Islam penyelesai masalah perkauman dunia

Dalam kamus Dewan, kaum mempunyai lima makna iaitu puak, suku bangsa; jenis bangsa; keluarga, sanak saudara; golongan (orang yang sekerja, sefahaman, setingkat dan lain-lain); serta istilah sains ia bermakna bahagian daripada jenis (tumbuh-tumbuhan dan haiwan).

Jika kaum diberi imbuhan kemudian menjadi 'perkauman', maknanya menjadi tiga saja iaitu (yang berkaitan dengan) kaum kerabat (keluarga), (pertalian) sanak saudara; (yang berkaitan dengan) golongan, puak; dan (yang berkaitan dengan sesuatu) suku bangsa dan kesukuan (bangsa dan lain-lain).

Minggu lalu masyarakat antarabangsa melangsungkan persidangan pertama isu perkauman yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland. Malangnya, persidangan yang salah satu tujuannya mencari jalan penyelesaian isu perkauman di dunia diboikot Amerika Syarikat dan lapan negara lain kerana bimbang negara Islam akan menuntut supaya Israel dikutuk dan kritikan terhadap agama Islam diharamkan. Kelapan-lapan negara itu ialah Belanda, Jerman, Australia, Kanada, Israel, Itali, Poland dan New Zealand.

Dari sudut pandangan Islam, pemulauan mereka pada persidangan itu dengan sebab sedemikian menunjukkan kepada kita kebenaran sabda Rasulullah SAW yang menyatakan, musuh Islam akan takut berdepan dengan umat Islam sebelum terjadinya pertempuran selama sebulan. Mereka takut berdepan dengan kenyataan bahawa Israel yang disokong Barat sebenarnya negara perkauman sangat kejam.

Apabila kita merujuk kepada kitab suci al-Quran yang menjadi buku panduan umat manusia sejagat yang diturunkan oleh Pencipta mereka kepada Nabi akhir zaman, kita dapati satu kenyataan menarik yang sepatutnya masyarakat antarabangsa tidak takut atau bimbang membicarakannya. Malah, ia akan menjadi jalan yang lurus dan senjata tepat untuk menyelesaikan masalah perkauman.

Kaum berasal daripada bahasa Arab dengan kata dasar 'qa-wa-ma' dengan pengertian berdiri. Al-Quran menyebut perkataan 'qaum' sangat banyak dalam ayatnya sehingga kitab Fath al-Rahman li Talib Ayat al-Quran, satu kitab indeks pencarian perkataan dalam al-Quran tidak menyenaraikannya. Jika anda merujuk kitab itu tanpa membaca mukadimahnya, anda akan menyatakan bahawa kitab yang berharga itu tidak lengkap. Pada hal dalam mukadimah itu disebut oleh penyusunnya, Ilmi Zadah Faidullah al-Maqdisi bahawa dia tidak memasukkan 23 perkataan di dalamnya termasuk kata 'qaum' kerana terlalu banyak disebut al-Quran. (hal. Ha')

Ia bermakna jika kita merujuk kepada al-Quran sebagai kitab hidayah, kita akan dapat mencari banyak cara penyelesaian bagi isu perkauman bermula daripada konsep kaum; perbezaannya dengan konsep bangsa; adab dan sopan-santun hubungan kaum; hak dan kewajipan; kriteria kaum baik dan kaum jahat; sifat kaum yang berjaya dan kaum yang gagal; panduan cara menyelesaikan masalah perkauman dan lain-lain. Betapa indahnya kitab suci umat Islam ini, malangnya manusia mengetepikannya sehingga mereka selalu menerima kehampaan hidup.

Mengenai asal kejadian kaum dan tujuannya, al-Quran menjelaskan maksudnya: "Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya-Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas kamu)." (Surah al-Nisa': 1)

Secara tersurat dan tersirat, ayat di atas menyentuh secara global pengertian kaum pada awal tulisan ini. Semua kaum yang wujud di dunia selama ini berasal daripada satu susuk tubuh Adam as. Proses pembiakan manusia sehingga menjadi kumpulan manusia menjadi bangsa dan kaum adalah dengan kebenaran Allah. Oleh itu manusia disuruh untuk bertakwa kepada-Nya. Malah suruhan ini diulang dua kali dalam satu ayat ini.

Ketakwaan manusia secara individu mahupun kolektif, secara persendirian mahupun berkelompok akan menghasilkan pengukuhan tali silaturahim antara mereka agar saling hormat menghormati, saling faham memahami, saling tolong-menolong dan saling bertimbang rasa. Ketakwaan ini hasil daripada satu hakikat pengertian manusia bahawa Allah SWT sentiasa memerhati dan mengawasi mereka.

Dalam Surah Nuh, surah ke-71 daripada urutan al-Quran kita akan dapati konsep kaum dan pelaksanaannya secara amnya. Surah yang terdiri daripada 28 ayat ini mengisahkan perjalanan dakwah Nabi Nuh as sebagai bapa manusia kedua selepas Nabi Adam as bersama kaumnya.

Dalam konsep kaum pada surah ini dijelaskan beberapa kenyataan, termasuk dalam setiap kaum mesti ada golongan agama yang tugasnya sebagai pemberi peringatan dan amaran yang nyata (ayat 2); bahawa tujuan utama keberadaan satu-satu kaum ialah menyembah Allah, bertakwa kepada-Nya dan mentaati utusan-Nya (ayat 3); bahawa jika ini dilakukan, mereka akan diampunkan sebahagian dosa mereka dan mendapat keselamatan hidup sepanjang masa (ayat 4); bahawa kaum yang banyak beristighfar akan memperoleh ketenteraman hidup yang penuh keberkatan dalam rezeki, harta dan keturunan (ayat 10-12); bahawa dalam satu-satu kaum akan ada penentangan terhadap ajaran Allah (ayat 5-9); bahawa pada akhir setiap pertarungan yang hak dan yang batil doa nabi maksudnya: "Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua-dua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahkan orang zalim melainkan kebinasaan." (Ayat 28).

Al-Quran dengan jelas menyediakan garis panduan hubungan kaum yang diwakili orang beriman dengan satu ayatnya yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran buruk. (Larangan berkenaan menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik) amat buruk sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim." (Surah al-Hujarat: 11)

Sopan- santun antara kaum di atas adalah deklarasi global yang wajib dipatuhi semua kaum agar mereka hidup dalam keharmonian yang berkekalan.

Seandainya dalam persidangan isu perkauman yang dilangsungkan di Barat itu tidak digunakan untuk menghentam sesetengah pihak yang sudah sememangnya diketahui dunia kebiadabannya dan sebaliknya kita menjelaskan konsep kaum dan perkauman menurut al-Quran secara jelas dan jitu, sudah pasti kita boleh membuktikan ketakutan Barat untuk menghadirinya adalah tidak benar dan kita juga membuktikan bahawa Islam adalah agama yang menyeru kepada perdamaian sejagat, bukan sebaliknya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url