Hari Buah Pinggang Sedunia

Hari Buah Pinggang Sedunia yang disambut pada 12 Mac lalu di seluruh dunia merupakan kempen kesedaran kesihatan peringkat global yang memberi tumpuan kepada kepentingan buah pinggang serta menyeru orang ramai untuk menjalani pemeriksaan bagi mengenal pasti sama ada mereka berisiko menghidap penyakit buah pinggang.

Lebih daripada 500 juta individu di seluruh dunia menderita daripada masalah buah pinggang dan ramai yang meninggal dunia sebelum waktunya setiap tahun disebabkan penyakit kardiovaskular yang dikaitkan dengan penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Punca utama penyakit CKD adalah kencing manis dan tekanan darah tinggi. Apabila CKD semakin merosot dan membawa kepada kerosakan buah pinggang, langkah seterusnya adalah menjalani dialisis. Kini, terdapat hampir 17,000 orang pesakit dialisis di Malaysia dan menyedari kos rawatan dialisis yang tinggi, kerajaan telah memberi subsidi kepada pesakit yang miskin dan kurang berkemampuan untuk menerima bantuan seperti mana yang telah ditetapkan oleh garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kempen pada tahun ini diharap dapat meningkatkan tahap kesedaran tentang pentingnya melakukan pemeriksaan awal dan komprehensif khususnya di kalangan mereka dalam kategori berisiko tinggi.

Di Malaysia, sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2009 diadakan dengan kerjasama antara Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF), Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tema sambutan kali ini iaitu Buah Pinggang yang Mengagumkan "Adakah Buah Pinggang Anda Sihat?" jelas menunjukkan peranan penting yang dimainkan oleh buah pinggang untuk menapis dan membersih 200 liter darah setiap hari serta mengawal tekanan darah yang merupakan penyebab dan juga komplikasi untuk CKD.

Slogan "Pastikan Tekanan Darah Terkawal" yang merupakan sebahagian daripada kempen kali ini memberi pendedahan kepada manfaat yang diperolehi dari pengawalan tekanan darah dalam memperlahankan kelanjutan penyakit CKD.

CKD lazimnya berlaku apabila seseorang individu mengalami masalah albumin berlebihan dalam air kencing atau berlaku penurunan mendadak pada fungsi buah pinggang.

"NKF dengan 22 buah pusat rawatan dialisis merupakan badan utama yang menyediakan rawatan dialisis. Namun, kami tidak lagi menumpukan perhatian terhadap rawatan dialisis semata-mata kerana pendidikan awam memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran tentang pengesanan awal dan pencegahan penyakit buat pinggang," kata Pengerusi Lembaga Pengurus NKF, Dr. S.S Gill.

Buah pinggang kita menapis dan membersih hampir 200 liter darah setiap hari. Selain itu, manusia dikurniakan dua buah pinggang yang terletak di belakang abdomen, satu di setiap sisi tulang belakang, di bahagian bawah tulang rusuk yang paling bawah. Saiz setiap buah pinggang lazimnya sebesar saiz penumbuk iaitu buku lima manusia.

Kira-kira lima liter darah mengalir di dalam badan kita. Buah pinggang kita menapis dan membersih kuantiti darah ini sebanyak 40 kali setiap hari. Ini bersamaan dengan 200 liter darah iaitu sejumlah yang boleh diisi ke dalam 200 botol atau 20 timba! Buah pinggang menyingkirkan sisa dan air yang berlebihan dari darah sebagai air kencing.

Di samping itu, buah pinggang kita merupakan organ canggih dan penting dalam pelbagai cara yang lain.

Ia membantu mengimbangi kandungan kimia dalam badan seperti sodium, fosforus dan potasium.

Selain itu, menghasilkan hormon penting yang merangsang sumsum tulang bagi membentuk sel-sel darah merah, mengawal tekanan darah dan memastikan tulang kita sihat dan kuat.

Penyakit buah pinggang menjadi kronik atau CKD apabila ia mula hilang kemampuan untuk berfungsi secara beransur-ansur.

Penyakit ini merupakan sejenis penyakit yang menyerang secara senyap dan sering tidak disedari kewujudannya kerana ia tidak boleh dirasai.

Jika CKD dibiarkan melarat, ia akan mengakibatkan kegagalan buah pinggang. Untuk terus hidup, mereka yang menghidap kegagalan buah pinggang serius perlu menjalani pemindahan buah pinggang atau rawatan dialisis - sering kali dengan mesin yang akan membersihkan darah pesakit tiga kali seminggu. Dialisis dan pemindahan buah pinggang sesungguhnya merupakan kaedah rawatan yang terbaik tetapi boleh didapati di kebanyakan negara. Biarpun di negara maju, rawatan mungkin tidak lagi terjangkau pada masa yang akan datang.

Satu lagi risiko yang lebih berbahaya daripada kegagalan buah pinggang ialah perkembangan penyakit kardiovaskular di kalangan mereka yang menghidap CKD. Penyakit kardiovaskular merupakan pembunuh utama di dunia pada masa ini. Pesakit CKD adalah 10 kali ganda lebih berisiko untuk meninggal dunia akibat sakit jantung dan strok jika dibandingkan dengan mereka yang sihat.

Mujurlah, CKD dapat dikesan pada peringkat awal dan kaedah pengesanan cukup mudah. Pemeriksaan air kencing, darah dan tekanan darah yang mudah dikendalikan dan tidak terlalu mahal dapat menunjukkan tanda-tanda awal masalah buah pinggang.

Dengan pengambilan ubat yang betul untuk mengawal tekanan darah, memperbaiki tahap kawalan kencing manis agar sentiasa berada pada tahap yang normal dan mengubah gaya hidup kepada yang lebih sihat.

Aktiviti Hari Buah Pinggang Sedunia

15 Mac - Health & Contests Fun Day akan diadakan di Plaza South City Seri Kembangan, Selangor.

29 Mac - Sambutan hari keluarga NKF di Taman Tema Sunway Lagoon. Semua pesakit dialisis NKF dijemput hadir.

- UTUSAN
www.utusan.com.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url