Jodoh singkat


Pasangan berumur 31 hingga 35 tahun catat kes cerai tertinggi: Perceraian pasangan muda banyak berlaku di Lembah Klang disebabkan kos sara hidup yang tinggi

Istilah janda atau duda muda, ibu tunggal atau bapa tunggal tidak lagi membawa konotasi menjelikkan dewasa ini berbanding pada era 60an dan 70an kerana pada zaman itu perceraian 'hidup' ibarat membawa musibah dan menconteng arang ke muka ibu bapa.

Peredaran zaman seiring dengan ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menjadikan istilah berkenaan hilang 'bisanya', sekali gus ia menjadi norma biasa, apatah lagi saban hari kita disajikan dengan berita perceraian selebriti, termasuk artis dan penyanyi yang diidolakan golongan muda.

Trend baru ini seolah-olah menjadikan perkahwinan itu sebagai ujian untuk meneruskan kelangsungan hidup (survival) dan bukan lagi memenuhi tuntutan agama yang mahu memperbanyakkan umat Nabi Muhammad SAW, menjauhi dosa dan mencari pahala serta mencari keredaan-Nya.

Kini, tidak sukar untuk menemui wanita bergelar janda pada usia 20an, begitu juga duda muda kerana pada umur demikian selayaknya mereka mengisi kemanisan hidup bahagia bersama pasangan masing-masing.

Lebih memburukkan keadaan, kisah perceraian banyak membabitkan pasangan yang sedang mengecapi kemanisan hidup berumah tangga iaitu ketika usia perkahwinan belum memasuki tempoh matang.

Rentetan daripada itu, ada pihak tampil menuding jari menyalahkan orang lain, pihak mendakwa modul praperkahwinan yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak membawa faedah kepada bakal pengantin, manakala ada yang memberi alasan perkahwinan pada usia muda menyebabkan pasangan tidak matang dalam melayari bahtera perkahwinan.

Bagi mengetahui puncanya, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (Kesuma), Jakim sudah membuat kajian mengenainya yang memfokuskan kepada pasangan yang berkahwin dan bercerai pada tahun sama.

Kajian itu dibuat untuk mencari asas kewajaran perceraian masyarakat Islam di negara ini dengan menjadikan 10 peratus daripada 2,382 kes sejak 2005 hingga 2007 sebagai rujukan.

Keputusan kajian mendapati 33.5 peratus pasangan hanya mampu mempertahankan perkahwinan di antara tempoh satu hingga lima tahun, manakala pasangan yang berkahwin dan bercerai pada tahun sama kurang daripada satu tahun atau 2.6 peratus.

Tempoh perkahwinan dari enam hingga 10 tahun mencatatkan kumpulan perceraian kedua tertinggi iaitu 26.9 peratus.

Tahap umur pasangan wanita paling ramai bercerai ialah pada usia 31 hingga 35 tahun iaitu membabitkan 588 kes, diikuti usia 26 hingga 30 tahun sebanyak 511 kes.

Bagi lelaki, tahap umur paling ramai bercerai ialah pada usia 31 hingga 35 tahun iaitu sebanyak 550 kes, diikuti tahap umur 36 hingga 40 tahun sebanyak 473 kes.

Mengulas mengenai statistik berkenaan, Pengarah Kesuma, Ghafani Awang Theh, berkata, daripada pengamatan jabatan itu berdasarkan kes yang dirujuk pegawai runding cara di Jabatan Agama Islam, pasangan baru berkahwin mempunyai masalah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai suami isteri.

"Mungkin disebabkan usia belum matang menyebabkan mereka gagal memenuhi kehendak pasangan sehinggakan perkahwinan yang diinginkan penuh keindahan, sebaliknya menjadi kejutan tidak dijangka berpunca daripada sikap belum bersedia mereka melayari alam rumah tangga," katanya.

Beliau mengakui trend perkahwinan singkat di antara pasangan muda berpunca daripada masalah komunikasi, selain hidup berkeluarga jauh daripada pemantauan ibu bapa dan keluarga menyumbang kepada keruntuhan ikatan rumah tangga.

