Mampukah Mentor 3 menyengat?

Apabila stesen televisyen swasta pertama negara, TV3 mengumumkan rancangan pencarian bakat baru terbitan mereka, Mentor yang akan kembali untuk musim ketiga, pelbagai persoalan yang mula bermain di minda.
Tidakkah TV3 belajar dari pengalaman lalu apabila dua orang juara yang pernah diangkat darpadai program itu iaitu Pija selaku juara Mentor musim pertama (2005) dan Fiq sebagai juara Mentor 2 (2006) tidak membawa sebarang impak di dalam industri?
Bukan itu sahaja, dengan lambakan rancangan realiti yang ada di dalam negara ini, apakah sebenarnya motif dan fokus TV3 untuk meneruskan Mentor untuk musim ketiga.
Menjawab persoalan itu, Muhamad Suffian Isa selaku penerbit Mentor 3 memberitahu, sepanjang tiga tahun, pihaknya telah banyak belajar daripada kesilapan dan kelemahan lalu untuk menjadikan musim ketiga ini lebih baik daripada dua musim dahulu.
Salah satu perubahan besar yang ditampilkan dalam Mentor 3 adalah dengan menjemput enam orang artis yang dipilih menjadi mentor untuk memilih, menilai dan menjalankan uji bakat sendiri dalam menentukan mereka yang terbaik untuk dijadikan protege.
"Kami tidak menjanjikan bulan dan bintang apabila musim ketiga ini muncul tetapi misi kami kali ini adalah untuk melahirkan bakat baru yang mampu memberikan impak yang besar untuk industri.
"Dengan memberi sepenuh kebebasan kepada mentor untuk memilih protege mereka sendiri, kami percaya Mentor 3 mampu memberikan sesuatu yang berbeza untuk penonton dan pecinta muzik tempatan," katanya pada sidang media yang diadakan di Sri Pentas, TV3, baru-baru ini.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Sherina Mohamed Nordin serta lima orang artis yang dipilih untuk menjadi mentor kali ini iaitu Awie, Adibah Noor, Mas Idayu, Lah Ahmad dan Jaclyn Victor.
Cuma Ajai sahaja tidak hadir kerana berada di Jakarta, Indonesia ketika itu atas urusan kerja.
Memperlihatkan nama-nama seperti Awie, Ajai, Adibah Noor dan Mas Idayu, tidak dinafikan masing-masing mempunyai kekuatan berdasarkan pengalaman luas mereka dalam bidang industri.
Tetapi, apabila nama Jaclyn atau Jac dan Lah dipilih sebagai mentor, timbul juga keraguan memandangkan mereka boleh dikira masih lagi baru dalam bidang nyanyian.
"Kami mengambil kira dari segi kualiti dan pembabitan mereka dalam industri. Saya percaya Jac dan Lah mampu memberikan yang terbaik kepada protege mereka atas dasar bakat dan pengalaman yang pernah mereka perolehi sebelum ini.
"Jika diukur kepada usia mereka dalam bidang ini, memanglah boleh dikira sebagai baru, tetapi, mereka sebenarnya mempunyai pengalaman yang orang luar sendiri tidak pernah ketahui. Jadi, kami mahukan itu untuk mereka curahkan kepada protege mereka kelak," ujarnya lagi.
Bukan itu sahaja, satu lagi kelainan yang diperkenalkan dalam Mentor untuk musim ketiga ini adalah apabila sesi uji bakat tidak lagi dijalankan ke seluruh pelosok negara.
Sebaliknya, uji bakat yang telah pun bermula pada 14 Mac lalu akan diadakan selama enam minggu dan hanya bertumpu kepada satu lokasi sahaja iaitu di Theatrette, Sri Pentas, TV3 bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang.
"Ini juga sebagai salah satu cara untuk kami melihat kesungguhan dan komitmen para peserta seandainya mereka mahu menjadi seorang artis kelak," jelas Suffian sambil mengharapkan magis akan terhasil menerusi Mentor 3 tahun ini.
Uji bakat bersama Jac dan Mas Idayu telah bermula pada 14 dan 15 Mac lalu manakala pada 21 dan 22 Mac ini menyaksikan Lah Ahmad dan Adibah Noor akan menjalankan uji bakat memilih protege mereka.
Seterusnya, pada 28 Mac dan 4 April depan pula, giliran Ajai dan Awie pula memilih bakat terbaik untuk dijadikan protege mereka.
Ditanya apakah rasionalnya mengembalikan semula Mentor 3 setelah rancangan itu hampir dilupakan oleh sebahagian peminat hiburan tanah air, ini jawapan yang diberikan Sherina.
"Selama tiga tahun sejak Mentor 2 tamat, kami telah melakukan penyelidikan dan kami dapati kelompok peminat rancangan ini masih lagi kuat. Malah, mereka sendiri bertanyakan bilakah Mentor akan kembali.
"Disebabkan itu, pihak TV3 mahu rancangan ini kembali selain daripada menyegarkan kembali ingatan mereka terhadap Mentor," jelasnya.
Jika dua musim terdahulu, juaranya dipilih secara mutlak oleh 100 peratus menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi musim ini semuanya berubah.
Tiga juri jemputan yang akan mengadili persembahan para peserta nanti akan menyumbang kepada 50 peratus daripada markah keseluruhan manakala 30 peratus lagi adalah undian SMS dan selebihnya adalah undian daripada juri awam yang terdiri daripada penonton di studio.
Mentor 3 akan memulakan siarannya pada 19 April depan manakala konsert mingguan pula akan bermula pada setiap hari Ahad bermula 3 Mei depan pukul 9 malam.
- UTUSAN
www.utusan.com.my
