Kekecohan mungkin didalangi pihak ketiga - GMP

Kekecohan yang berlaku ketika perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di ibu negara hari ini kemungkinan dicetuskan oleh pihak ketiga.

Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, perarakan itu tidak dijangka kerana perjanjian awal dengan polis ialah mereka dibenarkan berhimpun di Masjid Negara tetapi bukan untuk berarak ke Istana Negara.

"Saya dan tujuh wakil lain sepatutnya diiringi polis untuk menyerahkan memorandum itu di Istana Negara. Tetapi orang muda tetap hendak berarak. Jadi mereka pun beraraklah.

"Mereka faham, mengikut perjanjian dengan polis sepatutnya tidak boleh berarak. Apa yang jadi, itulah (insiden) yang jadi. Ada orang kata ia provokasi pihak lain. Saya tidak tahu. Tetapi itu mungkin," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Istana Negara di sini petang ini.

Menurut Hassan, polis telah memberi layanan yang baik kepadanya sepanjang proses penyerahan memorandum itu.

Dalam pada itu, insiden hari ini sudah pasti terpahat dalam hati Sasterawan Negara Datuk A Samad Said buat selama-lamanya.

Ini kerana A. Samad merupakan antara mereka yang terkena gas pemedih mata yang dilepaskan pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk menyuraikan kira-kira 5,000 penyokong PPSMI.

"Saya kena dekat hidung, mata dan juga kena tolak. Rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa.

"Ini merupakan kali pertama saya terkena gas pemedih mata dan ia mungkin akan berlaku lagi kerana saya akan terus memperjuangkan misi membantah PPSMI selagi kerajaan tidak memansuhkannya," kata penasihat gerakan itu.

Rakyat diminta merenung dan mencari dalang di sebalik penentangan terhadap dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sehingga berlakunya kekecohan pada perhimpunan bantahan di ibu negara hari ini.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, muslihat dan matlamat pihak berkenaan perlu dipertikaikan kerana kementerian telah bertindak proaktif dengan membuat pelbagai penjelasan mengenai PPSMI.

Menjadi kemusykilan katanya, bantahan dan laporan polis bahawa PPSMI bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan hanya dibuat selepas enam tahun dasar itu diperkenalkan.

"Biarlah orang ramai berhenti seketika melihat keadaan sebenar yang berlaku di negara kita dan tanya siapa sebenarnya yang menimbulkan isu ini, apa muslihat dan matlamat mereka?

"Sebenarnya kita mahu melihat ke depan, mahu rakyat bersatu terutamanya dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

"Tetapi kalau setiap isu yang dibangkitkan dikaitkan dengan isu perkauman dan keagamaan, saya khuatir akhirnya kita tiada masa untuk melihat perkara yang lebih penting untuk masa depan dan kesejahteraan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat antara Jawatankuasa Pengurusan UMNO Pusat dan Badan Perhubungan UMNO Kedah di sini hari ini.

Perhimpunan membantah dasar PPSMI di Masjid Negara petang ini bertukar kecoh apabila ribuan penyokong penganjur bertindak di luar kawalan dengan mengingkari arahan pihak polis.

Dianggarkan 5,000 penyokong yang berkumpul di pekarangan Masjid Negara dan Pasar Seni serta Kompleks Sogo berarak ke Istana Negara walaupun polis melarang mereka berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, sebelum ini kementerian telah memberikan seluas-luasnya ruang untuk pihak yang membantah dasar PPSMI menyatakan pandangan mereka.

Katanya, kertas kabinet juga telah disiapkan untuk dibawa kepada jemaah menteri dan kementerian juga sudah menyatakan komitmen bagi menilai kedudukan dasar itu di peringkat sekolah rendah khususnya di luar bandar.

"Kita telah mengambil kira pandangan mereka yang dinyatakan melalui memorandum dan persidangan meja bulat.

"Sekali lagi menjadi tanda tanya kenapa selepas enam tahun baru buat laporan polis kerana mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan dan sekarang mengadakan perhimpunan bantahan," ujarnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
2 Comments
  • Unknown
    Unknown Ahad, 8 Mac 2009 pada 11:01:00 PTG SGT

    macam2 hal la kan..patutnye wat la kajian dulu pasal suma nie sebelum melaksanakannya

  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Isnin, 9 Mac 2009 pada 12:41:00 PTG SGT

    politik kotor pihak tak beranggungjawab,menangguk di air keruh.laknat lah org tu.siapa makan cili dia le rasa pedasnya

Add Comment
comment url