Sindrom kekurangan testosterone pada lelaki

Lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an akan mengalami masalah penurunan tenaga 'qi' (chi) pada organ ginjal, hati, otot ligamen dan sel otak.

Fakta itu terkandung dalam buku perubatan dalaman China kuno. Ketika zaman kegemilangan tamadun China dan India, ada didokumentasikan mengenai pengambilan buah zakar haiwan sebagai ubat penawar kepada penyakit pengurangan tenaga ‘qi’ ini.

Pada era perubatan moden, masalah ini dikenali sebagai sindrom kekurangan hormon testosterone. Pada suatu masa dulu, sindrom ini juga dikenali sebagai andropause atau PADAM (Partial Androgen Deficiency in Aging Male).

Lelaki sebenarnya tidak akan mengalami masalah kehabisan hormon seperti kaum wanita atau menopaus. Apa yang berlaku ialah penurunan paras hormon testosterone dan ia boleh bermula seawal usia 35 tahun.

Akibat daripada penurunan hormon ini, akan berlaku perubahan dalam badan membabitkan komposisi lemak dan penurunan kepadatan mineral pada tulang.

Turut berlaku ialah penurunan tahap kecekapan sel sel otak. Keadaan ini membawa kepada tanda-tanda seperti gangguan ingatan; perasaan cepat marah; mood tidak menentu; tidak dapat menumpukan perhatian; gangguan tidur; emosi; sering keletihan dan rasa tidak bertenaga; tidak ada nafsu melakukan hubungan seks dan gangguan ereksi zakar (mati pucuk).

Lelaki yang mengalami sindrom ini bukan saja merasakan kemerosotan kualiti hidup berpunca masalah seksual dan penurunan tahap kecergasan mental atau kemurungan. Malah mereka juga akan mempunyai risiko tinggi menghadapi masalah seperti osteoporosis, penyakit kencing manis, penyakit jantung dan risiko diserang sindrom metabolik.

Kajian yang dikendalikan di tiga lokasi iaitu Petaling Jaya, Subang jaya dan Kelana jaya di Selangor menunjukkan masalah sindrom kekurangan hormon testosterone melanda sekurang-kurangnya 20 peratus lelaki berusia 40 tahun ke atas.

Osteoporosis dan masalah keretakan tulang pinggul bukan saja berlaku pada kaum wanita, malah boleh melanda lelaki. Masalah ini berkait rapat dengan penurunan paras testosterone. Kajian menunjukkan 30 peratus daripada masalah keretakan tulang pinggul alami lelaki.

Sindrom metabolik pula merujuk kepada masalah yang mula melanda golongan lelaki di Malaysia. Penghidap sindrom ini adalah mereka yang dijangkiti kencing manis, darah tinggi, tahap kolesterol tinggi dan mempunyai perut buncit (ukur lilit pinggang 40 inci ke atas). Di Subang Jaya dan Kelana Jaya saja, satu pertiga daripada 1,046 lelaki yang ditemuduga dikesan menghidapi sindrom metabolik.

Sindrom metabolik adalah masalah kesihatan serius kerana pengidap akan mempunyai tiga kali peningkatan risiko mendapat penyakit jantung. Mereka yang mempunyai paras testosterone rendah pula akan mempunyai 2.25 risiko menghidapi sindrom metabolik.

Kajian yang dilakukan dalam tempoh 20 tahun di Barat untuk menilai paras testosterone dan hubung kait dengan penyakit yang menyebabkan kematian mendapati kaum lelaki yang mempunyai paras testosterone terendah mempunyai 40 peratus risiko lebih tinggi untuk mati lebih cepat. Ini berbanding mereka yang mempunyai paras testosterone normal tanpa mengira usia dan kandungan lemak badan.

Kesedaran mengenai sindrom kekurangan hormon testosterone perlu dipertingkatkan. Ini kerana masalah ini boleh dirawat dengan menggunakan kaedah penggantian hormon testosterone (Testosterone Replacement Therapy). Penggantian hormon testosterone ini boleh dilakukan dengan cara sapuan gel, pengambilan tablet atau suntikan.

Disebabkan tanda masalah kekurangan hormon testosterone kurang menyerlah dan berlaku secara perlahan-lahan, individu yang mengesan tanda-tanda seperti yang dinyatakan dinasihatkan berjumpa doktor untuk mengukur paras testosterone.

Pelbagai kaedah meningkatkan paras hormon testosterone boleh didapati di pasaran sekarang. Kaedah rawatan melalui pil dan suntikan paling banyak digunakan oleh mereka yang menghadapi masalah ini.

Kaedah menggunakan pil paling mudah. Salah satu jenis pil boleh didapati di Malaysia dikenali sebagai testosterone undecanoate (Andriol). Pil ini perlu diambil satu atau dua kali sehari selepas makan.

Selain itu, kaedah suntikan juga dianggap mudah dan menyenangkan pesakit. Ini adalah kerana satu suntikan hanya perlu diberikan setiap tiga bulan untuk mengekalkan paras testosterone dalam badan. Ubat suntikan terbaru di pasaran ini dikenali sebagai testosterone undecanoate (Nebido).

Selain itu, kaedah kaedah penggantian hormon testosterone dalam bentuk gel yang disapu pada kulit dan juga dalam bentuk patch yang boleh ditampal pada kulit badan atau kulit kerandut buah zakar.

Bagaimanapun, kedua-dua kaedah ini boleh menimbulkan iritasi pada kulit, ruam dan tidak begitu sesuai untuk negara beriklim tropika seperti Malaysia.

Untuk makluman saudara, semua ubatan ini tidak boleh dibeli secara terus di farmasi. Ini kerana produk ini adalah ubat terkawal. Saudara perlu berjumpa dengan doktor terlebih dahulu dan beberapa ujian perlu dibuat sebelum rawatan diberi.

Saudara boleh berjumpa dengan pakar urologi, endokrinologi atau doktor swasta untuk berbincang mengenai rawatan ini. Paras hormone testosterone perlu diukur untuk memastikan tahapnya.

Ujian paras testosterone ini perlu dibuat antara jam 8 pagi hingga 11 pagi disebabkan sirkulasi hormon testorone dalam badan paling tinggi pada waktu ini.

Selain itu, ujian darah termasuk ujian kandungan lemak, ujian fungsi hati, ujian tahap sel darah merah dan ujian darah Prostate Specific antigen perlu dibuat. Kelenjar prostate juga perlu diperiksa.

Ini kerana rawatan gantian hormon testosterone mempunyai kesan sampingan. Antaranya akan berlaku peningkatan sel darah merah dalam badan. Jika hormon testorone dalam badan adalah normal dan hormon testosterone gantian diberikan juga, pengecilan buah zakar akan berlaku. Ini boleh membawa kepada kemandulan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
2 Comments
  • mindloading
    mindloading Selasa, 16 Februari 2016 pada 6:09:00 PTG SGT

    kaedah terbaik, termurah & cara paling selamat meningkatkan paras hormon testosteron lelaki adalah dengan bersenam angkat berat atau senaman 'bumping' (10-20× atau lebih), biar pon sedikit tapi secara tetap setiap hari.. kegagahan lelaki akan kembali tiptop, insyllh..

  • Unknown
    Unknown Selasa, 7 Mei 2019 pada 10:36:00 PG SGT

    Mat skudai .. infomation yg berguna bagi seorang lelaki bertindak sekarang ubah cara permakanan .bersenam setiap hari walaupun sekejap

Add Comment
comment url