Keistimewaan misi satelit RazakSat


Oleh AZMI HASSAN
Pengarah Pusat Dasar Teknologi & Kajian Antarabangsa (CENTEPIS), Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia

Beberapa hari lagi rakyat Malaysia akan melalui detik bersejarah dengan pelancaran RazakSat, iaitu satelit pertama yang dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran tempatan. RazakSat bakal dilancarkan pada 21 April di tapak pelancar Pulau Omelek, Kwajalein, Republik Kepulauan Marshall, Lautan Pasifik.

Hari pelancaran dikatakan bersejarah bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi juga kepada pengendali pelancar kerana RazakSat akan menggunakan roket pelancar Falcon-1 milik Space Exploration Technologies (SpaceX) yang dimiliki oleh pengasas PayPal Elon Musk. SpaceX menanti dengan penuh harapan hari pelancaran kerana RazakSat merupakan satelit pertama Falcon-1 yang akan dilancarkan ke orbit.

Kejayaan RazakSat bukan sahaja bakal menentukan hala tuju program angkasa negara tetapi juga penentu kepada strategi busines SpaceX kerana selama ini kewujudan SpaceX banyak bergantung kepada pembiayaan projek oleh Pentagon, Amerika Syarikat. RazakSat merupakan satelit pertama yang akan dilancarkan oleh SpaceX menggunakan dana pemilik satelit awam sepenuhnya.

Mungkin ramai rakyat Malaysia mula mempersoalkan keperluan membelanjakan wang dengan begitu banyak hanya untuk memiliki sebuah satelit di ruang angkasa kerana semenjak dari tahun 2000 ketika program ini mula diilhamkan sehingga ke hari ini sebanyak RM150 juta telah dibelanjakan.

Selain daripada jumlah wang yang telah dilaburkan, rakyat juga mempersoalkan mengapa masa yang begitu lama diambil untuk membangunkan sebuah satelit.

Ada yang mempersoalkan keupayaan RazakSat mendapatkan imej beresolusi sehingga 2.5 meter tersebut tiada apa yang boleh dibanggakan kerana terdapat banyak lagi satelit yang mempunyai kemampuan jauh lebih baik daripada RazakSat.

Tanpa RazakSat rakyat Malaysia mampu mendapatkan imej daripada agensi Remote Sensing Malaysia (RSM) atau pun dari sumber lain. Umpamanya pengguna boleh memperolehi imej satelit Spot-5 kepunyaan Perancis yang mempunyai keupayaan yang serupa dengan RazakSat.

Tetapi imej yang diperolehi melalui RazakSat dijangka boleh dijual dengan harga jauh lebih murah berbanding dengan satelit sedia ada kerana dua faktor.

Pertama adalah kos RM150 juta untuk membangunkan RazakSat adalah lebih rendah jika hendak dibandingkan kos untuk memperolehi satelit yang telah siap dibangunkan pihak luar.

Faktor kedua ialah jumlah imbasan yang dapat dilakukan di Khatulistiwa adalah lebih banyak jika hendak dibandingkan dengan satelit yang lain.

Tetapi pengkritik juga perlu menilai dari perspektif yang lebih adil kerana lompatan kemampuan teknologi kepakaran tempatan adalah begitu ketara sekali.

Ini adalah kerana satelit TiungSat yang pada ketika ini sudah tidak beroperasi hanya mempunyai resolusi 75 meter. Lompatan dari kemampuan resolusi 75 meter hingga ke 2.5 meter begitu jelas menunjukkan peningkatan teknologi dan kepakaran saintis dan jurutera satelit tempatan.

Satu perkara yang paling menarik mengenai RazakSat yang tidak boleh diambil mudah ialah satelit tersebut merupakan satelit pertama di dunia yang berada pada orbit hampir Khatulistiwa. Keistimewaan orbit Khatulistiwa adalah RazakSat mampu membuat imbasan pada kawasan tertentu di Malaysia sebanyak 11 hingga 14 kali dalam masa satu hari.

Kebanyakan satelit Remote Sensing sedia ada (seperti Spot) berada pada orbit polar yang memberi maksud bahawa imbasan ulangan hanya dapat dilakukan selang beberapa hari. Oleh kerana kawasan Khatulistiwa sering diliputi awan maka lazimnya imbasan akan ditutupi oleh awan.

Tetapi dengan beberapa imbasan selama satu hari sudah pasti kelebihan RazakSat membawa manfaat yang tidak terhingga bukan sahaja kepada Malaysia tetapi semua negara yang berada dalam lintasan Khatulistiwa.

Sebagaimana Beijing, New Delhi, Pyongyang atau pun Teheran mengunakan pembangunan teknologi angkasa lepas sebagai kekuatan strategi geopolitik masing-masing, Kuala Lumpur juga tidak terkecuali dari persepsi sedemikian rupa.

Kekuatan politik merupakan antara faktor penting yang akan menentukan kejayaan cita-cita angkasa lepas masing-masing kerana tekanan sama ada dalaman atau luaran adalah begitu hebat sekali.

Cuma perbezaan yang ketara ialah ada negara menggunakan teknologi tersebut sebagai strategi ketenteraan.

Nama asal RazakSat ialah MacSat kerana mengambil singkatan teknologi optik yang digunakan iaitu Kamera Aperture Bersaiz Sederhana. Tetapi pada tahun 2003, Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad menukar MacSat ke RazakSat sempena mengambil nama bekas Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak bagi mengenang jasa beliau dalam membangunkan negara sesuai dengan gelaran 'Bapa Pembangunan'.

RazakSat merupakan manifestasi sebenar kekuatan politik Malaysia supaya negara tidak ketinggalan dalam teknologi angkasa lepas. Ini adalah kerana teknologi ini bukan hanya merangkumi ruang litup angkasa lepas tetapi yang lebih penting adalah ia memberi kesan terhadap kepentingan geostrategik negara.

Sememangnya harapan Malaysia adalah untuk membangunkan teknologi angkasa lepas menggunakan kepakaran tempatan seperti mana yang mampu dilaksanakan oleh Iran. Kejayaan negara tersebut melancarkan satelit Omid menggunakan pelancar Safir-2 pada bulan Februari lepas adalah contoh nyata bagaimana kesungguhan membawa kejayaan.

Kepakaran tempatan Malaysia yang berjaya membangunkan RazakSat seberat 150kg tidak boleh diperkecilkan kerana ia merupakan antara satelit yang ringan bagi kelas satelit kecil.

Memang benar Malaysia perlu berhati-hati dalam melaksanakan program angkasa lepas negara dan ini termasuklah program membangunkan satelit. Tetapi satu perkara perlu difahami dan tidak dapat dielakkan ialah peruntukan yang besar adalah diperlukan jika Malaysia serius menceburi bidang tersebut dan di sinilah kemahuan politik yang kuat memainkan peranan yang penting untuk menjayakan misi tersebut.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url