Serahkan kekalutan politik Perak kepada undang-undang

Oleh DATUK ABD. MANAF HAJI AHMAD
Ketua Penerangan Mubarak Malaysia

Peristiwa demi peristiwa yang berlaku di Perak akhir-akhir ini mengajak kita berfikir dan menghitung masa depan anak cucu kita. Apa akan terjadi kepada umat Islam dan orang Melayu sepuluh tahun akan datang? Kita tidak berkehendak kepada harta yang banyak atau wang bertimbun-timbun. Kita hanya mahu supaya negara dalam keadaan aman dan damai.

Kesemuanya agar kita dapat beribadat dengan tenang dan anak-anak dapat belajar tanpa halangan. Para belia juga kita dapat bergembira dengan masa muda mereka, mengikut fitrah agama kita yang maha suci.

Di dalam al-Quran ada menyebut bahawa kehancuran dunia adalah hasil perbuatan manusia sendiri. Kehancuran itu berpunca daripada perbuatan hasad, balas dendam atau marah.

Sejarah Melaka dan sejarah politik Malaysia moden telah menyaksikan bencana yang melanda kita berpunca daripada hasad dengki, balas dendam atau marah. Sehingga bilakah kita harus berdengki, hendak membalas dendam atau merajuk.

Apabila disedari akibat merajuk dan marah, sehingga menyebabkan kita kehilangan kuasa di negeri Perak, cepat-cepat kita mencari sahabat lama dengan harapan kuasa yang kelihatan hilang itu akan dapat kembali dan pulih semula.

Usaha pemulihan seumpama itu telah dilakukan oleh Tun Razak dan Datuk Asri selepas peristiwa berdarah tahun 1969 demi perpaduan Melayu dan Islam. Berbekalkan dengan inspirasi Tun Razak, anak cucunya telah mencari anak cucu Datuk Asri tetapi mereka tidak ada jodoh malah tidak sempat mengikat tali pertunangan.

Akibatnya negeri Perak menjadi pusat berita yang ditontoni di media tempatan dan antarabangsa. Mereka melihat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bersidang di bawah pokok. Ia memecah rekod dunia. Adakah kita mahu melihat sejarah lalu berulang di Bukit Gantang?

BN hilang kuasa di beberapa negeri kerana pemimpinnya tersilap membuat perhitungan. Antaranya mereka kurang prihatin suara akar umbi.

Kesilapan ini sudah disedari dan dalam perjalanan untuk membetulkannya.

Kenyataan tokoh yang akan mengambil alih kepimpinan negara, sangat meyakinkan. Beliau mahu mengembalikan kuasa itu kepada bahagian dan negeri.

Usaha pemulihan dan islah itu mestilah dihayati oleh orang yang cintakan bangsa dan negaranya. Tanda-tanda kesedaran sudah nampak tetapi parasnya di kalangan pengundi Bukit Gantang tidak diketahui.

Kesedaran itu mesti dibangkitkan melalui media elektronik yang mudah mempengaruhi minda anak muda kita. Gambar-gambar orang yang derhaka menghalang kenderaan Raja Muda Perak harus ditayangkan. Begitu juga gambar persidangan DUN Perak di bawah pokok yang menjadi rekod sejarah hitam negeri itu.

Sikap degil dan tidak bersopan pemimpin pembangkang menunjukkan mereka tidak boleh dipilih untuk memerintah negara ini.

Kerajaan yang berpegang kepada undang-undang dan perlembagaan seperti BN harus terus memerintah agar rakyatnya yang setia kepada raja dan sultan dapat kembali hidup aman dan tenteram tanpa rusuhan dan tunjuk perasaan.

Kita semua mesti kembali kepada perlembagaan dan undang-undang, mengikut lunas peradaban dan tatasusila negara.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url