Kuala Terengganu
Kuala Terengganu (Sebutan bahasa Malaysia: [ˈkuˈala ˈtəˈrengˈganu]; sebutan dalam loghat tempatan: Kole Tranung; Jawi: کوالا ترڠݢانو; kebiasaannya diringkaskan kepada KT) ialah ibu negeri, bandar diraja, dan pusat ekonomi utama negeri Terengganu Darul Iman. Kuala Terengganu terletak sekitar 450 kilometer ke timur laut Kuala Lumpur, di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Bandar raya ini terletak di muara Sungai Terengganu, berhadapan dengan Laut China Selatan.
Sebagai sebuah daerah di Terengganu, Kuala Terengganu merupakan yang terkecil dari segi keluasan, tetapi (sekiranya kawasan daerah Kuala Nerus yang terletak bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu diambilkira) ia mepunyai jumlah penduduk terbanyak di negeri ini iaitu 343,284 orang pada 2010.[1][2] Status bandar raya deberikan kepada Kuala Terengganu dengan gelaran Bandaraya Warisan Pesisir Air pada 1 Januari 2008. Walaupun Kuala Terengganu tidak terkecuali daripada pemodenan dan pembangunan, ia masih mengekalkan ciri-ciri kemelayuan yang masih utuh sambil digabungkan bersama-sama warisan dan budaya lain disebabkan sejarah panjangnya sebagai pelabuhan.[3]
Sejarah
Di pesisir Kuala Terengganu, terdapat sederet rumah kedai yang dikenali sebagai Kampung Cina (China Town) yang telah wujud semenjak sekian lama. Ia merupakan perkampungan pedagang Cina yang berdagang antara China dan Semenanjung Tanah Melayu yang bermula semenjak awal abad ke 15.[4]
Kewujudan Kampung Cina adalah bukti wujudnya hubungan perdagangan erat antara kerajaan China dan Kerajaan Terengganu. Pelayar terkenal, Abdullah Munsyi yang singgah ke Kuala Terengganu pada abad ke-19 mencatatkan, kaum Cina pada zaman tersebut berkomunikasi sepenuhnya dalam bahasa Melayu Terengganu.
Kuala Terengganu adalah satu bandar raya perdagangan maritim yang penting pada zaman purba. Rekod awal menyatakan Kuala Terengganu pernah memiliki hubungan perdagangan antarabangsa dengan China. Rekod menyatakan Kuala Terengganu adalah antara kota persinggahan utusan kerajaan Ming China, Laksamana Zheng He diantara tahun 1405 dan 1433.
Kuala Terengganu berkembang menjadi bandar perdagangan yang penting antara kedua negara. Bagaimanapun, selepas Empayar Melaka menakluk bandar ini, pengaruhnya sebagai pelabuhan terutama di kawasan Asia Tenggara merosot kerana kebanyakan pedagang lebih gemar berhenti di Melaka, yang merupakan pusat perdagangan antara China, India dan Asia Tenggara.
Catatan bertulis
Kuala Terengganu dipercayai telah dihuni semenjak beribu ribu tahun lagi. Catatan cendekiawan China seperti ’Ling-wai-Tai-ta’ karangan Cao-Cu-Fei tahun 1178, menyebut ’Teng-ya-nu’ dan buku ’Cu-fan-Cih’ karangan Cao-Ju-Kua tahun 1226 menyebut Teng-ya-nung’. Kedua dua nama tersebut merujuk kepada nama Tengganu yang dikatakan jajahan takluk Kerajaan Seri Wijaya (San-fo-Cih) pada kurun ke-2.
Selain itu, ahli atronomi terkenal Greek, Ptolemy ada mencatatkan kewujudan dua buah pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu. Pelabuhan itu ialah Primoula dan Kole. Primoula dipercayai di Kuala Terengganu dan Kole di Kemaman. Catatan lain menunjukkan wujudnya kota Foloan, di Kuala Berang, di hulu Sungai Terengganu. yang dipercayai menjadi kota satelit pada Kuala Terengganu.
