Era baru Malaysia bermula
Tiga tindakan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak iaitu memulakan proses kajian semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), membebaskan serta-merta 13 tahanannya dan menarik balik larangan penerbitan sementara dua akhbar parti pembangkang sudah cukup menjadi petanda bermulanya satu era bagi Malaysia.
Sememangnya ISA dalam erti kata sebenarnya iaitu untuk memelihara keselamatan dalam negara mempunyai tempatnya sendiri. Pada masa-masa akan datang negara akan terus juga terdedah kepada ancaman kepada keselamatannya, khususnya berupa tindakan pelampau kaum atau agama hingga boleh mencetuskan serangan keganasan.
Namun begitu, ISA yang mula digubal oleh pihak berkuasa penjajah untuk menentang pengganas komunis telah melalui suasana yang jauh berbeza.
Hakikatnya, penahanan tanpa perbicaraan lebih-lebih lagi untuk tujuan politik sudah tidak dapat diterima. Begitu juga terhadap kongkongan kebebasan penerbitan. Ia sudah tidak ada tempat dalam sebuah negara terbuka di mana maklumat mengalir dengan bebas dalam alam maya atau cetak.
Justeru, jika prinsip ini dipegang, Malaysia sedang memasuki era baru sebagai sebuah negara demokratik yang matang di bawah Perdana Menteri keenam ini.
Maka rakyat harus melihat tiga tindakan itu sebagai langkah yang didorong oleh prinsip dan bukannya taktikal, untuk mengendurkan tekanan daripada pembangkang dalam menghadapi pilihan raya kecil.
Ini kerana ketika mengikuti ucapan dan wawancara Najib baik semasa Perhimpunan Agung UMNO mahupun ketika selesai pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri, apa yang hendak dilakukannya adalah lebih besar dan jauh daripada perkiraan politik kepartian semata-mata.
Apa yang beliau hendak lakukan seperti yang termaktub dalam azamnya dengan tema Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan, beliau mahu membangunkan negara kepada tahap yang lebih tinggi. Tindakan beliau ini adalah sebagai seorang Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada rakyat dan negaranya.
Untuk membangunkan negara pula, perpaduan merupakan asasnya. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang di mana dunia diancam ketidaktentuan ekonomi. Rakyat Malaysia perlu diajak bersatu untuk berganding bahu mempertahankan diri daripada serangan kelumpuhan ekonomi.
Perbezaan pendapat khususnya politik pasti berlaku. Sebagai negara demokratik, pasti wujud pandangan yang songsang dan sentiasa mempertikaikan apa saja keputusan pihak berkuasa. Tetapi itu tidak bermakna rakyat harus berpecah dalam menghadapi ancaman kelumpuhan ekonomi.
Maka dengan menerima institusi negara yang ada, Perdana Menteri mesti didokong sebagai nakhoda kapal Malaysia dalam mengharungi samudera yang bergelora.
Dalam hal ini, asas negara sudah lama terbina. Bukan saja Perlembagaan Persekutuan yang berjaya mewujudkan negara Malaysia sebegini baiknya tetapi juga penting adalah fahaman negara yang termaktub dalam Rukun Negara (diisytihar pada 31 Ogos 1970), sebuah pegangan yang dilaksanakan semasa pentadbiran bapanya, Allahyarham Tun Razak. Di antara hasrat Rukun Negara ialah mendokong cita-cita negara untuk memelihara cara hidup demokratik.
Tentunya tafsiran demokrasi pada zaman-zaman terdahulu tidak serupa. Pada zaman Tunku tidak sama dengan era Tun Razak. Begitu juga dengan persekitaran antarabangsa yang berbeza. Perang Dingin pada zaman Tunku berbeza dengan ketika era Tun Razak, di mana China sudah bermusuh dengan Kesatuan Soviet. Maka demokrasi yang hendak diperkenalkan dan dipertahankan juga membawa tafsiran berbeza.
Begitu juga dengan pada masa ini. Globalisasi dan kelemahan ekonomi Amerika Syarikat dan kemunculan China sebagai negara yang mengamalkan sistem pasaran bebas terbesar menuntut pentafsiran demokrasi yang berlainan sama sekali. Kesemuanya perlu dihadapi dengan polisi-polisi baru yang berbeza dan lebih dinamik.
- UTUSAN

