Komentar - Prestasi tahun pertama wakil rakyat menghampakan

Oleh AZMAN ANUAR

Pejam celik sudah setahun berlalunya Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008. Ketika ini, tidak kedengaran lagi mana-mana parti politik mahu meraikannya.

Adalah memalukan jika ada parti politik mahu meraikan sambutan genap setahun kemenangan masing-masing memancing undi para pengundi.

Tidak malukah wakil-wakil rakyat terhadap apa yang telah mereka laksanakan dalam tempoh setahun ini. Mana janji-janji perkhidmatan dan habuan untuk diberi kepada rakyat sebagai mana dalam manifesto jika parti mereka menang pilihan raya.

Sepanjang tempoh 365 hari lalu, hampir tiada hari dan minggu atau bulan yang sepi daripada bicara politik.

Dari hari pertama pilihan raya hingga sekarang, rakyat hanya dapat menyaksikan parti politik bercakaran antara satu sama lain.

Kalau diimbas satu persatu apa yang berlaku setahun lalu, tak cukup ruang untuk ditulis. Sebab terlalu panjang dan berjela-jela kemelutnya.

Belum selesai satu kemelut politik, timbul pula kemelut yang lain. Sampai hari ini pun, kemelut masih berterusan. Esok pun mungkin timbul isu baru.

Kes di mahkamah yang melibatkan wakil rakyat pun kian melambak. Tidak tahu bila akan berkesudahan. Mungkin setahun, dua tahun atau sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 pun kes tidak selesai.

Rakyat hanya memerhati tingkah laku ahli-ahli politik baik Barisan Nasional (BN) mahupun pakatan pembangkang - PKR, DAP dan Pas.

Dalam tempoh setahun ini juga dapat dilihat perkara-perkara sensitif dalam isu hak istimewa bumiputera, agama, tanah, institusi raja-raja Melayu dibangkit secara terbuka.

Baru berjaya menawan lima negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan, pelbagai kekecohan berlaku.

Mungkin terkejut dengan kemenangan besar dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen, ada pemimpin politik bagai tidak tahu adab di Dewan Rakyat. Pelbagai perkataan kesat dihamburkan dengan sesuka hati kerana kononnya ada kekebalan.

Sidang Parlimen juga sering terganggu akibat gelagat wakil-wakil rakyat yang bertelagah mengenai isu teknikal.

Pemerintah dalam kerajaan negeri pun sama. Kemaruk dengan 'kejutan kuasa' pelbagai tindakan yang menyakitkan hati majoriti rakyat diumumkan tanpa peduli sensitiviti kaum lain.

Betulkah tindakan meluluskan sesuatu projek itu untuk majoriti kaum atau hanya bermotif memenangi hati kaum bukan Melayu sahaja.

Kalau diperhatikan, sejak setahun pasca Pilihan Raya Umum Ke-12, ada cubaan untuk menggugat kuasa orang Melayu.

Politik orang Melayu kini berpecah kepada tiga - UMNO, Pas dan PKR. Apabila Melayu berpecah, secara perlahan-lahan satu persatu kedudukan institusi Melayu dicabar. Walaupun beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan dipinda tetapi isu-isu itu tetap diungkit silih berganti.

Memang letih apabila memikirkan sepanjang setahun ini, walaupun ada tetapi tidak banyak pembangunan dan projek membantu kehidupan rakyat diumumkan.

Rakyat juga bosan membaca tentang perangai dan sikap wakil rakyat yang bagaikan tidak boleh ditegur. Golongan wakil rakyat yang tidak boleh dikritik, lebih baik jangan jadi wakil rakyat.

Saman oleh wakil rakyat ke atas pihak yang mengkritik sebenarnya cuba menutup orang ramai daripada membuat bantahan.

Di Selangor, Perak dan Pulau Pinang, pemimpin politik bagaikan 'raja.' Kuasa yang diberi oleh rakyat membuatkan pemimpin politik yang memerintah kerajaan negeri bagaikan lupa diri.

Penyalahgunaan kuasa, skandal seks dan gambar bogel melibatkan wakil rakyat cukup menyedihkan. Adakah rakyat tersalah pilih atau parti politik tidak menapis terlebih dahulu calon-calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya. Jadi akibat tindakan tangkap muat, inilah kualiti wakil rakyat yang masyarakat terima.

Kekecohan dalam Kerajaan Negeri Perak, kelembapan pembangunan di Pulau Pinang dan kes rasuah dan penyelewengan kuasa di Selangor, memperlihatkan gaya pemimpin yang rakyat pilih.

Tidak mengapa. Inilah hasil keputusan pengundi setahun lalu. Mereka keluar untuk 'mengajar' dan memberi mesej kepada wakil-wakil rakyat dan pemimpin parti politik komponen BN.

Mereka mengharapkan pakatan pembangkang dapat menunjuk prestasi yang lebih baik daripada BN. Tetapi ternyata, PKR, DAP dan Pas belum mampu mentadbir negeri dengan baik berdasarkan tempoh setahun ini.

Baru pakatan pembangkang sedar, bukan mudah untuk memenuhi hasrat dan harapan rakyat. Bukan mudah untuk mencari pendapatan untuk sebuah negeri. Jika pengurusan dan pentadbiran negeri pun kucar-kacir, bagaimana rupa bentuk jika hendak memerintah sebuah negara.

Hakikatnya, kerajaan negeri pimpinan kerajaan campuran PKR, DAP dan Pas mengharungi tempoh lebih sukar dalam tahun kedua, dan ketiga nanti kerana kini mereka juga berdepan dengan krisis ekonomi global.

Rakyat mulai sekarang patut membuka ruang di dalam akal fikiran supaya dapat dicatatkan penilaian prestasi wakil rakyat BN dan pembangkang sehingga menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url