"Sekarang ini ramai pasangan muda yang berkahwin tidak mendapat perhatian daripada orang tua masing-masing sehingga menyebabkan pasangan gagal mematuhi rukun hidup berumah tangga, misalnya mengeluarkan bahasa kasar apabila berbual bersama pasangan.

"Jika dulu, hubungan kekeluargaan dan jiran tetangga sentiasa terjalin erat menyebabkan mereka saling tegur menegur jika ada sesuatu yang kurang disenangi berlaku di sekeliling mereka, kini, sikap itu semakin terhakis," katanya.

Dalam kemelut ekonomi yang semakin meruncing, Ghafani mengakui jumlah perceraian pasangan muda banyak berlaku di Lembah Klang berpunca daripada kos sara hidup yang tinggi.

"Tekanan dihadapi berpunca daripada masalah kewangan menjadi penyebab utama perceraian. Justeru selepas menilai hasil kajian, modul praperkahwinan sudah diubah semula pada 2007 dengan memasukkan dua subjek penting iaitu pengurusan kewangan dan pengurusan stres.

Tidak kurang penting, ketiadaan ilmu dan pendedahan terhadap hubungan kelamin turut menjadi antara penyumbang kepada keruntuhan rumah tangga.

Ghafani berkata, pengaruh budaya kuning yang didedahkan menerusi internet dan video lucah memberi kesan sampingan terhadap hubungan suami isteri

"Tindakan meniru adegan yang ditonton menyebabkan ketagihan dan tidak sesuai diamalkan kerana sebahagiannya bertentangan dengan ajaran Islam. Kadangkala, ia menyebabkan pertelingkahan apabila permintaan pasangan gagal dipenuhi," katanya.

Pengakuan mangsa perceraian pada usia muda

Kes 1: Berpunca orang ketiga

Kakitangan kerajaan di sebuah universiti terkemuka, Linda (bukan nama sebenar) merasai derita berumah tangga apabila diceraikan pada usia 27 tahun hanya selepas tiga tahun berkahwin.

Keretakan rumah tangga mereka berpunca daripada orang ketiga iaitu rakan sekerja suaminya dan bibit cinta bermula usik-mengusik, selain kerap menghabiskan masa bersama.

“Bermula secara suka-suka langsung hati terpaut. Lelaki suka bergurau, silapnya wanita mudah perasan dan percaya. Usikan yang mulanya bertujuan mengeratkan persahabatan bertukar menjadi hubungan cinta,” katanya.

Perkahwinan pada usia 25 tahun pada 2001 itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. Selepas berpisah, Linda menuntut hak penjagaan kerana ingin menumpahkan sepenuhnya kasih sayang terhadap anaknya itu.

“Lagipun, ini satu-satunya zuriat dan buah cinta kami. Bagi saya, kasih ibu, cinta sejati dan tidak ada sesiapapun yang dapat menandinginya,” katanya.

Kecurangan suami dihidu apabila dia lebih suka menghabiskan masa di pejabat berbanding di rumah. Kedatangan wanita tidak dikenali di tempat kerja dan mendesaknya bercerai dengan suami mengukuhkan firasat bahawa suaminya bermain kayu tiga. Hatinya lebih hancur apabila suaminya mengaku menjalinkan hubungan terlarang dengan wanita itu.

“Oleh kerana sayang dan fikirkan anak, saya sanggup bermadu. Namun, suami berat hati kerana kekasihnya itu mengenakan syarat iaitu jika ingin kekalkan perkahwinan, tinggalkannya,” katanya sebelum berusaha mengajak suami bertemu kaunselor bagi mencari penyelesaian terhadap kemelut rumah tangga mereka.

Malangnya, selepas dua sesi kaunseling, suami enggan memberi kerjasama. Bermula detik itu, Linda faham suaminya tidak berminat meneruskan ikatan perkahwinan mereka.

