Public Islamic Bank dirasmikan


Public Islamic Bank (Public Islamic) dijangka terus berkembang meskipun berdepan dengan krisis ekonomi dunia.

Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, Public Islamic kekal memberikan tumpuan kepada pasaran khusus seperti perbankan pengguna dan pembiayaan peruncitan komersial, pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pengambilan deposit.

''Kami juga akan membangunkan produk berkaitan pembiayaan dan produk deposit dan perkhidmatan berlandaskan Syariah,'' katanya dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Public Islamic di sini hari ini.

Hong Piow berkata, Public Islamic memiliki aset berjumlah RM16.5 bilion sejak lima tahun lalu mewakili 8.4 peratus daripada jumlah aset Kumpulan Public Bank Bhd. (Public Bank).

''Jumlah itu merupakan pencapaian pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 20 peratus.

''Public Islamic menyediakan satu saluran perniagaan pilihan kepada pelanggan Public Bank untuk menggunakan produk kewangan dan deposit Islam sedia ada,'' katanya.

Setakat ini, pembiayaan Islam Public Bank adalah sebanyak RM12.4 bilion merupakan 10.3 peratus daripada jumlah pinjaman Kumpulan, manakala depositnya adalah RM13.8 bilion.

Terdahulu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz melancarkan Public Islamic yang merupakan anak syarikat Public Bank dalam usaha membangunkan lagi perbankan dan kewangan Islam di Malaysia.

''Penubuhan Public Islamic merupakan pencapaian korporat yang penting bagi Kumpulan. Entiti baru itu menandakan kemajuan perniagaan perbankan Islam Public Bank daripada konsep jendela yang telah dijalankan sejak tahun 1993 kepada entiti khusus.

''Ini juga cara untuk mengembangkan perniagaan perbankan Kumpulan dengan menggunakan reputasi Public Bank seperti pengurusan berhemat, urus tadbir korporat yang kukuh, rangkaian cawangan luas serta jenama yang baik,'' jelasnya.

Tambah Hong Piow, Public Islamic akan terus menumpukan pada pasaran pelanggan dan pembiayaan perdagangan runcit, pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pengambilan deposit.

''Ia juga akan membangunkan produk dan perkhidmatan pembiayaan serta deposit yang lebih luas mematuhi prinsip Syariah,'' katanya.

Produk yang ditawarkan Public Islamic adalah seperti akaun simpanan Wadiah-i, akaun semasa Wadiah-i, akaun pelaburan am Mudharabah-i, sijil hutang Islam boleh niaga-i serta produk pembiayaan aset.

Produk itu boleh didapati di semua 242 cawangan Public Bank, lebih daripada 1,200 mesin juruwang automatik (ATM), perbankan internet dan saluran bergerak Public Bank seluruh negara.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url