Zambry dapat halang Sivakumar

Mahkamah Tinggi di sini hari ini meluluskan permohonan injunksi Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exconya untuk menghalang Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar mengadakan sebarang persidangan DUN.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim di kamar beliau selepas mendengar hujah Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mengetuai barisan tujuh peguam mewakili Menteri Besar Perak.

Dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup itu, Zambry turut diwakili enam peguam lain iaitu Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun; Badrul Hisham Abdul Wahab, Chang Mai, Zaireen Zainal, Faizul Ahmad Zambri dan Abu Bakar Al-Siqid.

Sivakumar pula diwakili Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Zulqarnain Hassan.

Firoz Hussein ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, mahkamah meluluskan permohonan injunksi itu selepas mendengar hujah-hujahnya yang merujuk kepada Seksyen 44 Akta Relif Spesifik.

Kata beliau, mengikut seksyen itu, satu perintah boleh diberikan terhadap seorang penjawat awam dan dalam kes ini, Speaker DUN Perak iaitu Sivakumar adalah penjawat awam.

''Oleh itu, kami menggunakan undang-undang tersebut dan turut meneliti undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan yang memberi imuniti kepada Speaker dan prosiding DUN.

''Dalam kes membabitkan Speaker DUN Perak, imuniti tidak boleh diguna pakai kerana beliau membuat keputusan di luar sidang DUN," katanya.

Selain itu, kata Firoz, sidang DUN yang diadakan oleh Sivakumar juga tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

''Sultan tidak pernah memberikan perkenan kepada Sivakumar untuk mengadakan sidang DUN sedangkan jika mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, hanya Sultan sahaja yang boleh memanggil DUN bersidang.

''Itulah undang-undang yang termaktub dalam Artikel 36 (1) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan ia sangat jelas dan tidak boleh dibantah. Jadi tidak timbul persoalan bahawa Speaker mempunyai kuasa memanggil sidang DUN.

''Ia juga sangat mudah sebagai contoh di England, Speaker hanya boleh memanggil 'House of Command' atau 'House of Law' bila mendapat perkenan Ratu (England)," ujarnya.

Menurut Firoz, perintah injunksi menghalang Sivakumar mengadakan sebarang persidangan DUN itu berkuat kuasa tanpa had masa.

Tambahnya, keputusan hari ini penting sebagai penyelesaian demokrasi di Perak selepas berlaku banyak kekecohan akibat persaingan merebut kerajaan.

Terdahulu, Ridwan memutuskan lima peguam yang dilantik tidak mempunyai locus standi (hak di sini undang-undang) untuk mewakili Sivakumar dalam permohonan tersebut.

Keputusan itu dibuat kerana Speaker DUN Perak adalah sebahagian daripada kerajaan dan hanya peguam yang dilantik oleh Jabatan Peguam Negara dan Penasihat Undang-Undang Negeri yang boleh mewakili beliau.

Sivakumar yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu telah menghantar surat bantahan melalui Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran kepada Ridwan di pejabatnya pada pukul 2.45 petang ini.

Kulasegaran ketika ditemui berkata, dalam surat tersebut, Sivakumar membantah pelantikan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak mewakilinya.

Ini kerana peguam itu juga mewakili Zambry dalam kes mencabar kesahihan pelantikannya sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url