Rumah meletup
“Apabila saya memasuki rumah itu bersama beberapa jiran, ia macam kena bom,” kata S Gunalan, 27, menceritakan keadaan rumah jirannya yang musnah akibat letupan sejumlah mercun di Taman Bukit Merah, Menglembu pada jam 7.15 malam kelmarin.
Katanya, bumbung dapur, bilik serta cermin tingkap rumah teres berkenaan musnah dan ketika memasuki satu daripada bilik rumah berkenaan, dia melihat seorang kanak-kanak, P Vicneswaran, 3, terbaring di lantai kerana cedera parah hampir seluruh badan akibat terkena serpihan kaca.
“Saya bersama beberapa jiran kemudian mengangkat kanak-kanak itu untuk dikejarkan ke hospital bersama seorang ibu saudaranya, A Barathi, 25, yang turut cedera di lengan dan kaki yang ketika kejadian sedang membasuh pinggan di dapur,” katanya ditemui di rumah mangsa.
Kanak-kanak terbabit kemungkinan buta selepas terkena serpihan kaca di kedua-dua matanya.
Gunalan berkata, dia sedang tidur apabila terjaga selepas terdengar letupan kuat sebelum bergegas ke rumah jirannya dan mendapati sebahagian kediaman itu musnah.
“Saya bersama beberapa jiran segera memasuki rumah itu untuk membantu mangsa sebelum membawa mereka ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.
Difahamkan, ketika letupan itu, beberapa jiran lari bertempiran sebaik mendengar bunyi letupan kuat dari rumah berkenaan.
Sehingga kini, Vicneswaran masih dirawat di unit rawatan koronari (CCU) Hospital Pakar Ipoh dan pasukan perubatan diketuai pakar bedah mata, Dr Lee Mun Tong sudah mengeluarkan serpihan kaca yang menembusi matanya.
Doktor juga turut mengeluarkan serpihan kaca yang menembusi hampir keseluruhan badan mangsa.
Sementara itu, Barathi, ketika ditemui di Hospital Pakar Ipoh berkata, dia mendengar bunyi kuat dari bilik tempat anak saudaranya bermain dan merasai gegaran akibat letupan itu.
“Dia (Vicneswaran) sedang bermain dalam bilik itu ketika kejadian sementara ibu saya, (S Letchumi, 59,) berada di ruang tamu,” katanya.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata siasatan awal mendapati letupan itu berpunca daripada mercun yang disimpan dalam kuantiti banyak dalam bilik sembahyang di rumah berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kejadian dan bagaimana bahan letupan itu disimpan di rumah berkenaan.
“Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengawasi kemungkinan berlaku kebakaran. Bagaimanapun, letupan itu tidak membabitkan kebakaran,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T Murugiah ditemani Pengarah Perubatan Hospital Pakar Ipoh, Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah turut melawat mangsa yang cedera dan menghulurkan bantuan peribadi.
Menurut jurucakap hospital berkenaan, mangsa mungkin mengambil masa lama untuk pulih terutama kecederaan pada mata.
- HARIAN METRO