Komentar - Ikut cara Thailand tangani isu hina raja

Langkah mendakwa lima lelaki Jumaat lalu kerana menghina Sultan Azlan Shah perlu mendapat pujian. Kes pertama dalam perundangan negara ini perlu menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Rakyat perlu disedarkan bahawa kebebasan bersuara tidak sepatutnya disalah guna. Ia bukan untuk membolehkan kita menggugat keharmonian negara.

Jika dibiarkan, perlakuan menghina Sultan dan institusi raja akan berterusan. Ia dibimbangi menjadi fenomena. Jangan sampai sikap kurang ajar ini menjadi 'santapan jiwa' rakyat.

Mungkin dengan sedar atau tanpa sedar, orang Melayu sekali lagi menjadi mangsa. Perlu diingat bahawa insan yang dihina itu ialah Raja Melayu.

Di mana maruah kita jika perbuatan menghina raja dibiarkan begitu sahaja? Di mana taat setia kita seperti yang termaktub di dalam Rukun Negara? Bukankah semua rakyat telah berikrar untuk menunjukkan "Kesetiaan kepada Raja dan Negara"? Buktikanlah ikrar tersebut.

Walau apa sahaja percaturan politik kita, institusi Raja Melayu perlu dipertahankan. Jangan hanya berdiam diri ketika raja kita diperkotak-katikkan.

Memang menyedihkan apabila pihak yang terbabit dalam kes penghinaan ini turut terdiri daripada orang Melayu sendiri. Sepatutnya sebagai Melayu, kita lebih sensitif isu berkaitan institusi diraja.

Adilkah kita untuk menghina Sultan hanya kerana marahkan pihak lain. Jangan biarkan perbezaan politik membunuh akal dan institusi raja menjadi mangsa.

Dalam menangani situasi ini, rasanya amat baik untuk menjadikan Thailand sebagai contoh. Negara itu tidak pernah lekang dengan konflik politik. Tetapi institusi raja tidak pernah menjadi platform untuk rakyat melepaskan geram.

Raja Bhumibol Adulyadej dan keluarganya sentiasa di hati rakyat. Cakapnya didengari dan dihormati. Nampaknya rakyat Thailand lebih setia kepada raja mereka.

Tiada yang berani menghina Bhumibol. Bukan sekadar bimbang dengan tindakan keras tetapi lebih kepada perasaan hormat yang lahir secara jujur dan ikhlas. Lebih penting, mereka tidak mahu institusi raja mereka dipandang lekeh di mata dunia.

Mempertahankan pemerintahan beraja adalah dasar kerajaan Thailand. Walau parti mana sekali pun memerintah, institusi raja sentiasa berada di atas. Ia tiada kena mengena dengan parti politik. Jika elemen ini dihayati, maka tidak akan wujud isu penghinaan kepada raja.

Jangan cakap sembarangan mengenai raja di Thailand. Padah akibatnya. Banyak kes membabitkan orang asing berdepan hukuman penjara kerana menghina Bhumibol. Perbuatan atau perkataan yang dianggap menghina raja boleh menyebabkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.

Seorang penulis Australia dibebaskan dari penjara Thailand pada akhir bulan lalu selepas diampunkan oleh Bhumibol. Harry Nicolaides sebelum itu meringkuk selama lima bulan di penjara kerana bersalah melakukan fitnah bertulis terhadap monarki Thai.

Dia sepatutnya menjalani hukuman tiga tahun penjara kerana menulis novel bertajuk Verisimilitude pada 2005. Novel itu hanya terjual tujuh naskhah.

Jumlah itu bagai langit dengan bumi jika dibandingkan dengan ribuan pengunjung yang melayari Internet dan membaca komen-komen menghina Sultan Azlan Shah.

Institusi Raja Melayu adalah paksi kepada pentadbiran Malaysia. Ke mana haluan Raja Berperlembagaan jika institusi itu boleh dihina sewenang-wenangnya. Maka golongan yang bersikap biadap menghina raja perlu berdepan dengan hukuman sewajarnya.

Tindakan Azrin Md. Zain mengaku salah menunjukkan keinsafan sebenar lelaki tersebut. Sekurang-kurangnya dia telah sedar apa yang dilakukannya itu tidak direstui oleh perundangan kita. Namun bagaimana dengan yang lain?

- UTUSAN
www.utusan.com.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url