Catatan penulis China pada masa Dinasti Sui ada juga menyebut tentang sebuah Negeri yang dinamai ’Tan-Tan’ yang menghantar Ufti ke China. Paul Wheatley membuat kesimpulan negeri yang dimaksudkan di dalam catatan China itu mungkin berpusat di Kuala Besut atau Kuala Terengganu.
Catatan tersebut juga menyebut bahawa Kuala Terengganu dan Kuala Berang merupakan pusat perdagangan maritim utama pada abad kedua belas. Sungai Terengganu merupakan laluan utama dan penting bagi pedagang-pedagang asing pada zaman itu. Perdagangan barangan seperti kayu gaharu, kayu laka, gading bermutu tinggi di jadikan pertukaran dengan emas dan perak.
Pengembara China, ‘Chao Ju Kua’ dalam catatan yang ditulisnya pada tahun 1225, ada menyebu ‘Teng-Ya-Nong‘ atau Kuala Terengganu sebagai sebuah pelabuhan perdagangan yang penting di persisiran pantai timur Tanah Melayu.
Bukti lain kewujudan sebuah kerajaan purba di Terengganu, ialah seketul batu granit berbentuk empat segi yang berukir tulisan dengan ukuran 84 cm tinggi, 53 cm lebar bahagian atas dan 27cm lebar di bahagian bawah dan berat batu tersebut 215 kg yang dikenali sebagai Batu Bersurat. Batu tersebut bertulisan Jawi dan menggunakan Bahasa Melayu Kuno. Penemuan itu juga telah menjadi bahan sejarah yang tidak ternilai dan merupakan satu-satunya bukti yang menunjukkan kemasukan agama Islam ke Tanah Melayu pada abad keempat belas lagi.
Sejarah Terengganu moden bermula apabila Tun Zainal Abidin dari keturunan diRaja Johor ditabalkan memerintah Terengganu pada 1708. Baginda memakai gelaran Sultan Zainal Abidin 1.
Ibu kota
Sebagai ibu negeri Terengganu, bandaraya ini berperanan penting dalam politik dan ekonomi seluruh negeri. Kuala Terengganu merupakan pusat bagi pelbagai agensi, jabatan dan badan kerajaan negeri dan persekutuan, antaranya seperti Jabatan Imigresen dan Kastam, Unit Perancang Ekonomi Negeri, pejabat besar Pos Malaysia, Perpustakaan Negeri Terengganu, dan lain-lain. Memandangkan bandaraya ini merupakan pusat pentadbiran negeri, Wisma Darul Iman, bangunan sekretariat negeri menempatkan Dewan Undangan Negeri Terengganu dan Pejabat Menteri Besar. Istana-istana Sultan Terengganu seperti Istana Badariah dan Istana Maziah turut berada di bandaraya ini kerana Kuala Terengganu juga merupakan bandar diraja.
Kompleks Seri Ima
Pada 1 Mac 1999 jam 10 pagi, DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin telah berkenan merasmikan Kompleks Seri Iman[5] yang kini menempatkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu.
Pentadbiran
[sunting | sunting sumber]Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia telah membahagikan Kuala Terengganu kepada dua buah kawasan parlimen: P.35 untuk Kuala Nerus, dan P.36 untuk Kuala Terengganu. Terdapat empat buah kawasan undangan negeri untuk setiap parlimen iaitu:[6]
- P.35 - Kuala Nerus
- N9 - Tepuh
- N10 - Teluk Pasu
- N11 - Seberang Takir
- N12 - Bukit Tunggal
- P.36 - Kuala Terengganu
- N13 - Wakaf Mempelam
- N14 - Bandar
- N15 - Ladang
- N16 - Batu Buruk
Majlis Perbandaran Kuala Terengganu diwujudkan pada 18hb Januari 1979 dengan keluasan 18,712 hektar persegi meliputi 21 mukim, termasuk mukim Bandar Kuala Terengganu. Pada 1 Januari 1985, Mukim Bukit Payong dan Alor Limbat telah dikeluarkan daripada Majlis Perbandaran dan dimasukkan di bawah pentadbiran Majlis Daerah Marang. Dengan perubahan ini, kawasan baru Majlis Perbandaran telah berubah kepada 16,806 hektar persegi.
