Pelan pengunduran tentera Amerika di Iraq
Peta ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Iraq pada awal 2010: Marin akan meninggalkan kawasan padang pasir di barat negara ini, unit tentera akan berada di bekas zon Britain di selatan dan misi keseluruhan akan tertumpu pada hab udara dan logistik di tengah dan utara Iraq.
Sementara itu, para pemerintah tentera akan mengalihkan perhatian untuk membantu pasukan tentera Iraq untuk mengawal keselamatan mereka sendiri.
Pentagon masih belum mengeluarkan perincian jelas mengenai rancangan Presiden Barack Obama untuk menamatkan misi tempur AS di Iraq menjelang 31 Ogos tahun depan namun secara kasarnya ia sedang berjalan lancar.
Kenyataan dari pegawai tentera, laporan kerajaan dan temuramah dengan perancang AS dan Iraq sendiri, memberikan gambaran meluas mengenai formasi AS di Iraq apabila pengunduran dipercepatkan tahun depan.
Antara 35,000 dan 50,000 askar dikekalkan dalam tempoh peralihan sebelum semuanya dipanggil pulang pada penghujung 2011.
"Latihan, peralatan dan nasihat kepada pasukan keselamatan Iraq akan diteruskan selagi mereka tidak berpuak; menjalankan misi antikeganasan dan melindungi orang awam dan usaha ketenteraan di Iraq," jelas Obama dalam ucapan beliau di Camp Lejeune, North Carolina semalam.
Tidak akan berlaku perubahan mendadak kehadiran tentera AS di Iraq pada tahun ini.
Kesemua 138,000 askar AS akan kekal di Iraq sehinggalah pilihan raya umumnya penghujung tahun ini. Mengekalkan kawalan keselamatan semasa proses pengundian adalah keutamaan bagi komander tertinggi AS di Iraq, Jeneral Ray Odierno dan beberapa pegawai atasan Pentagon.
Selepas itu pengunduran akan dilakukan segera. Peralihan besar yang pertama mungkin melibatkan 22,000 anggota Marin di wilayah Anbar iaitu kawasan padang pasir di barat Iraq yang pernah dikuasai pemberontak.
"Pasukan Marin telah menguji laluan keluar menerusi Jordan dalam pelan pemanggilan pulang besar-besaran yang termaktub dalam 'kalendar tahun 2010'," kata Timbalan Pembantu Ketua Staf Logistik Kor Marin, Terry Moores.
Di sebelah selatan, unit tentera AS merancang untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pengunduran 4,000 askar Britain yang diletakkan di luar Basra, bandar kedua terbesar Iraq dan hab lapangan minyak negara ini.
Odierno menjelaskan, ibu pejabat divisyen dengan 1,000 anggota akan dihantar ke Basra dan peralihan akan dimulakan penghujung bulan ini, kemungkinan dikekalkan di bandar itu sehingga pengunduran penuh pada 2011.
Basra adalah bukti kemampuan Iraq mengawal keselamatannya sendiri. Iraq dengan bantuan AS melancarkan serangan ke atas militia Syiah dan berjaya menguasai sebahagian bandar. Namun kontinjen kecil Britain keseluruhannya tidak membantu operasi keselamatan dan menyerahkan kepada komander tentera Iraq.
Bahagian utara Iraq bagaimanapun masih menimbulkan kebimbangan Pentagon.
Bandar ketiga terbesar Iraq, Mosul, masih menjadi tempat perlindungan Al-Qaeda dan jalan-jalan di sana adalah antara yang paling bahaya.
Selasa lalu, dua orang polis Iraq melepaskan tembakan semasa pemeriksaan oleh tentera AS ke atas unit keselamatan Iraq di bandar itu, menyebabkan seorang askar dan seorang penterjemah terbunuh.
- AP