Istiadat tabal Tengku Aishah - Ampuan Besar Negeri Sembilan


Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, dilantik dan ditabalkan sebagai Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Ke-11 dalam istiadat penuh tradisi diraja Negeri Sembilan di Seri Menanti dekat sini, semalam.

Istiadat di Balairong Seri Istana Besar bermula dengan Istiadat Pelantikan, iaitu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, melafazkan watikah pelantikan Tengku Aishah Rohani sebagai Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, diikuti memakaikan tiara kepada permaisuri Baginda.

Ini diikuti tembakan meriam lapan das menandakan pelantikan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan. Selepas keberangkatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan meninggalkan Balairong Seri, Istiadat Pertabalan dimulakan dengan upacara mengadap oleh Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandong.

Pelantikan dan pertabalan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan adalah istiadat penting yang kebiasaannya diadakan sebelum pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Kali terakhir istiadat bersejarah ini diadakan pada 19 Julai 1967 apabila Tunku Najihah Tunku Besar Burhanuddin dilantik Tunku Ampuan Negeri Sembilan, manakala pertabalan Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman pada 8 April 1968.

Keunikan istiadat ini ialah pelantikan Tunku Ampuan Besar dilakukan oleh Yang di-Pertuan Besar, manakala pertabalan oleh Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandong.

Penamaan Tengku Aishah Rohani sebagai calon Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan dibuat oleh Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandong yang bermesyuarat dengan Orang Empat Istana pada 21 Januari lalu.

Tengku Aishah Rohani dari kerabat diraja Terengganu dilahirkan di Batu Gajah, Perak, pada 19 Jun 1952. Baginda adalah puteri kepada Almarhum Tengku Seri Utama Raja, Tengku Besar Mahmud Sultan Zainal Abidin III dan Almarhum Toh Puan Zainun Meriam Haji Su Mahmud.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu dan kemudian di Sekolah Convent Taiping serta Bukit Nanas Kuala Lumpur.

Ketika berkhidmat di sebuah bank di Kuala Lumpur, Baginda diperkenalkan dengan Tuanku Muhriz dan mendirikan rumah tangga pada 25 April 1974.

Baginda mempunyai tiga putera, iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin; Tunku Zain Al-Abidin dan Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url