Pada 16 Disember 1996, kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuala Terengganu telah diwarta perluasan meliputi seluruh daerah Kuala Terengganu sebagai kawasan kawalan dengan keluasan 60,528 hektar persegi termasuk sebuah pulau peranginan terkenal iaitu Pulau Redang dan bilangan mukim bertambah menjadi 23 mukim.
Pada 1 Januari 2008, satu pemansyuran telah dibuat bagi mengistiharkan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandaraya. Kuala Terengganu kini telah dikenali sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air dan menjadi bandar pertama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang mendapat status bandaraya.
Mukim yang terletak bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu ialah:[7]
- Atas Tol
- Bandar
- Batu Buruk
- Batu Rakit
- Belara
- Bukit Besar
- Cabang Tiga
- Cenering
- Gelugur Kedai
- Gelugur Raja
- Kepung
- Kuala Ibai
- Kuala Nerus
- Kubang Parit
- Losong
- Manir
- Paluh
- Pengadang Buluh
- Pulau Redang
- Pulau-pulau
- Rengas
- Serada
- Tok Jamal
Geografi
[sunting | sunting sumber]Kedudukan Kuala Terengganu adalah terletak di bahagian tengah negeri Terengganu, sesuai dengan fungsinya sebagai ibu negeri. Terletak di kawasan delta sungai Terengganu dengan pusat bandarnya berada di muara sungai Terengganu, menghadap Laut China Selatan di bahagian timur dengan dikelilingi oleh persisiran pantai berpasir dan landai.
Jenis tanah di sebelah timur Kuala Terengganu adalah tanah beris dan kawasan paya gambut terutamanya di Gong Badak, Batu Rakit, Chendering, dan Seberang Takir. Tanah jenis ini hanya sesuai untuk tanaman seperti tembakau, nenas, buah naga dan tembikai. Namun jarang sekali tanah dikawasan ini dimajukan untuk tujuan pertanian, kebanyakkan dimajukan untuk penempatan, industri dan komersial kerana keluasan tanah yang terhad di Kuala Terengganu selain daripada permintaan yang tinggi untuk hartanah dan pembangunan.
Bentuk muka bumi di bahagian barat Kuala Terengganu pula adalah lebih berbukit bukau disebabkan oleh faktor topografi yang semakin menegak di sebelah hulu sungai Terengganu. Namun secara puratanya, kebanyakkan tempat dan bahagian di dalam daerah Kuala Terengganu adalah berada di kawasan dataran tanah pamah kerana faktor geografinya yang berada begitu hampir dengan kawasan pantai. Hanya terdapat beberapa buah bukit sahaja di daerah Kuala Terengganu iaitu, Bukit Besar yang terletak begitu hampir dengan pusat bandaraya dan Bukit Jong yang terletak sedikit di kawasan pendalaman.
Demografi
[sunting | sunting sumber]Majlis Bandaraya Kuala Terengganu merupakan pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab mentadbir seluruh Kuala Terengganu dan sekitarnya.
Penduduk bandaraya Kuala Terengganu adalah seramai 343,284 orang pada tahun 2010 yang terdiri daripada pelbagai etnik. Daripada jumlah tersebut 171,726 orang adalah lelaki dan 171,558 orang adalah perempuan. Daripada keseluruhan jumlah populasi tersebut juga, 338,836 orang adalah warganegara Malaysia manakala selebihnya 4,448 orang adalah bukan warganegara.
Penduduk Kuala Terengganu mengikut pecahan etnik 2010