GPMS, BBPM kutuk Kor Ming persenda al-Quran
Presidennya, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, Kor Ming wajib meminta maaf secara terbuka terhadap perbuatannya itu yang merupakan penghinaan terbesar kepada umat Islam bukan sahaja di negara ini tetapi di seluruh dunia.
Beliau menegaskan, bagaimana mungkin Kor Ming yang langsung tidak beriman dan mempercayai Allah adalah tuhannya dengan sewenang-wenangnya membaca al-Quran demi agenda politiknya.
"Perbuatan ini cukup melampau, satu penghinaan kepada umat Islam, GPMS mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya, kami mahu beliau meminta maaf kepada seluruh umat Islam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Reezal Merican mengulas tindakan Kor Ming yang membaca al-Quran dalam ceramahnya dengan tujuan bagi meraih sokongan orang Melayu.
Difahamkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis dan Ahli Parlimen Taiping itu mempersendakan ayat-ayat suci al-Quran telah banyak kali dilakukan dalam sesi ceramahnya sebelum ini.
Sementara itu di Taiping, Perak, Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) membuat laporan polis terhadap Kor Ming.
Laporan tersebut dibuat oleh Presiden BBPM, Osman Abu Bakar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada pukul 6.30 petang ini.
Beliau berkata, ini bukan kali pertama ADUN berkenaan mempersendakan ayat-ayat suci al-Quran tetapi sudah banyak kali dilakukannya bagi meraih sokongan orang Melayu.
"Ini satu penghinaan kepada orang Islam dan kami menuntut Kor Ming meminta maaf kepada seluruh umat Islam.
"Kami juga minta beliau berhenti berkempen menggunakan ayat al-Quran kerana bacaannya bukan sahaja tidak betul malah beliau menyebut ayat yang dibacanya dari 'Surah Aura' yang tidak wujud dalam al-Quran, tetapi yang ada surah al-A'raf," katanya kepada pemberita di pekarangan IPD Taiping di sini hari ini.
"Kalau orang bukan Islam boleh mempersendakan ayat suci al-Quran, hina sangatlah kita kerana bertolak-ansur selepas Raja Melayu dan hak-hak istimewa orang Melayu dipermainkan.
"Lebih dikesalkan, ada orang Islam yang hadir pada ceramah itu bertepuk tangan dan bersorak gembira selepas Kor Ming membaca ayat al-Quran walaupun salah," ujarnya.
Katanya, Kor Ming boleh membaca al-Quran kalau dia memeluk Islam atau pun untuk tujuan pembelajaran perbandingan agama.
- UTUSAN

