Lin Dan tumbang jua akhirnya di tangan Lee Chong Wei

Dendam jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terhadap musuh tradisinya, Lin Dan dari China akhirnya terbalas juga.

Lin Dan seringkali menjadi penghalang Chong Wei termasuklah mengalang pemain Pulau Pinang itu meraih pingat emas pertama negara pada temasya Sukan Olimpik di Beijing tahun lepas serta kejayaan sulung pada Seluruh England minggu lalu.

Begitupun semalam, Chong Wei membuktikan kehebatannya apabila menundukkan Lin Dan straight set 21-16, 21-16 pada perlawanan akhir Terbuka Switzerland.

Pada aksi yang mengambil masa 52 minit itu, Chong Wei mempamerkan semangat juang yang tinggi dan aksi yang lebih sempurna berbanding pada Seluruh England lalu.

Meskipun Lin Dan bermula garang apabila mengutip tiga mata pertama, Chong Wei bangkit untuk menyamakan kedudukan 13-13 buat pertama kali sebelum mendahului 16-15.

Pada set kedua, Chong Wei lebih konsisten termasuk meraih tujuh mata berturut-turut untuk menewaskan Lin Dan buat kali keempat daripada 15 pertemuan.

Ini juga merupakan kemenangan pertama Chong Wei sejak kali terakhir menjuarai Terbuka Jepun pada September 2007. Dua lagi kemenangan Chong Wei hadir pada Terbuka Malaysia 2005 dan 2006.

Menurut jurulatih negara, Datuk Misbun Sidek, Chong Wei menggunakan strategi dan taktikal yang tepat untuk menundukkan Lin Dan.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, Chong Wei tewas kepada Lin Dan pada Seluruh England lalu bukan disebabkan skil tetapi disebabkan strategi dan taktikal," kata Misbun kepada Kosmo! semalam.

"Kali ini, Chong Wei menggunakan strategi yang betul yang bersesuaian dengan situasi pada perlawanan tadi (semalam).

"Meskipun kedua-dua pemain kita lihat bertungkus lumus, namun kita dapat lihat Chong Wei lebih dominan dalam permainan kali ini.

"Lagi pula, Chong Wei bermain dengan lebih tenang kerana dia tidak tertekan berbanding pada Seluruh England.

"Sebaliknya Lin Dan pula pasti lebih tertekan kerana dia merupakan juara bertahan selain baru sahaja menjuarai Seluruh England minggu lepas.

"Secara keseluruhannya, saya memang berpuas hati dengan permainan Chong Wei hari ini (semalam)."

Sementara itu, melengkapkan kejayaan Chong Wei semalam ialah kemenangan beregu lelaki No. 1 negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dalam acara beregu lelaki.

Juara edisi 2007 itu menewaskan beregu pilihan ketiga dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen 21-14, 21-18 untuk kejuaraan pertama mereka musim ini.

- KOSMO!
www.kosmo.com.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url