Mangsa cinta siber rugi RM5,000
Kerani berusia 43 tahun mengenali lelaki terbabit yang tinggal di London tidak sampai dua minggu melalui laman sembang di Internet sebelum suspek meluahkan perasaan cinta kepada wanita berkenaan.
Selepas berjaya ‘menundukkan’ mangsa dengan janji manis, lelaki terbabit menghantar satu bungkusan mengandungi cincin, satu set barang kemas, komputer riba dan telefon bimbit sebagai hadiah kepada mangsa.
Wanita yang tidak mengesyaki apa-apa bersetuju mengambil hadiah yang diberikan suspek.
Menurut sumber, mangsa dimaklumkan sebuah syarikat kurier di United Kingdom untuk membuat pembayaran RM4,700 ke dalam satu akaun individu jika ingin mengambil bungkusan berkenaan.
“Disebabkan mahu mengambil hadiah dikirim lelaki itu, mangsa membuat pembayaran ke dalam akaun diberikan wakil syarikat kurier itu tanpa berfikir panjang,” katanya.
Katanya, selepas wang berkenaan dimasukkan mangsa menghubungi syarikat kurier berkenaan untuk mengambil bungkusan berkenaan, namun pekerja di situ memaklumkan bungkusan terbabit ditahan kerana tiada sijil insurans.
“Pekerja itu turut memaklumkan mangsa perlu menunggu panggilan yang akan dibuat wakil syarikat kurier terbabit,” katanya.
Menurutnya, mangsa menerima panggilan dari wakil kurier berkenaan beberapa hari kemudian yang mengatakan bungkusan itu boleh diambil jika dia menjelaskan bayaran RM12,000.
Berasakan ada sesuatu yang tidak kena, mangsa tidak mengendahkan arahan dan membuat laporan di Balai Polis Pantai di sini, kelmarin.
- HARIAN METRO
