Cuaca buruk warnai Formula 1 GP Petronas 2009

Juara perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia Petronas, Jenson Button menyifatkan semalam merupakan antara perlumbaan paling ‘gila’ yang pernah diharunginya selepas merangkul kejuaraan kedua berturut-turut selepas GP Australia minggu lepas.
Bermula dari petak pertama tetapi dipintas pemandu Williams, Nico Rosberg sebaik saingan dimulakan, Button masih mampu menamatkan perlumbaan selaku pemenang walaupun ini merupakan kali pertama dia menguji jentera Brawn GP dalam keadaan basah.
Selepas memulakan perlumbaan dalam keadaan trek kering, saingan tiba-tiba terpaksa dihentikan memasuki pusingan ke-32 kerana hujan lebat tidak memungkinkan ia diteruskan.
Ini merupakan perlumbaan F1 paling singkat dalam tempoh 18 tahun akibat cuaca buruk namun menyaksikan kehadiran penonton keseluruhan seramai 97,368 sejak Sabtu lalu.
Button, yang menjuarai perlumbaan pembuka tirai 2009, di Litar Albert Park, Melbourne minggu lalu mendahului pemandu-pemandu lain ketika perlumbaan masih berbaki 24 pusingan, sebelum ditabalkan selaku juara selepas hampir sejam perlumbaan dihentikan.
“Wow! Ia perlumbaan yang gila! Apa pun, walaupun mencabar tetapi saya sangat seronok. Cuaca amat buruk, malah saya juga bermula agak buruk. Saya boleh nampak banyak pemandu yang terbabas kerana gagal mengawal kereta, apa pun, saya gembira dengan kelajuan yang kami miliki.
“Kami juga berdepan kesukaran untuk membuat pemilihan tayar yang tepat. Beberapa kali saya keluar masuk pit untuk menukar tayar. Keadaan di luar sana bukan seperti sungai tetapi sebuah tasik!'' katanya.
Menurut Button, keputusan menghentikan perlumbaan adalah tepat kerana keadaan di litar sudah terlalu basah dengan air yang bertakung dan adalah amat berbahaya untuk meneruskan saingan dalam keadaan begitu.
Pemandu BMW-Sauber, Nick Hiedfeld pula antara yang menerima manfaat besar daripada cuaca buruk apabila menamatkan perlumbaan di tangga kedua selepas memulakan cabaran dari petak ke-10.
Pada ketika kebanyakan pasukan mengalami kesukaran untuk meneruskan saingan, pemandu Jerman itu sebaliknya berterima kasih kepada pasukannya kerana memilih tayar yang tepat untuk membolehkan dia menaiki podium pertamanya tahun ini.
“Saya tidak dapat mengharapkan penamat yang lebih baik daripada ini. Kami berdepan situasi yang amat sukar tetapi pasukan membuat pemilihan tayar yang tepat,” ujar Heidfeld.
Pemandu Toyota, Timo Glock menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, meninggalkan rakan sepasukan, Jarno Trulli di tempat keempat, manakala pemandu Brawn GP, Ruben Barrichello menghuni tempat kelima.
Pemandu Red Bull, Mark Webber; juara dunia, Lewis Hamilton dari McLaren dan Rosberg melengkapkan kedudukan pungutan mata dengan menduduki tangga keenam, ketujuh dan kelapan.
Bagaimanapun setiap pemandu dan pasukan hanya diberikan separuh mata kerana perlumbaan tidak dapat dilengkapkan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada keseluruhan pusingan seperti yang disyaratkan.
“Keputusan untuk menghentikan perlumbaan amat tepat. Keadaan di luar sana sangat berbahaya untuk meneruskan saingan. Terlalu banyak air di atas trek dan cuaca amat buruk. Apa pun saya gembira dengan kedudukan ketiga. Ia masih keputusan yang baik dengan mengambil kira keadaan cuaca, malah Toyota juga mengharungi perlumbaan yang baik hari ini dengan Jarno menduduki tempat keempat,” kata Glock.
Selepas dua perlumbaan pertama 2009, gergasi Formula Satu, Ferrari masih gagal mengutip sebarang mata selepas kedua-dua pemandunya, Kimi Raikkonen dan Felipe Massa tidak dapat menghuni kedudukan lapan terbaik.
- UTUSAN

