Sukarkah pemimpin Melayu untuk bersatu?
Impian rakyat Malaysia dari dulu hingga kini ialah melihat semua pemimpin Melayu bersatu atas satu wadah iaitu orang Melayu menjadi akar umbi yang kuat seumpama tiang seri yang menjadi pasak sebuah rumah agam bernama Malaysia.
Bukan satu omong-omong kosong apabila mengharapkan pemimpin Melayu yang beragama Islam dan berjuang di bawah pertubuhan politik yang berbeza untuk bersatu. Cuma titik koordinat yang tepat perlu dicari.
Soalnya adakah pemimpin Melayu akan bersatu atas faktor agama, bangsa atau bahasa semata-mata. Misi untuk melihat pemimpin Melayu bersatu jangan hanya melihat kepada keuntungan ekonomi dan kuasa semata-mata. Tetapi perlu melihat, apakah peranan yang pemimpin muda setiap parti politik Melayu akan mainkan demi kelangsungan orang Melayu sebagai tonggak kepemimpinan negara pada masa depan.
Faktor pengundi muda yang memberi undi kepada parti-parti pembangkang perlu dilihat bahawa paten pengundian sudah bertukar seiring dengan zaman dan trend semasa iaitu teknologi maklumat yang meletus dimanfaatkan seoptimum mungkin oleh komponen parti dalam pakatan pembangkang untuk berkempen.
Cadangan untuk pemimpin Melayu bersatu perlu dilihat sebagai titik tolak perjuangan abad baru atau frasa popularnya anjakan paradigma dan bukan sekadar ajakan paradigma.
Perkara menggabungkan parti bertunjangkan Melayu jika tidak dalam satu parti boleh juga dalam satu gagasan atau sekretariat yang bukan bermotifkan perbezaan politik tetapi untuk Melayu dan Islam semata-mata.
Ibarat biar Ahli Parlimen bertekak mempertahankan pendapat di dalam Dewan Parlimen tetapi apabila di meja makan boleh saja makan dan minum bersama tanpa ada sentimen walau sekelumit pun.
Orang Melayu dan Islam sedang berdepan satu suasana yang memerlukan gabungan dan 'campuran' yang sesuai tidak kira dari dari parti mana mereka berada.
Isu globalisasi yang tidak pernah wujud di era 1950-an hingga 1980-an perlu dilihat oleh pimpinan tertinggi UMNO dan Pas untuk bersatu dalam satu wadah yang sesuai.
Dulu kita boleh berpolitik untuk menjadi jaguh kampung, era ini jika kita gagal merapatkan barisan, nescaya pengaruh asing akan menelan kedaulatan kita sebagai negara yang berdaulat dan merdeka. Di kala itu jangan kata hendak bermuqabalah malahan berbalah pun tiada rakyat yang akan peduli. Nasi sudah menjadi bubur.
Pemimpin yang terus-terusan bermain politik demi menegakkan fahaman kendiri dan pegangan sempit akibat luka lama perlu memikirkan generasi baru yang disogokkan oleh anasir-anasir luar yang lebih hebat daripada era teknologi maklumat pasca merdeka.
Orang muda hari ini ibarat pelari pecut yang menjadi pembawa baton terakhir, dia mungkin menjadi pemecut yang akan berlari sehabis daya atau akan berlari sambil lewa akibat ketinggalan jauh.
Orang muda yang membawa baton terakhir ini perlu diberi peringatan bahawa ada tiga pelari sebelum dirinya sudah bersusah payah membawa baton kepadanya.
Ibarat sebuah negara, pemimpin muda perlu terus berlari atau berjuang membawa aspirasi pemimpin sebelum mereka dalam mengisi kemerdekaan dengan cara yang sepatutnya.Pemimpin terdahulu menyatukan seluruh rakyat dengan kemajuan negara dari segi ekonomi dan sosial. Era ini rakyat masih menerima keadaan yang sama namun pemikiran orang muda hari ini agak sukar dijangka.
Keadaan ini memerlukan pemimpin muda dari setiap parti bertunjangkan Melayu dan Islam sepenuhnya untuk memimpin generasi kini dengan konsep kepimpinan melalui teladan.
Pemimpin Melayu sewajarnya sudah menemui titik koordinat untuk menyatukan perjuangan bangsa dan agama dalam era yang begitu berbeza dari kurun ke 20.
Pemimpin parti Melayu seperti Pas dan UMNO perlu mencari jalan untuk menjadikan titik koordinat penyatuan tanpa syarat tidak munasabah termakbul demi kelangsungan bangsa melayu dan Islam yang semakin hari cuba dihakis hak perlembagaan yang dikatakan sudah terjamin.
