11 rancangan baru di IKIM.fm


Gelombang 91.5 fm pastinya tidak asing terutama bagi penduduk Lembah Klang. Malah keupayaan stesen radio digital Islam pertama ini ke udara 24 jam sehari melalui 12 stesen pemancar seluruh negara, sekali gus mempunyai para pendengar setia yang mencakupi pelbagai latar belakang, gender dan usia, perlu diberi pujian.

Dengan konsep radio berbentuk maklumat dan hiburan (infotainment), Radio IKIM.fm kini telah memasuki usia lapan tahun. Saluran ini mula diperkenalkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 6 Julai 2001 sebagai alternatif saluran radio yang bercorak keislaman.

Meskipun tanpa publisiti secara agresif atau penonjolan personaliti penyampai dan penerbitnya, Radio IKIM.fm semakin menyerlah serta mempunyai peminat setia sendiri.

Malah IKIM.fm yang kini diterajui oleh pengarah barunya, Ir. Ahmad Jais Alias memberitahu, keupayaan stesen ini menduduki tangga kelapan daripada 22 stesen radio Melayu di negara ini, adalah sesuatu yang boleh dibanggakan, apatah lagi kedudukan ini mengatasi stesen Klasik Nasional dan Suria fm.

"Kami di Radio IKIM.fm sentiasa menyediakan dan memberi sesuatu yang baru dan segar kepada para pendengarnya. Lantaran itu, sepanjang tahun 2009 ini, sebanyak 11 rancangan baru telah diperkenalkan bermula 1 Mac lalu.

"Program seperti Al-Furqan, Dialog di IKIM, Ilhamku, Agenda Ummah (Bersama NGO), Cerna Minda, Sains dan Al-Quran, Rasa Hati, Teladan Anbiya, Mata Pena, Pengembara Muslim dan Hikmah di Ambang Fajar, diyakini dapat memberi kefahaman, kesedaran dan pengetahuan berguna kepada para pendengarnya, sejajar dengan tuntutan matlamat penubuhan IKIM itu sendiri," kata Ahmad Jais.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media yang berlangsung di Theatrette, IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau, dengan menggunakan pendekatan 3M iaitu mendidik, memberi maklumat dan menghibur, sudah pasti para pendengarnya bukan semata-mata memperoleh hiburan. Sebaliknya, tetapi apa yang lebih utama ialah perolehan ilmu demi kesejahteraan hidup yang seiring dengan syariat Islam.

Beliau turut berharap kerjasama di antara Radio IKIM.fm dengan pengamal media massa, akan menghasilkan satu jalinan kerjasama yang positif dan erat agar stesen ini sentiasa dekat dengan para pendengar, sesuai dengan peranannya sebagai perantara masyarakat melalui cogan kata, 'Pilihan Utama Anda'.

Ahmad jais yang turut mengendalikan sendiri rancangan Dialog IKIM, Cerna Minda berkata, kesemua rancangan baru ini meliputi pelbagai bidang ilmu seperti mempelajari bahasa al-Quran, bual bicara isu semasa, cerita kisah-kisah nabi, tazkirah dan tidak ketinggalan program berbentuk hiburan. Rancangan-rancangan ini disiarkan, sama ada secara rakaman mahupun siaran langsung.

Pada majlis yang sama, para media massa yang hadir turut berpeluang mengikuti rakaman rancangan baru yang diberi nama Dari Studio Z & Z dengan gandingan mantap dua penerbit iaitu, Zamri Zainal Abidin dan Zarita Kasim.

Pada pagi itu, panel jemputan iaitu Hafiz Hamidun, Ustaz Asri dari kumpulan nasyid Rabbani, Ketua Pegawai Eksekutif Raihan Productions, Mubin Abdul Latif dan Nor Akmar Shamsuddin dari Harian Metro dibawa berbincang mengenai tajuk 'Industri Nasyid: Hidup Segan Mati Tak Mahu'.

Rancangan ini disiarkan dua kali sebulan iaitu pada setiap Selasa pukul 9 pagi. Isu yang pernah dirakamkan dan disiarkan ialah tentang topik kegawatan ekonomi dan gejala buli di sekolah.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Khamis, 23 April 2009 pada 10:31:00 PG SGT

    Assalamualaikum. Ikim memang sangat bagus dan saya memang berharap lebih ramai yang mendengar agar kita boleh menggalak pasaran lebih tinggi untuk informasi baik dan berkesan di radio atau di tv. Media memang berkesan jadi kita harus menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk menyebar perkara baik dari yang buruk. Saya telah banyak berubah sejak mendengar ikim dan yakin siapa yang mendengar akan juga tertarik. Saya cadangkan cuba adakan juga ruang untuk topik yg baik di IKIM fm di laman web untuk yang ketinggalan dan tidak sempat respon atau bertanya di radio untuk menarik kumpulan sasaran yang lebih besar. Perkara baik harus disebar dengan berbagai cara agar ramai mendapat kebaikan. Cuba gunakan iklan TV untuk menarik lebih ramai pendengar. You can't change them if they don't know you. Make sure they know you first to change them or at least provide them with the choice and let them decide.Pada saya lebih ramai yang tak tahu dari yang tak mahu. Terima kasih.

Add Comment
comment url