Bekas guru raih lebih RM600,000 setahun
Kerjaya sebagai perunding insurans sememangnya menjanjikan pendapatan lumayan jika seseorang itu komited dan memberi tumpuan 100 peratus terhadap kerjaya tersebut.
Apa yang penting bagi mencapai sesuatu kejayaan ialah sikap ingin berusaha dan maju selain tidak mengenal erti jemu serta sanggup berkongsi maklumat dengan perunding-perunding insurans yang lain.
Itulah kunci yang dipegang oleh bekas guru, Mat Subril Mat Saad, 45, yang percaya kerjaya sebagai perunding insurans mampu memberi pulangan dan menjamin masa depan.
Beliau yang menceburi bidang insurans pada tahun 1994 berkata, untuk memperoleh kejayaan dan pulangan lumayan, individu perlu berani mengambil risiko dan mempunyai visi yang besar bagi merangsang dirinya untuk menjadi lebih kreatif dan produktif.
''Aspek disiplin, fokus dan dedikasi merupakan intipati utama dalam pencapaian profesion saya hari ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mat Subril berkata, bukan mudah bagi seseorang untuk meraih sesuatu kejayaan, lebih-lebih lagi bersaing dalam industri insurans yang serba mencabar ini.
Hasil pengorbanannya juga beliau telah dianugerahkan MAA Top of The Table (MTOT) pada tahun ini kini amat selesa dan gembira dengan perkembangan kerjaya terbarunya itu malah tidak sesekali menyesal meninggalkan bidang perguruannya.
MTOT merupakan anugerah tertinggi yang dicapai oleh seseorang yang berkecimpung dalam bidang tersebut dengan mampu menjana pendapatan tahun melebihi RM660,000 setahun.
Berpegang dengan sikap tidak mudah putus asa, semangat perjuangan yang tinggi, akhirnya beliau berjaya menempuh segala rintangan dan mencapai cita-cita menjadi ejen insurans yang cemerlang.
Beliau berkata, tanpa usaha yang gigih, seseorang itu tidak akan berjaya.
"Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh tidak kira dalam apa jua bidang bagi mencapai sesuatu kejayaan," katanya.
Itulah prinsip pegangan hidup beliau yang membantu memacu kejayaannya sejak terbabit dalam industri insurans 15 tahun lalu.
Mat Subril, berasal dari Bagan Datuk Perak kini memiliki dua buah pejabat dengan 400 orang ejen di bawahnya selain turut melahirkan tiga orang ketua untuk menjadi Ketua Perunding (CC) pada tahun 2005.
Jelasnya, dalam sistem hirarki agensi, ada tiga peringkat yang perlu dilalui oleh seseorang sebelum ia berjaya ke ke peringkat CC.
"Seseorang perlu menjadi Perunding dan dinaikkan ke jawatan Perunding Urusan (MC) sebelum memegang CC," katanya.
Mat Subril mengakui menghadapi kesukaran untuk meyakinkan pelanggan ketika mula-mula menceburkan diri dalam bidang insurans pada awal 1990-an, terutama bumiputera yang kebanyakannya berpandangan negatif terhadap insurans.
"Lama-kelamaan pemikiran mereka terhadap insurans telah berubah. Sekarang keadaan lebih mudah kerana masyarakat mula bersikap lebih terbuka.
"Sebenarnya, insurans berkait rapat dengan kehidupan setiap individu. Apa yang penting, kita harus menerangkan bahawa sesuatu produk itu adalah untuk kebaikan dan bukan sebaliknya," katanya.
- UTUSAN