Muflis dikikis suami


Hidupnya senang apabila berjaya memiliki butik yang terkenal di kalangan artis dan golongan VIP.

Berikutan itu, pereka fesyen dikenali sebagai Masliza, 36, didatangi pelbagai pelanggan mewah, termasuk seorang lelaki warga Pakistan yang mendakwa ahli perniagaan sebuah syarikat minyak untuk membeli pakaian daripadanya.

Dengan bermodalkan wajah kacak mirip pelakon Bollywood, lelaki asing itu menawan hati pereka fesyen terbabit hingga sanggup menjadi isterinya walaupun baru mengenal hati budi masing-masing tiga bulan.

Namun, kebahagiaan yang diharapkan wanita itu menjadi episod kesengsaraan sebaik menjadi isteri kepada warga Pakistan terbabit.

Hartanya bukan saja dikikis hingga hampir muflis, malah dia didera dan diugut bunuh oleh suaminya.

Lebih malang apabila dia turut dijadikan alat untuk menjalankan kegiatan jenayah suaminya yang didakwa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram dan sindiket membawa masuk rakyat asing ke negara ini.

Mengimbau perkenalan dengan suaminya, Masliza berkata, dia didatangi lelaki itu di butiknya di kawasan perniagaan strategik di Lembah Klang pada April 2003.

“Mulanya, dia yang mengaku ahli perniagaan syarikat minyak dan mahu membeli pakaian seperti urusan pelanggan lain. Kemudian, dia semakin kerap datang termasuk mengajak saya makan.

“Ketampanan wajah dan kata-kata manisnya membuatkan saya cair, lalu jatuh cinta kepadanya.

Ini membuatkan saya bersetuju menerima lamaran untuk berkahwin dengannya selepas tiga bulan berkenalan.

“Ketika itu, saya tidak mempedulikan perasaan keluarga yang berat hati menerima keputusan berkahwin dengan warga Pakistan,” katanya.

Mulai saat itu, kata Masliza, keindahan hidup berumah tangga yang dikecapinya hanya seketika.

Ini kerana dia mendakwa suaminya mula menunjukkan ‘belang’, lebih-lebih lagi selepas dia menjual butiknya kerana menurut arahan menjadi suri rumah sepenuh masa.

Dia juga bersetuju dengan pujukan suaminya untuk membuka perniagaan lain.

Menurutnya, suami semakin kerap pulang lewat dalam keadaan mabuk dan sering bersikap kasar, termasuk memukulnya.

“Ia berlanjutan hingga kami memiliki dua anak. Malah, saya hanya mampu melihat suami memukul anak sulung kami yang kini berusia empat tahun,” katanya.

Anak lelaki sulung Masliza kini ditempatkan di sebuah pusat penjagaan psikiatrik kanak-kanak khas atas arahan mahkamah mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

“Saya bukan tak mahu bercerai, tapi sangat takut dengan ugutannya termasuk ancaman bunuh dan amaran membawa lari dua anak lelaki saya ke Pakistan,” katanya.

Masliza sudah membuat lima laporan polis sejak 2003 hingga kini serta enam kali laporan doktor yang menunjukkan dia dalam keadaan kritikal dari segi mental, termasuk pernah dimasukkan ke wad psikiatrik.

Baru-baru ini, Masliza terkejut apabila sepasukan anggota polis menyerbu rumahnya kerana disyaki terbabit aktiviti pengubahan wang haram dalam sindiket antarabangsa.

“Selepas disoal siasat barulah tahu suami meniru tanda tangan saya dan menggunakan syarikat didaftar atas nama saya untuk pelbagai kegiatan haramnya,” katanya yang sudah membuat tuntutan fasakh.

Berikutan suami masih belum ditahan, Masliza kini menumpang di rumah rakan, manakala anak keduanya diserahkan kepada rakan untuk dijaga kerana bimbangkan keselamatannya.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url