Mengimbau semula perkahwinan singkatnya, Linda mengaku serik dan lebih berhati-hati menjalinkan persahabatan dengan lelaki. Baginya, status ibu tunggal bukan halangan untuk bahagia tetapi kebajikan dan keselesaan anak menjadi keutamaan.

“Biarpun hampir tujuh tahun bercerai, saya masih trauma untuk berkahwin,” katanya yang bersetuju faktor usia turut menyumbang kepada kemusnahan institusi keluarga.

“Sungguhpun usia 25 tahun dikatakan peringkat umur paling sesuai mengakhiri zaman bujang namun perlu ingat, ketika itu juga kerjaya baru hendak bertapak. Kesibukan kerja juga penyebab hubungan dingin kerana tidak ada masa berkongsi cerita, selain jarang bertemu muka,”

“Faktor kerja luar dan lebih masa juga sering dijadikan alasan tidak pulang ke rumah. Di sinilah silap saya kerana terlalu percayakan kata-kata suami. Saya fikir dia banyak kerja, rupa-rupanya dia main cinta dengan rakan sepejabat,”ujarnya.

Kes 2: Terlalu berusaha sehingga hipokrit

HUSAIRI Husin, seorang guru, tidak menyangka usia perkahwinan lebih singkat daripada tempoh bercinta. Rumah tangga dibina hanya bertahan dua tahun berbanding 14 tahun melayari alam percintaan.

Setahun selepas melamar, Husairi dan pasangannya diijabkabulkan ketika masing-masing berusia pertengahan 20-an. Kedua-duanya berazam melakukan yang terbaik untuk rumah tangga tanpa sedar kesungguhan membahagiakan hati masing-masing akhirnya meleburkan perkahwinan.

“Saya dan isteri terlalu berusaha hingga akhirnya terpaksa menjadi hipokrit. Oleh kerana ingin dilihat sempurna, kami menyembunyikan masalah serta kelemahan peribadi. Apabila mula tidak berkongsi cerita, rumah tangga menjadi dingin, sekali gus hilang punca,” katanya yang membujang kembali ketika umur belum pun mencecah 30 tahun.

Bagi Husairi, cabaran utama berkahwin muda ialah menyesuaikan diri daripada kehidupan solo kepada komitmen perkahwinan. Dalam usaha mengenali dan saling berkongsi itu, karektor serta kelemahan yang sebelumnya cuba disorok mula menjelma.

“Ketika ingin membiasakan diri, timbul perangai yang tidak disenangi, namun masing-masing enggan berterus-terang. Itu sebabnya, sekecil-kecil masalah pun boleh mencetuskan pertengkaran, misalnya berbalah memilih saluran televisyen, tidak sependapat mengenai restoran pilihan untuk makan malam, malah waktu serta tempat tidur pun menjadi isu,” katanya.

Keadaan bertambah buruk apabila pasangannya yang berkerjaya tetap, memiliki segala-galanya, daripada rumah, kereta dan simpanan sendiri. Faktor ini dianggap Husairi mempengaruhi gaya hidup berdikari, melenyapkan perasaan hormat isteri terhadap suami sekali gus menjarakkan lagi kemesraan di antara mereka.

“Disebabkan isteri ada segalanya, dia enggan mengikut dan mendengar kata suami. Saya pernah mempelawanya tinggal bersama, namun dia menolak kerana ada rumah dan boleh hidup sendiri,” katanya.

Oleh kerana masih mahu memperbaiki hubungan suami isteri, dia dan isteri mendapatkan khidmat kaunseling, namun tidak berjaya kerana isterinya sudah terlalu lama memendam perasaan.

“Kami ambil keputusan berpisah kerana tidak mahu membazirkan usia muda dengan perkahwinan yang tidak bahagia,” katanya yang belum bersedia mencari pengganti.

Ditanya mengenai kesilapan yang tidak mungkin diulang andai satu hari nanti bertemu jodoh lagi, Husairi berazam tidak memendam rasa, berusaha memahami hati pasangan, berkongsi kehendak dan keperluan, selain paling mustahak, menerima kelebihan serta kekurangan pasangan seadanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url