Komentar - Penyelesaian masalah banjir kilat
Banjir yang berlaku ekoran hujan lebat sejak pukul 3 petang itu melumpuhkan terus denyut nadi Kuala Lumpur.
Jalan-jalannya bertukar menjadi sungai hingga menenggelamkan ribuan kereta selain melumpuhkan terus khidmat LRT.
Akibatnya ribuan warga kota terperangkap dalam bangunan, stesen LRT dan stesen bas. Mereka juga terpaksa bergelap ekoran bekalan elektrik terputus disebabkan banjir tersebut.
Walaupun tidak sampai ke tahap huru-hara, namun banjir semalam tentunya cukup menyusahkan warga kota, selain kerugian yang terpaksa ditanggung mereka.
Jika tidak mencecah angka bilion sekalipun, kerugian yang terpaksa ditanggung akibat harta benda yang rosak tentunya mencapai jumlah jutaan ringgit.
Yang menjadi persoalan sekarang adakah tahap pengurusan sistem saliran dan perparitan di Lembah Klang dan ibu negara khususnya masih sama seperti dahulu?
Apa sudah jadi dengan peruntukkan berbilion ringgit bagi mengatasi masalah banjir kilat di Kuala Lumpur?
Adakah Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) dengan kos RM2 bilion tidak mampu menyelesaikan masalah banjir kilat yang begitu sinonim dengan ibu negara?
Sebelum ini apabila orang ramai merungut mengenai tindakan menutup terowong SMART ketika hujan hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas, Jabatan Pengairan dan Saliran menjawab matlamat utama ia dibina untuk mengatasi banjir. Bukannya untuk lalu lintas.
Jadi menurut JPS keutamaannya ialah untuk mengatasi banjir dan bukannya untuk menyelesaikan masalah lalu lintas.
Jika benar terowong dwi fungsi yang satu-satunya terdapat di dunia hingga menarik perhatian Discovery Channel itu dibina khas untuk tujuan tersebut kenapa ibu negara terus ditenggelami air semalam?
Persoalan ini bukan bertujuan memperkecilkan kewujudan terowong SMART atau usaha menangani banjir oleh pihak tertentu di ibu negara. Tetapi ia bagi memastikan perbelanjaan sebegitu besar memberikan hasil seperti yang diharapkan.
Kemungkinan besar ramai warga kota terperangkap semalam kerana mereka tidak menyangka ia akan seburuk itu.
Mungkin mereka beranggapan dengan adanya terowong SMART, Kuala Lumpur tidak akan banjir lagi walaupun hujan lebat.
Anggapan itu meleset kelmarin apabila hujan lebat berterusan sejak pukul 3 petang menukar ibu negara menjadi lautan.
Orang ramai yang terperangkap di jalan raya dan tempat letak kereta hanya mampu melihat kenderaan mereka ditenggelami air lumpur tanpa mampu berbuat apa-apa.
Adakah ini bermakna Kuala Lumpur tidak dapat dipisahkan dengan banjir biarpun pelbagai projek yang menelan belanja berbilion ringgit bagi mengatasi bencana alam itu telah dilaksanakan?
Ini merupakan cabaran kepada pihak terbabit untuk mengenal pasti punca masalah ini dan mencari jalan penyelesaiannya.
Jangan sampai perbelanjaan berbilion ringgit yang diperuntukkan melalui pelbagai projek yang telah dilaksanakan itu hanyut bersama aliran banjir lumpur.
- UTUSAN
