Keterujaan Maya Karin


Dia cantik, bergaya dan berjaya. Dia juga bekerja keras untuk berada pada kedudukannya. Ya, hari ini, siapa yang tidak kenal Maya Karin Roelcke, antara artis yang berada dalam kelas atas dunia perfileman tempatan.

Tidak dinafikan, kejayaan dan populariti yang diraih meliputi dalam dan luar negara membolehkan duta produk kecantikan L’Oreal Paris ini menjadi idola ramai, juga menjadi antara ikon kebanggaan wanita di Malaysia.

Sememangnya siapa menyangka, anak kacukan Jerman-Melayu yang satu ketika dulu pekat bahasa Indonesia kerana membesar di negara itu kini meraih sanjungan ramai.

Tidak pernah merancang menjadi anak seni, awal pembabitan dalam seni kira-kira sedekad lalu nyata menarik perhatian. Mungkin sahaja kerana kejelitaan yang dimiliki.

Namun tidak dinafikan, dia memiliki pakej sempurna seorang artis - memiliki wajah yang cantik dan bakat yang besar - membolehkan kehadirannya cepat disenangi.

Pun begitu, hanya selepas empat filem yang dilakonkan, watak seram sebagai pontianak sebenarnya membolehkannya mendapat pengiktirafan tertinggi.

Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-49 di Fukuoka, Jepun pada 2004 dan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Seram dan Fantasi Estepona di Malaga, Sepanyol pada 2005 adalah anugerah tertinggi yang diperoleh menerusi pembabitannya dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam. Juga Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM21) tapi kali ini menerusi watak gadis lasak dalam filem Anak Halal selain lima lagi anugerah lain.

Dan sepanjang perjalanan seninya ini, Maya bukan sahaja pelakon terkenal malah mengukuhkan nama dalam bidang nyanyian, pengacaraan juga menjadi rebutan produk dan jenama untuk dijadikan duta. Selayaknya sebagai orang popular.

Terkini, Maya sedang menunggu hari untuk menandatangani satu lagi kontrak besar. Namun masih belum mahu diuar-uarkan biarpun dia sekarang menjalani penggambaran di sebuah pulau dewata.

“Ya, mungkin ramai yang kata industri kita semakin sepi sejak ekonomi jatuh. Tetapi sebenarnya ia tidak menjejaskan saya langsung malah tahun ini merupakan tahun penuh keterujaan buat saya,” kata Maya menguntum senyum manis.

“Saya juga nampak sunyi kecuali menanti satu filem, Pisau Cukur. Itupun dijangka tayangannya pertengahan tahun ini. Tapi saya tetap progres.

“Malah April nanti saya ada satu kejutan. Sangat mengujakan hingga saya tak boleh tidur. Ia tentang kerjaya dan kehidupan,” tambahnya yang turut terkenal sebagai aktivis pemuliharaan ini.

Banyak perancangan dan projek yang sedang diusahakan namun masih belum boleh didedahkan kepada umum, kata Maya, kecuali dia kini sedang giat untuk menerbitkan satu program televisyen berkaitan alam sekitar.

Telah diusahakan sejak empat bulan lalu di bawah syarikat Maya Karin Creative, dia turut bertindak sebagai pengacara, juga melahirkan idea dan skrip. Ada menerima beberapa tawaran berlakon filem tetapi ekoran keadaan ekonomi yang kurang memberansangkan membuatkan kebanyakan tawaran itu masih tergantung.

Bagaimanapun, Maya mengakui tawaran untuk menjadi duta produk tidak putus-putus selain giat menjalani pembikinan album terkini yang dihasilkan selepas lima tahun.

Berkolaborasi dengan Audi Mok sebagai penerbit, album ini sebenarnya sudahpun dicanangkan sejak dua tahun lalu tetapi masih lagi belum menjadi kenyataan.

“Saya akan beritahu kenapa pembikinannya mengambil masa apabila album ini dilancarkan kelak,” kata Maya yang sebelum ini pernah hadir dengan album Erti Cinta dan Bukan Qalamaya.

- Optimis

Sibuk dengan urusan kerja dan endorsan namun perkahwinan bersama guru matematik, Steven David Shorthose atau nama Islamnya Muhammad Ali Abdullah, 38, melengkapkan kehidupannya.

Tujuh bulan bergelar suami isteri selepas diijabkabulkan di Villa La Corte del Lago di Bellagio, Itali pada 14 Ogos lalu, Maya mengakui sedang menyesuaikan diri.

“Ia seperti fenomena lucu. Tapi saya relaks saja. Memanglah ada cabaran. Sebab usia perkahwinan pun masih baru. Kita ikut aliran dan cuba menyesuaikan diri,” katanya mengenai kehidupan perkahwinan yang ditempuhi.

Optimis dengan kehidupan yang seringkali diburu kesibukan, Maya percaya keutuhan sesebuah hubungan dan institusi kekeluargaan bergantung kepada setiap pasangan.

