Pemilikan premis perniagaan bumiputera hanya 15 peratus

Pemilikan premis perniagaan di kalangan bumiputera di seluruh negara sehingga awal tahun ini masih terlalu rendah berbanding kaum lain iaitu kira-kira 15 peratus.

Justeru sebarang dakwaan bahawa kerajaan tidak berlaku adil kepada bukan bumiputera adalah tidak berasas kerana jumlah pemilikan premis peniagaan di kalangan bukan bumiputera jauh lebih tinggi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, fakta terkini itu jelas menunjukkan yang kaum bumiputera sehingga kini masih ketinggalan dan perlu dibantu supaya sasaran pemilikan ekuiti 30 peratus tercapai.

‘‘Pemilikan ekuiti secara keseluruhan di kalangan bumiputera adalah 19.8 peratus tetapi jumlah pemilikan premis perniagaan hanya sekadar 15 peratus. Ini merupakan angka yang dicatatkan pada tahun ini.

‘‘Oleh itu saya minta jangan ada lagi pihak-pihak yang cuba menuduh sembarangan hingga sanggup menggelar kerajaan aparteid.

‘‘Jika kerajaan amalkan aparteid, kaum bukan bumiputera tidak akan berpeluang memiliki ekuiti melebihi kaum bumiputera,’’ katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tanah antara Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dengan UDA Holdings Berhad di sini hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian itu turut disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Perjanjian itu merupakan pelaburan UDA yang pertama di Melaka dalam usaha memberi lebih banyak peluang usahawan bumiputera berniaga.

Noh mengulas kebiadapan Pengerusi DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baru-baru ini yang menyatakan amalan ‘bumiputeraisme’ atau pemikiran membantu golongan bumiputera yang diamalkan di negeri itu menyamai ideologi aparteid.

Dalam pada itu, Noh berkata, UDA akan terus berperanan membantu usahawan bumiputera berniaga di premis perniagaan yang strategik khususnya di bandar-bandar besar.

Katanya, Majlis Amanah Rakyat (Mara) juga akan berperanan seperti UDA supaya kadar pemilikan premis perniagaan di kalangan bumiputera dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

‘‘UDA dan Mara merupakan dua agensi di bawah kementerian yang bertanggungjawab membantu bumiputera menjalankan perniagaan secara lebih teratur dan sistematik.

‘‘Saya yakin melalui bantuan yang diberikan oleh UDA dan Mara, ia mampu menjadikan seseorang peniaga bumiputera itu bersaing dan seterusnya berjaya di dalam bidang keusahawanan,’’ katanya.

Dalam perkembangan sama, Noh berkata, untuk Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan memperuntukkan RM200 juta serta tambahan RM50 juta lagi bagi membeli premis perniagaan untuk disewakan kepada usahawan bumiputera.

‘‘Saya akan memastikan UDA dan Mara memainkan peranan yang aktif dalam soal ini kerana dalam keadaan sekarang sememangnya usahawan bumiputera harus dibantu.

‘‘Kementerian sebenarnya amat bercita-cita untuk melihat lebih ramai usahawan bumiputera mampu memiliki premis perniagaan sendiri,’’ katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url