Zubir Ali meninggal dunia


Penulis dan penyanyi lagu puisi, Zubir Ali, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Damansara, di sini, jam 10.30 pagi semalam selepas menjalani pembedahan pemintasan jantung.

Zubir, 59, menjalani pembedahan di hospital berkenaan, Jumaat lalu namun mengalami komplikasi apabila berlaku jangkitan kuman menyebabkannya tidak dapat membuang air kecil.

Isterinya, Fauziah Ismail, 54, berkata keadaan kesihatan Allahyarham merosot sejak Isnin lalu dan memaksa doktor melakukan proses dialisis untuk membuang toksin daripada tubuhnya.

“Arwah sudah lima tahun menghidap diabetes selain pernah menjalani prosedur angioplasty di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk merawat penyakit jantungnya.

“Arwah seorang yang berdisiplin dan sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan. Bagaimanapun, keadaan kesihatannya mula merosot sejak Februari lalu,” katanya ketika ditemui di Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, di sini.

Jenazah Allahyarham dikapan dan disembahyangkan di masjid berkenaan selepas solat Jumaat sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, selepas solat Asar.

Allahyarham meninggalkan tiga anak iaitu Fauzul Azhan, 30; Badiatul Adawiyah, 25; dan Raihan Nurani, 23.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Balada Seorang Gadis Kecil itu dilahirkan di Alor Setar, Kedah, pada 18 Oktober 1949 dan menerima pendidikan awal di Maktab Mahmud, Alor Setar dan Kolej Islam Klang.

Arwah seterusnya melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Malaya (UM) sebelum menyumbang khidmat di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam sebagai Pegawai Kebudayaan.

Langkahnya dalam bidang seni bermula pada 1973 dengan penubuhan kumpulan Harmoni bersama Zulkifli Zakaria (Joei), Jasmine Adnan (Ogy) dan Roziah Ibrahim (Azie). Bersama Harmoni, Allahyarham merakamkan dua album iaitu Penantian (1980) dan Nyanyian Ombak. Antara lagu popular mereka adalah Penantian, Doa dan Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang.

Lagu Balada Seorang Gadis Kecil menghadiahkannya trofi Lagu Terbaik pada malam Pesta Lagu Malaysia 1983.

Selain bersama Harmoni, Allahyarham juga terbabit dalam pembikinan dua album kompilasi bersama Roslan Aziz iaitu Ikhlas Tapi Jauh dan RAP ‘96. Allahyarham merakamkan lagu ciptaannya sendiri, Harga Diri selain Siapakah Memberi Khabar.

Selepas 25 tahun tidak merakamkan album, Allahyarham kembali bersama album solo, Zubir Ali ‘06 terbitan Julfekar pada 2006.

Karya terakhir Allahyarham diabadikan dalam penerbitan album terbaru Datuk Siti Nurhaliza, Lentera Timur apabila menulis lirik untuk dua lagu ciptaan Khairil Johari Johar iaitu Bulan Yang Mesra dan Rasa Antara Kita.

Cinta arwah terhadap dunia seni tidak pernah berakhir apabila menghidupkan Trio Harmoni yang menggandingkannya dengan Joei dan vokalis wanita baru, Shafa'atusaara Silahudin atau Shafa pada 2007.

Allahyarham juga adalah antara pencetus kepada penubuhan Koperasi Industri Muzik Malaysia (Kopim) yang diluluskan kelmarin untuk menjana pendapatan tambahan bagi penggiat industri muzik.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • *SiRibenMerah
    *SiRibenMerah Sabtu, 7 Mac 2009 pada 12:04:00 PTG SGT

    Al-fatihah...

Add Comment
comment url