ada disebut dalam persuratan itu, cuma tanggapan apabila kelima-lima perjanjian itu dapat dilaksanakan, maka soal Limbang akan selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan cek yang disempurnakan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi pelaksanaan program bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza di sini hari ini.

Rais mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Kedua Brunei, Pehin Datuk Seri Setia Lim Jock Seng mengenai intipati rundingan antara pemimpin Brunei dan Malaysia yang dikatakan berkenaan sempadan darat seluruhnya dan tidak pernah merundingkan isu Limbang.

Rais berkata, Malaysia akan terus mengiktiraf surat dan pertukaran surat dengan negara itu baru-baru ini berhubung masalah sempadan kedua-dua negara seperti yang tertera dalam perenggan lima.

Menurutnya, kerajaan juga akan menghormati dan membuat susulan kelima-lima perjanjian yang telah ditandatangani antara kedua-dua pihak sejak 1920 hingga 1939.

“Kita tidak boleh mengelak pelbagai tafsiran dan tanggapan ahli-ahli politik Brunei dan Malaysia mengenai kedudukan Limbang.

“Kerajaan Malaysia tidak akan terpengaruh dengan sebarang kenyataan politik mengenai Brunei Darussalam menggugurkan tuntutan ke atas Limbang kerana ia hanya tanggapan,” katanya.

Rais menambah menambah kata, pada pandangan umum apabila kelima-lima perjanjian ukur itu dimeterai dan disusul serta dilaksanakan, maka masalah berkaitan sempadan akan selesai.

Katanya, ayat bahawa dengan pelaksanaan kelima-lima perjanjian itu maka selesailah semua isu berkaitan sempadan darat telah menguatkan lagi pandangan tersebut.

“Maka, ini telah diterima dan konsep itulah yang telah membuat banyak pihak beranggapan bahawa kedudukan Limbang juga masa itu, bukan sekarang, akan selesai,” ujar beliau.

Menurutnya, kerajaan tidak perlu menghiraukan pelbagai kenyataan politik sekarang sehinggalah penelitian atau susulan dibuat.

Menurutnya, masalah perairan, maritim, kepentingan-kepentingan sempadan antara Brunei dan Sarawak yang meliputi jajaran dan titik perubahan yang dianggap sebagai penting akan diukur mengikut kelima-lima perjanjian.

Dalam pada itu katanya, sekiranya ia tidak tertakluk dalam kelima-lima perjanjian, maka prinsip titik perubahan akan digunakan dan ini telah diguna pakai oleh semua negara yang menghadapi masalah persempadanan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url