Tidak boleh menyalahkan kerjaya sebagai punca perceraian namun tegas Maya, cinta sahaja juga tidak boleh menyelamatkan sebuah rumah tangga andai pasangan tidak mempunyai minat dan suka pada perkara yang sama. Malah peranan wanita itu sendiri amat penting untuk membantu membina satu perhubungan yang berjaya.

“Perlu berfikiran positif dalam membina perhubungan. Komunikasi itu penting. Kerana itu saya banyak membaca buku-buku berkaitan komunikasi hubungan untuk mendapatkan tips. Juga menonton rancangan Oprah untuk membantu saya mengharungi kehidupan suami isteri,” jelasnya.

Sebagai selebriti, kata Maya, kehidupannya lebih terkongkong daripada wanita biasa kerana semua perkara yang dilakukan ingin diambil tahu oleh khalayak.

“Nak pergi beli telur pun, ada orang nak datang ambil gambar,” katanya sambil ketawa.

Namun dia tidak menyalahkan peminat kerana dia menerima secara terbuka perkara itu. Apalagi, sebagai artis, apabila dikenali dan didekati, itu tandanya diri berjaya dalam industri.

“Memang kadang-kadang anda rasa mahu bersendiri tapi dalam masa yang sama, anda juga perlu ‘menyatakan kesanggupan’ kerana itulah harga yang anda perlu bayar apabila menjadi seorang selebriti.”

Cuma pesannya, ‘kalau saya tengah makan, biarlah saya habis suap dan kunyah makanan dulu baru minta bergambar.’

Tidak pernah merancang menjadi selebriti dan tidak tahu bagaimana untuk mengharunginya, tanpa persediaan, kata Maya, dia bertuah kerana mampu menyesuaikan diri dengan cepat.

“Mungkin kerana saya dibesarkan dalam dua budaya sedikit sebanyak membantu saya untuk lebih bersikap terbuka dan menerima,” ujarnya.

- Anak

Belum merancang untuk menimang cahaya mata, Maya akui sedang berbahagia dengan kehidupan berdua ketika ini. “Bukan tidak mahu tapi tunggu dulu,” katanya.

Lagipun, tegas Maya, dia mempunyai banyak masa untuk melahirkan anak sementelah usianya baru mencecah 29 tahun.

“Lainlah kalau dah umur 36 tahun atau 37 tahun. Itu memang harus mendapatkan cepat. Tapi umur seperti saya, masih ada masa,” ujarnya.

Untuk tempoh masa dua tahun, kata Maya, dia mahu terus menjalani kehidupannya seperti biasa. Melunaskan beberapa perancangan, selesaikannya dan selepas itu barulah memikirkan tentang anak.

“Ya, saya sudah bersedia daripada segi mental dan kewangan tetapi ada beberapa hal yang perlu diselesaikan dulu. Lagipun bukannya salah dan berdosa merancang untuk memiliki cahaya mata,” kata Maya.

Aktres bermata galak itu mengakui pertanyaan yang kerap mengenai anak seolah-olah meletakkan satu tekanan buat dirinya.

“Kerana itu saya kata, artis mempunyai bebanan dan tekanan yang lebih sebab semua orang mahu tahu dan orang pula suka melihat artis bercerai, ada cerita sensasi.

“sebagai artis saya sedar tentang itu dan ia membawa membawa satu perasaan takut sebab orang suka tengok kita tak bahagia dan tak berjaya,” ungkapnya lagi.

Apakah kerana kerjaya yang tidak tentu masa menyebabkan Maya tidak mahu memiliki anak buat masa ini, jelas Maya, itu bukan alasan asalkan kita pandai membahagi dan menguruskan masa.

Apa yang penting, kata Maya, kedua-dua belah pihak, ibu bapa dan anak, harus mempunyai masa dan meluangkan bersama. Malah dia menganggap, kerjaya seni sepertinya memberi kelebihan untuk lebih menyanjungi hubungan ibu-anak kerana harus pandai memberi masa berkualiti kepada keluarga.

- Wanita bahagia

Ditanya mengenai kebahagiaan seorang wanita, Maya mempunyai falsafahnya sendiri. Dalam dunia moden yang penuh tarikan terutama material, untuk mencari bahagia, seseorang itu harus tahu apa sebenar yang dicari.

Ia bukan mengenai apa yang diingini dan apa yang diperlukan tetapi yang kita ada dalam hidup, ujarnya. Jika boleh menerima hakikat itu, maka kita akan memperoleh kebahagiaan yang sebenar.

“Sekarang ini kita mahu macam-macam. Tapi adakah kita mampu untuk mendapatkannya. Janganlah kerana kita tak dapat dan kita lupa apa yang kita ada.

“Kenalah realistik. Ingat dan hargai apa yang kita ada, bukannya mengenang nasib kepada apa yang kita tidak ada. Dalam kehidupan, adanya kedudukan kewangan stabil, cinta dan menyintai melengkapkan kehidupan dan sudah cukup memberi bahagia. Tapi kita sering keliru dengan apa yang kita nak dan apa yang kita ada,” kata duta acara migrasi burung yang dijayakan Malaysia Nature Society di Tanjung Tuan, Port Dickson, Negeri Sembilan selama dua hari pada 14 dan 15 Mac ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url